Tuesday, April 14, 2009

Pengantin, bakal pengantin turut terkorban

JITRA - Suasana sedih menyelubungi dua keluarga di sini apabila seorang pengantin baru dan bakal pengantin maut dalam kemalangan yang melibatkan sebuah bas ekspres di Rawang, Selangor awal pagi semalam.

Pengantin baru tersebut ialah Md. Zaher Mohamad, 33, dari Kampung Pulau Ketam di sini manakala bakal pengantin itu, Muhammad Ismail, 27 dari Kampung Lubuk Batu, Mukim Pelubang juga di sini.

Kedua-dua mangsa yang tidak mempunyai pertalian persaudaraan itu menaiki bas tersebut pada pukul 11 malam kelmarin di Tanah Merah di sini untuk ke Kuala Lumpur.

Menurut bapa Md. Zaher, Mohamad Taib, 66, anaknya yang bekerja di Kuala Lumpur itu baru bernikah dengan Nor Suriati Junid, 30-an, pada 13 Mac lalu.

"Dia pulang Jumaat lalu untuk bertemu isterinya yang bekerja di Gurun dekat sini dan sempat bermalam di sini pada malam Sabtu lalu sebelum menaiki bas ke Kuala Lumpur malam semalam (kelmarin).

"Sepanjang kepulangannya tiada perubahan yang berlaku ke atas sikap arwah dan dia juga kelihatan seperti biasa," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pulau Ketam di sini. semalam.

Sementara itu, bakal pengantin yang maut, Muhammad Ismail, pulang ke Jitra pada Jumaat lalu untuk membeli kelengkapan hari perkahwinannya yang dijangka berlangsung pada 31 Mei depan.

Kakak mangsa, Rabiatul Adawiyah Ismail, 34, memberitahu, anak kelima daripada sembilan adik-beradik itu telah membeli cincin dan gelang untuk bakal isterinya yang tinggal di Kuala Lumpur.

"Selepas membeli barang kemas itu dia pulang bersama barangan berkenaan untuk diberikan kepada bakal isterinya," katanya sambil menitiskan air mata.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: