Thursday, April 2, 2009

Kehebatan Sunburst KL 2009


SEBAHAGIAN mereka yang memenuhi Polo Pavillion, Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Kuala Lumpur untuk menyaksikan Sunburst KL 2009.


FESTIVAL Muzik Antarabangsa Sunburst KL 2009 (Sunburst) yang berlangsung di Polo Pavillion, Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Kuala Lumpur pada 21 Mac lalu, sememangnya menyajikan suatu keseronokan yang cukup mengujakan.

Bermula seawal pukul 2 petang, nama-nama besar penghibur antarabangsa ditampilkan dalam konsert yang berlangsung selama 12 jam itu.

Antaranya, N.E.R.D, Korn, Russian Winters, Naturally 7, Nidji, Maliq & D'Essentials, Skye dan juga Agrikulture.

Kepada peminat Erykah Badu, pastinya Sunburst KL 2009 agak mengecewakan mereka kerana penyanyi pop retro Amerika Syarikat itu terpaksa membatalkan persembahannya pada saat-saat akhir atas alasan peribadi.

Namun, apalah yang ada sangat pada Erykah kerana persembahan anak seni tempatan juga tidak kurang hebatnya.

Reza Salleh, Joe Flizzow, Hujan, Meet Uncle Hussain, Gerhana Ska Cinta, Butterfingers, Estranged serta beberapa lagi band membuktikan bahawa mereka mampu bersaing dengan artis bertaraf antarabangsa lain.

Bersempena dengan Sunburst KL 2009, Hits bersama beberapa media sempat menemu bual lima artis tempatan dan luar negara bagi mendapatkan reaksi mereka terhadap konsert terbesar itu.

Korn, Meet Uncle Hussain, Maliq & D'Essentials, Skye dan Nidji, masing-masing berkongsi kegembiraan kerana terpilih untuk beraksi di dalam Sunburst.

Korn berterima kasih

Kehadiran kumpulan nu-metal (new metal) dari Amerika Syarikat, Korn ke negara ini diakui dinanti-nantikan oleh kalangan peminatnya.

Masakan tidak, ini merupakan kehadiran pertamanya ke Malaysia selepas 15 tahun memperjuangkan elemen muzik sendiri.

Meski ditemui media untuk tempoh beberapa minit sahaja, vokalis Korn, Jonathan Davis tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana mengundang mereka ke sini.

"Saya cuma berharap agar mereka yang hadir ke Sunburst akan terhibur dengan persembahan Korn.

"Sudah 15 tahun kami wujud. Terima kasih juga kepada mereka yang sanggup menunggu lama untuk menyaksikan kehadiran kami.

"Kami tiba di Kuala Lumpur sehari sebelum Sunburst. Malaysia amat menarik,'' katanya.

Jelas Davis, dalam tempoh 15 tahun, Korn masih mengekalkan elemen muziknya dan enggan untuk membuat apa-apa perubahan.

MUH belajar daripada band luar negara

Bagi band tempatan bernama Meet Uncle Hussain (MUH) pula, kesempatan menyertai Sunburst turut digunakan sepenuhnya oleh MUH untuk mencari pengalaman dan mempelajari pelbagai ilmu daripada band luar.

Gitarisnya, Taja berkata, selain persembahan vokal dan pemuzik yang bertenaga, band-band luar cukup profesional daripada pelbagai segi.

"Sebagai contoh, kumpulan Korn. Mereka ada krew sendiri yang membantu dalam kerja-kerja teknikal ketika persembahan di pentas.

"Bagi MUH, kami masih baru dan tidak mampu untuk berbuat demikian.

"Tetapi, tidak mengapa. Satu hari nanti, kami mengimpikan untuk menjadi seperti mereka,'' katanya.

Menurut Taja, untuk Sunburst kali ini, meski beraksi di sebelah petang, MUH mampu berbangga kerana diberi peluang mengadakan persembahan di pentas yang lebih besar iaitu Sun Stage berbanding tahun lalu.

Sun Stage turut menempatkan persembahan band seperti Pesawat, Projek Pistol, Gerhana Ska Cinta, Cosmic Kitchen, Nidji, Agrikulture serta Korn.

Hasrat Maliq & D'Essentials

Sementara itu, Maliq & D'Essentials yang cukup popular di Indonesia berpendapat, persembahan mereka di Sunburst sebagai satu cara untuk bertapak di Malaysia.

Sementelah, mereka yang baru muncul dengan album yang dilancarkan semula dalam pakej baru berjudul Free Your Mind masih belum dapat dipasarkan ke negara ini.

"Ramai yang ingin membantu memasarkan album kami di Malaysia dan harapan kami agar tahun ini ia akan dapat direalisasikan.

"Nama kami pun sudah dikenali di Malaysia dan kehadiran kami di Sunburst akan menguatkan lagi populariti Maliq & D'Essentials,'' jelas vokalis kumpulan itu, Angga Puradiredja.

Ujar Angga, muzik yang dibawa oleh Maliq & D'Essentials amat mudah untuk dihayati oleh semua.

Mengenai Sunburts, Angga menjelaskan,

bagi menggantikan seorang lagi vokalis Maliq & D'Essentials iaitu Indah yang hamil lapan bulan, kumpulan itu mengambil keputusan memilih untuk berduet dengan seorang penyanyi Atilia.

"Ini merupakan kali pertama kami bekerjasama dengan Atilia menerusi Sunburst,'' jelasnya.

Skye teringin kembali

Pemilik diri bernama Shirley Klarisse Yonavive Edwards atau mesra dipanggil Skye tentunya agak asing bagi rakyat di negara ini.

Namun, bekas vokalis sebuah band bernama Morcheeba ini cukup popular di negara kelahirannya, England.

Menarik mengenai Skye, dirinya memilih nama Skye supaya mudah diingati dengan mengambil dan mencantumkan huruf pertama daripada namanya iaitu Shirley (S), Klarisse (K), Yonavive (Y) dan Edwards (E).

Pertama kali datang ke Malaysia, Skye teruja dengan sambutan yang diberikan terhadapnya ketika Sunburst.

"Sebelum ini saya memang tidak pernah dengar dengan Sunburst. Tetapi, apabila sampai di sini, ia sungguh mengagumkan.

"Saya teringin untuk kembali lagi ke Malaysia. Kali ini di Sunburst, saya hanya membuat persembahan di pentas kecil. Satu hari nanti, saya pasti akan beraksi di pentas lebih besar andai diundang lagi,'' jelasnya.

Band-band Malaysia bagus - Nidji

Dalam pada itu, Nidji yang juga pertama kali terlibat dengan Sunburst tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan band-band Malaysia seperti Gerhana Ska Cinta, Hujan, Estranged dan Pesawat.

Menurut vokalisnya, Giring, persembahan band-band Malaysia cukup mengagumkan dan mempunyai kekuatan tersendiri.

"Ini jelas berbeza dengan band-band di Indonesia yang kelihatan agak stereotaip. Band-band Malaysia nampak lebih cool dan rock. Kami sempat juga berkenal-kenalan dengan vokalis Korn yang cukup peramah,'' katanya.

Jelas Giring, kehadiran Nidji ke Malaysia bukan hanya untuk menghiburkan mereka yang menghadiri Sunburst tetapi dalam masa sama, mempromosikan album berjudul Laskar Pelangi.

Ujarnya, sebaik muncul dengan Laskar Pelangi, Nidji ketika ini sedang mengumpul bahan dan konsep untuk album seterusnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: