DIRINYA hari ini bukanlah seperti sedekad yang lalu sewaktu dia mula-mula menguak pintu antarabangsa untuk memperkenalkan dirinya kepada khalayak dunia lewat lagu keramatnya, Snow On The Sahara.
Dia terpaksa bermula dari bawah meskipun namanya cukup gah di negara kelahirannya, Indonesia sebagai seorang penyanyi yang mempunyai identiti tersendiri.
Malah, dia sendiri mengakui apa yang ditempuhinya dan dinikmatinya hari ini bukanlah semudah serta seindah yang dilihat daripada pandangan kasar.
Itulah harga yang perlu dibayar oleh anak seni bernama Anggun Cipta Sasmi atau nama pentasnya, Anggun, untuk mencipta nama dan berdiri dengan penuh gah di pentas dunia.
Namun, untuk menjadi seorang yang bernama Anggun hari ini, dia harus bekerja keras, dan yang penting, perlu mempunyai prinsip serta pegangan hidup yang sesekali tidak akan tunduk kepada kemahuan orang lain.
Eklektisisme Anggun menjadikan dia bukanlah wanita yang mudah dilembutkan hatinya semata-mata untuk menggapai impian dan cita-cita yang diidamkannya selama ini.
Sebaliknya, darah Asia yang mengalir dalam dirinya membuatkan Anggun begitu bangga dilahirkan sebagai anak jati Indonesia dan Asia secara amnya.
Jika dia mahu, dia boleh mentransformasi dirinya menjadi seorang wanita Barat dengan mewarnakan rambutnya menjadi seperti yang lain. Tetapi dia tidak sesekali akan berganjak dengan apa yang dipegangnya selama ini.
Realiti hidup
"Buat apa perlu menurut kehendak orang lain dan memuaskan hati mereka semata-mata mahu mencapai kejayaan? Minta maaf. Saya bukan seperti itu dan segala kejayaan yang saya kecapi hari ini adalah kerana saya adalah diri saya.
"Biarlah sekalipun mereka memberitahu saya tidak mampu membawa nama saya jauh ke merata dunia, asalkan saya tidak memperjudikan maruah serta melakukan sesuatu yang menjadikan saya seorang yang lupa diri," demikian luahan Anggun ketika ditemui baru-baru ini.
Anggun hadir ke Malaysia selama dua minggu untuk sekian kalinya bagi mempromosikan album terbarunya, Elevation edaran Metadome yang kini sudah pun berada di pasaran.
Untuk itu juga, pesanan yang sama juga dititipkan oleh anak kelahiran Jakarta, Indonesia ini kepada mana-mana penyanyi yang mahu mencuba nasib di negara orang.
Katanya, tiada jalan yang mudah dan singkat untuk membina nama kerana semuanya memerlukan kesabaran, iltizam serta semangat yang tinggi kerana semua itu akan nampak jelas di depan mata seandainya mereka tidak cepat putus asa dan mudah mengalah.
"Mungkin sesetengah artis merasakan mereka sudah cukup selesa dengan apa yang dikecapi di negara mereka tetapi apabila anda berada di negara orang, tiada siapa yang mengenali anda.
"Anda perlu melakukan semuanya sekali lagi dan saya percaya bukan semua ada semangat yang tinggi seperti itu. Mahu atau tidak, itu adalah realiti hidup," katanya sambil menyisir rambut hitamnya yang panjang mengurai itu.
Bicara kami pada lewat petang itu sebenarnya berjalan dengan cukup pantas. Anggun hakikatnya merupakan seorang wanita yang cukup lemah-lembut dan butir bicaranya juga penuh berhemah.
Personaliti yang cukup berbeza saat dia berdiri di atas pentas dan melontarkan vokalnya yang penuh lantang dan bertenaga itu.
Sebenarnya, ada misi lain yang ingin dilunaskan dalam pertemuan bersama anak kepada pasangan Darto Sirgo dan Dien Hardina ini kerana sebelum ini, Anggun cukup diketahui sebagai seorang yang cukup berahsia tentang kehidupan privasinya.
Bukan apa. Sebelum ini, desiran angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa ada mengatakan Anggun tidak akan melayan sebarang persoalan mengenai kehidupannya dan seangkatan dengannya. Itu adalah tabu baginya.
Namun, petang yang dingin itu menyaksikan bagaimana Anggun sendiri menceritakan tentang kebahagiaan kehidupannya kini setelah bergelar ibu kepada seorang anak perempuan, Kirana Cipta Montana Sasmi yang kini sudah berusia setahun empat bulan.
Hanya Tuhan sahaja yang tahu
Apatah lagi, ketika itu juga Kirana yang disapa Anggun sebagai 'Cintaku' dengan pantas berlari ke arahnya sambil ditemani Cyril Montana, sang arjuna kelahiran Perancis yang dikahwininya pada tahun 2007 selepas berkenalan selama dua tahun.
Saat diajukan permintaan kami untuk merakamkan gambar keluarganya dengan penuh diplomasi, Anggun sambil tersenyum menolaknya.
Seri wajahnya dan bicaranya yang cukup matang tentang dunia keibuan dan keluarga memang menyerlahkan lagi pesona Anggun yang sudah pun menginjak usia 34 tahun.
"Hanya Tuhan sahaja yang tahu apa yang saya lalui kini dan bertemu dengan seorang lelaki yang menyayangi serta menerima saya seadanya sudah cukup membuatkan saya berasa begitu bertuah.
"Apatah lagi dengan kehadiran Kirana menjadikan hidup saya begitu lengkap. Malah, saya berasa begitu berat hati untuk meninggalkannya untuk jangka masa yang terlalu lama. Paling lama pun hanyalah 10 hari.
"Hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana kerinduan yang ditanggung tatkala berpisah dengan anak sendiri. Dan dulu saya tidak pernah dapat membayangkan senario itu. Kini, semuanya saya hadapi," ujarnya sambil mendukung dan mencium penuh mesra Kirana yang cukup comel itu.
Kecintaan yang tiada tara terhadap Kirana turut diluahkan menerusi lagu Selamat Tidur (Interlude) dan Eden In Her Eyes yang dimuatkan dalam album Elevation.
Selepas tiga tahun tidak muncul dengan buah tangan terbaru, Anggun kini sudah bersedia untuk menggegarkan dunia seni menerusi album solo Inggerisnya yang kelima itu.
Ritma yang baru dan segar menjadi taruhan Anggun dalam album terbarunya kerana jelas Anggun, dia mahukan sesuatu yang berbeza dengan apa yang telah dilakukannya sebelum ini.
Album-albumnya sebelum ini seperti Snow On The Sahara, Anggun, Chrysalis dan Luminescence serta album runut bunyi, Open Hearts mempunyai sentuhan yang pelbagai.
"Saya sukakan kepada perubahan dan saya tidak boleh buat lagu seperti Snow On The Sahara untuk kali kedua kerana apa sahaja yang telah dilakukan telah menjadi satu sejarah.
"Memang saya tidak menafikan populariti dan kehebatan lagu itu telah meletakkan nama saya di puncak dan saya gembira apabila lagu itu mendapat sambutan.
"Tetapi, apabila saya menghasilkan muzik, ia perlu lahir dari hati yang tulus dan ikhlas tanpa desakan serta paksaan daripada sesiapa pun. Kerana dengan kejujuran dan keikhlasan, ia akan dijelmakan dalam apa sahaja yang dilakukan," ujarnya penuh retorik.
Mempertaruhkan lagu Jadi Milikmu (Crazy) sebagai single pertama, ia cukup menyerlahkan keanggunan dan jiwa wanita Anggun seiring dengan kehidupan yang telah mematangkan dirinya.
Nuansa hip hop, dance dan rock melingkari keseluruhan album Elevation memberikan dimensi baru kepada muzik yang menjadi jiwa dan hidup Anggun.
Disoal pula tentang kehidupan masa depannya, merenung jauh ke luar jendela kaca di depannya sambil tersenyum, Anggun memberitahu: "Agak sukar untuk mentafsir dan menilik masa depan saya kerana bagi saya, apa yang telah, akan dan sedang berlaku adalah kehidupan.
"Kadang-kala apa yang kita rancangkan itu agak mustahil untuk berlaku. Jadi, apa yang saya mahu lakukan adalah meneruskan kehidupan yang penuh indah ini dan menikmati sepuasnya."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: