Thursday, April 16, 2009

Ke tali gantung akhirnya


HERMAN tenang ketika dijatuhi hukuman gantung semalam.


KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi semalam memutuskan seorang penghantar surat, Herman Aliseman, 32, dijatuhkan hukuman gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan setelah didapati bersalah membunuh isterinya, Azura Abdul Aziz, 24, empat tahun lalu.

Herman yang berasal dari Sarawak didakwa membunuh Azura, di kaki tangga rumah 57-1-1, Jalan 8/40, Taman Pusat Kepong, Jinjang di sini antara pukul 10.30 dan 11.15 malam, 12 Jun 2005.

Herman yang berdiri di dalam kandang pesalah tidak memperlihatkan sebarang reaksi ketika mahkamah memutuskan hukuman tersebut.

Hakim Datuk Mohd. Zabidin Mohd. Diah dalam penghakimannya berkata, hukuman itu diputuskan setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.

“Tertuduh didapati bersalah membunuh mangsa berdasarkan 14 kecederaan yang terdapat pada tubuh badannya termasuk tiga tikaman di leher, dada dan punggung,” katanya.

Pembelaan juga dakwa Mohd. Zabidin, hanya mengemukakan seorang saksi sahaja iaitu tertuduh yang memberi keterangan bela diri secara bersumpah di kandang saksi sedangkan pendakwaan telah memanggil 21 saksi sebelum itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yaakob Chik mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. Sementara Herman pula diwakili peguam bela, Major Ghazali Nik Taib.

Pada 2 Mac lalu, Herman diperintah oleh mahkamah yang sama untuk membela dirinya daripada tuduhan tersebut setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Memetik laporan akhbar, Herman telah bergaduh dengan isterinya pada hari kejadian ekoran krisis rumah tangga yang mereka hadapi sebelum itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: