Friday, April 10, 2009

Jay Jay terkilan, sedih


SELAIN Jay Jay dan Rahim Othman, dua lagi anggota Carefree iaitu Nana (kanan) dan Lockman (kiri) turut hadir memeriahkan sidang media pengumuman Konsert Untukmu Ibu di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


“APA yang berlaku ini adalah noktah hitam dalam hidup saya. Saya terkilan kerana ada antara kami yang tidak melihat nilai penghargaan yang diberikan ini.

“Maaf saya kata, ada artis yang terpaksa ‘mengetuk’ pintu Istana Budaya untuk membuat persembahan di sini, tetapi Carefree bukan begitu sebaliknya diundang.

“Sayangnya undangan begitu ditolak mentah-mentah oleh mereka. Mereka tidak nampak kemuliaan yang diberi tetapi ini balasannya.”

Begitu reaksi Jay Jay saat menyatakan perasaan sedihnya lantaran Carefree terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir untuk ‘bergabung’ semula bagi menjayakan Konsert Untukmu Ibu di Istana Budaya pada 8 hingga 10 Mei depan.

Ujarnya, selepas berpecah pada 31 Disember 1982, nama Carefree masih menjadi sebutan hingga kini dan banyak menerima undangan menjayakan beberapa persembahan.

Malangnya, kata Jay Jay, tidak semua undangan itu dapat dipenuhi kerana kekurangan anggota.

“Kali terakhir Carefree bergabung di atas pentas adalah ketika menjayakan ulang tahun sebuah stesen televisyen lewat 1980-an. Tetapi, tidak semua ada.

“Selepas itu, kami terus membawa haluan masing-masing. Dan kini, kami diundang untuk persembahan di Istana Budaya.

“Mulanya semua bersetuju tetapi kemudiannya ramai yang tarik diri. Saya cukup sedih,” katanya.

Menurut Jay Jay, susahnya untuk membawa Carefree bersatu semula bukan disebabkan oleh wujudnya krisis antara setiap anggota tetapi ia membabitkan komitmen masing-masing.

“Selain komitmen, mungkin ada yang beranggapan konsert sebegini tidak penting,” jelasnya.

Katanya, hadirnya Carefree menjayakan persembahan bukan sahaja menjadi hasratnya tetapi kebanyakan peminat kumpulan itu.

“Bukan tidak boleh beberapa kerat sahaja yang muncul untuk persembahan tetapi ia tidak manis. Kami juga bukannya tidak boleh gunakan pemuzik lain tetapi kalau saya jadi penonton, saya mahu tengok persembahan anggota asal kumpulan ini,” ujarnya.

Ditanya sama ada penolakan Carefree untuk beraksi di Konsert Untukmu Ibu adalah disebabkan soal bayaran, Jay Jay menafikannya sambil berkata;

“Tidak ada kena mengena langsung dengan bayaran. Dengan apa yang terjadi, selepas ini biarlah orang lain uruskan jika Carefree dapat undangan untuk persembahan akan datang. Saya sudah penat. Lagipun, saya cuma anggota biasa sahaja,” luahnya.

Carefree ditubuhkan sekitar tahun 1978. Selain Jay Jay, ia dianggotai Simon Justin Leo, Nana, Wan, Rahim Othman, Charlie, Boy serta Lockman.

Rahim dan flute berusia 37 tahun

Sementara itu, Rahim Othman yang diundang menjayakan Konsert Untukmu Ibu bersyukur kerana ada pihak yang masih mengingatinya.

Pernah menjuarai program Bakat TV 1972, Rahim akan meniup flute menerusi lagu Mission Impossible dan Untukmu Ibu.

“Ketika menyertai Bakat TV pada 1972, saya menjadi juara dengan bermain flute. Lagu Mission Impossible telah membawa saya bergelar juara.

“Kini telah lama saya tinggalkan flute itu. Namun untuk Konsert Untukmu Ibu ini, saya akan menggunakannya semula bagi mengembalikan nostalgia kepada mereka yang menyaksikan saya pada 1972 dahulu.

“Bagi konsert tersebut nanti, Jay Jay telah menawarkan diri untuk menyanyikan lagu Untukmu Ibu yang sebelum ini pernah dipopularkan Exist,” jelasnya.

Menurut Rahim, meskipun agak lama tidak muncul dalam persembahan hiburan, dia tetap menjanjikan persembahan terbaik.

Kepada soalan tentang perkembangannya selepas keluar daripada Carefree, Rahim berkata; “Selepas tidak lagi bersama Carefree, saya banyak mencipta lagu untuk beberapa artis. Antaranya kumpulan Gersang, Mega, Rahimah Rahim, Zur Eda, Exist dan beberapa lagi kumpulan.

“Kemudian saya berehat. Dengan adanya penglibatan saya semula di Konsert Untukmu Ibu, saya berhajat untuk kembali aktif dalam bidang penciptaan lagu.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: