Monday, April 27, 2009

‘Ikon’ diperlukan kini tersingkir


PERSEMBAHAN Khairil Azam Pilus (Aril), 24, saban minggu dinantikan penonton setia Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) untuk melihat aksinya di pentas. Malah juri memujinya dan mengatakan Aril ikon yang diperlukan dalam dunia hiburan.

Datuk Khatijah Ibrahim berkata, inilah bintang diperlukan untuk menyemarakkan dunia hiburan yang seakan-akan lesu kerana Aril kreatif dan mampu mewarnakan persembahannya.

“Dia berani mencuba perkara baru dan mempunyai pakej yang diperlukan sebagai penghibur. Persembahannya sangat bagus dan berjaya menyampaikan lagu dengan baik dan gaya seksi menggamit perhatian penonton.

“Inilah persembahan yang saya tunggu daripadanya. Aril bintang paling bersinar malam ini (kelmarin),” katanya.

Namun, pujian itu tiada maknanya kerana Aril yang menunjukkan peningkatan saban minggu dan paling menonjol pada konsert mingguan ketujuh, akhirnya terpaksa mengucapkan salam perpisahan kepada penonton program realiti itu, Sabtu lalu.

Itulah yang berlaku apabila berjurikan jari manusia menerusi undian SMS. Apa yang seharusnya penonton saksikan di AF7 sudah disingkirkan.

Apa gunanya transformi yang menjadi ‘trademark’ kebanggaan produksi dan pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina dan tenaga pengajar jika penonton masih tidak dapat menilai antara kaca dengan intan?

Bukan saja penonton yang memenuhi Dewan Sri Putra, Bukit Jalil terkejut dengan pengumuman dilakukan pengacara AC Mizal malah juri terpaku serta terdiam seketika.

Meskipun sukar meramal siapa akan ‘duduk’ di kerusi juara, ramai ingin melihat Aril mara ke peringkat akhir yang hanya tinggal dua minggu lagi untuk menyaksikan AF7 sampai ke kemuncaknya. Ramai menantikan persembahannya setiap minggu, tetapi selepas penyingkiran itu bererti hampalah harapan mereka.

Adibah Nor dan Adlin Aman Ramli yang menjadi pengkritik bersama Khatijah, mengatakan Aril adalah ikon yang diperlukan dalam dunia hiburan dan setiap minggu persembahannya ditunggu.



Namun, apabila kuasa memilih terletak pada jari manusia, setakat itu sajalah perjuangan anak muda berbakat besar itu.

Adibah pula menyifatkan undian SMS penonton sangat tidak adil terhadap Aril dan mereka patut menilai peserta dengan akal fikiran waras dan bukan mengikut perasaan.

“Aril dilahirkan untuk berada di pentas hiburan. Persembahan Aril mantap, profesional dan sangat menghiburkan. Saya kesal bakat sebagus Aril tersingkir pada malam ini (kelmarin),” katanya

Adlin turut memuji Aril kerana berjaya membuat persembahan pembukaan yang hebat dan sangat sporting di pentas.

“Aril berani menyahut cabaran dengan membuat sesuatu di luar dugaan dan persembahannya dinamik. Dia mampu menyanyi sambil menari dengan bagus serta mempunyai sikap seorang superstar,” katanya.

Namun, sebaik mana pun persembahan Aril kelmarin dengan lagunya Nakal (Gigi) apalah yang dapat dilakukan kerana kata Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, itulah ‘permainan’ ditetapkan akademi yang bergantung sepenuhnya pada undian SMS.

“Saya tahu ramai tidak berpuas hati dengan penyingkiran Aril, namun itulah kehendak pengundi. Kita terpaksa reda dengan keputusan itu dan semoga selepas ini penonton dapat mengundi dengan bijak. Inilah konsert AF yang paling menghiburkan,” katanya.

Mengenali rentak program realiti terunggul ini, apa saja boleh berlaku termasuk mengadakan undi masuk. Meskipun Khairul Mizan membayangkan perkara itu tidak mungkin berlaku, peraturan ini manusia yang buat.

Sebelum ini pun Astro pernah mengadakan undi masuk apabila pelajar yang paling diminati ramai tersingkir. Ini kerana drama dan gimik juga sebahagian permainan AF.

“Kami harus mengikuti peraturan yang ditetapkan namun juga sedia mendengar pandangan pelanggan Astro. Sudah termaktub setiap minggu ada penyingkiran, jadi kami terpaksa mengikut apa yang sudah ditetapkan.

“Apa yang bagus pada konsert kali ini, semua pelajar mendapat peratusan markah yang dekat dan tidak jauh jurangnya. Ternyata pertandingan ini mempunyai bakat terserlah.

“Melalui transformasi yang dilakukan, kami mahu semua peserta berjaya, tetapi nampaknya pengundi lebih suka memilih peserta ‘underdog’ sehingga mereka terlupa mempertimbangkan mereka yang benar-benar berbakat.

“Mengenai Aril, dalam setiap konsert dia jarang berada dalam kelompok lima pelajar teratas. Biasanya dia akan berada di tempat keenam, ketujuh atau kelapan. Mungkin sikap dia tidak berjaya memikat hati semua penonton.

“Walaupun dengan ketiadaan Aril, saya yakin konsert mingguan ini kekal hebat kerana bakat pelajar lain terus menyerlah,” katanya.

Tiara berkata, dia dan tenaga pengajar tidak langsung membayangkan Aril akan tersingkir kerana dia pelajar paling rajin dan berbakat. Inilah ikon yang mereka mahu lahirkan dalam persada seni.

“Dia ada pakej lengkap yang sangat diperlukan industri, tetapi sistem undian SMS gagal merealisasikannya. Meskipun Aril tersingkir, saya yakin dia akan tetap jadi ikon,” katanya.

Berkongsi rasa dengan Aril, dia terasa akan tersingkir namun pada ketika yang lain dia cuba menafikan perasaan itu.

“Ada rasa macam hendak terkeluar, tetapi saya memujuk hati mengatakan tidak. Saya terima keputusan ini kerana penyanyi yang baik seperti Rubisa pun terkeluar lebih awal.

“Walaupun sedikit kecewa dengan penyingkiran ini, saya masih seronok kerana apabila satukan pengalaman luar dengan proses pembelajaran di akademi, akan menjadikan saya lebih matang.

“Saya terima kritikan Adlin mengatakan saya poyo, sombong dan sebagainya di pentas, tetapi itulah pesona yang diperlukan penyanyi apabila membuat persembahan. Kami belajar menonjolkan pesona sebagai penghibur, tetapi saya masih boleh seimbangkan ‘attitude’ yang ada pada saya itu ketika di pentas,” katanya.

Kata Aril, dia minat genre muzik seperti diperjuangkan kumpulan Padi, tetapi katanya tidak salah jika dia ingin membawakan genre muzik lain.

“Kalau saya hendak jadi ikon AF, saya mesti mencuba semua genre muzik. Saya juga boleh menari, tetapi Cikgu Aris (guru tari dan pereka tari AF7), membantu mengasah lagi bakat tarian saya. Ke mana hala tuju kerjaya saya selepas ini terpulang kepada AESB (Astro Entertainment Sdn Bhd),” katanya.

Berbeza pula dengan Ismaliza Ismail, 30, dan Mohd Hafiz Mohd Suip, 19, yang sering mendapat undian tinggi, tetapi belum ada ‘X-factor’ yang akan menjadikan mereka insan seni yang hebat.

Berada di zon selesa, persembahan Ismaliza tiada beza pada setiap minggu. Yazid ada sedikit peningkatan pada persembahannya kelmarin walaupun masih lagi penyanyi yang terlalu kedekut untuk mempamerkan emosi.

Afiq Hakim Ahmad (Akim), 18, ada keberanian untuk berubah. Manakala Claudia Fray Geres, 24 dan Siti Aishah Bujang, 18, masih terbelenggu dengan diri masing-masing.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: