Monday, April 20, 2009

Hanya fikirkan anak-anak...Rosni Abdullah

Anak-anak adalah segala-galanya bagi ibu tunggal, Rosni Abdullah. Biar sebanyak mana orang datang untuk mengambil mereka sebagai anak angkat, Rosni sesekali tidak akan menyerahkannya. Baginya, hanya anak-anak memberi kebahagiaan kepadanya walaupun dia hidup tanpa wang.




KETIKA temu bual ini diadakan, genap 39 hari kisah penderitaan ibu tunggal, Rosni Abdullah disiarkan di muka hadapan akhbar Kosmo!.

Dua hari selepas penyiaran berita Kosmo! kepayahan hidup Rosni, 43, membesarkan 15 orang anak di sebuah pondok tanpa dinding di dalam hutan dekat Kampung Sepial, Jerantut, Pahang, disiarkan pula di sebuah rancangan di stesen televisyen swasta.

Ekoran pendedahan itu, maka muncul pihak-pihak tertentu menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan sama ada dalam barangan mahupun wang tunai.


HAMPIR semua kelengkapan rumah disumbang oleh UMNO Jerantut.



NORHAFIZAH selesa mengulang kaji pelajaran di Kuaters JKR, Jerantut, Pahang.


Detik khabar tentang bantuan tersebut diterima membuatkan hati Rosni mekar berbunga, apatah lagi anak-anaknya kini dapat hidup selesa di sebuah rumah yang dibiayai sewa bulanan oleh syarikat Able Build Sdn. Bhd.

Namun bunga-bunga yang mekar di hati Rosni kala ini seperti semakin layu dimamah masa. Ini kerana sumbangan dan bantuan kewangan yang dijanjikan masih belum diterima sebagaimana yang diluahkannya kepada penulis pada tarikh temu bual ini diadakan di Kuarters JKR, Batu 1, Jerantut, Pahang pada 11 April lalu.

"Memang bersyukur sangat sebab dapat banyak bantuan. Rumah tempat berteduh ini pun, ada yang bayarkan sewa bulanannya. Terima kasih kepada semua yang menghulurkan sumbangan.

Belum terima RM450

"Tetapi sehingga hari ini, saya hanya terima bantuan bulanan yang dahulu iaitu RM70 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya difahamkan, tambahan bantuan daripada RM70 kepada RM450 sebulan sudah diluluskan tetapi petang kelmarin, saya pergi ke bank (BSN), saya tengok...belum masuk lagi duitnya...,'' kata Rosni perlahan.


KUARTERS JKR di Batu 1, Jerantut, Pahang kini menjadi tempat berteduh buat Rosni sekeluarga.



NORSUHADA ALIA pernah diminta oleh seseorang untuk dijadikan anak angkat.


Memikirkan dirinya tidak lagi bekerja sebagai pencuci pinggan kerana mahu mengurus anak-anak sepenuh masa, Rosni begitu berharap agar bantuan kewangan yang dijanjikan itu dapat diberi dalam waktu terdekat ini.

Sungguhpun begitu, Rosni masih boleh menarik nafas lega kerana individu dan pihak tertentu masih tidak putus-putus memberi sumbangan.

"Banyak dah...pakaian terpakai. Memang itu juga diperlukan tetapi untuk meneruskan hidup, saya memerlukan sumber pendapatan yang tetap.

"Memang ada anak-anak yang telah bekerja. Tetapi sebagai pekerja kilang, banyak mana sangatlah gaji mereka. Cukup lepas diri sendiri sahaja. Sesekali ada juga yang menghulurkan RM50 untuk belanja,'' ujarnya yang terkilan kerana kemiskinan menyebabkan dia tidak dapat memberi pendidikan yang sempurna untuk kesemua anak-anaknya.

Namun begitu, Rosni tekad untuk memastikan lapan anak-anaknya yang masih bersekolah cemerlang dalam pelajaran.


SEBAHAGIAN daripada permata hati Rosni.


Mengulas jumlah anak yang ramai, Rosni memberitahu, dia pernah berusaha mengehadkan jumlah kelahiran anak.

"Mungkin ada orang bertanya kenapa saya melahirkan banyak anak dalam keadaan hidup yang begitu miskin. Saya pernah makan pil perancang tetapi kesan sampingannya menjadikan saya lemah. Perut terasa 'keras', tak selesa dan akhirnya saya berhenti. Doktor pernah suruh saya masukkan alat tetapi saya takut. Saya reda dengan apa yang Tuhan beri,'' ujarnya yang sedih dengan tanggapan orang ramai terhadapnya itu.

Rosni kini menanggung lapan anak-anak yang masih bersekolah manakala dua lagi anak-anaknya yang belum bersekolah ialah Mohd. Amizan Mukhriz, 5, dan anak bongsu, Norsuhada Alia, 3.


INILAH pondok yang dihuni Rosni sekeluarga selama lebih dua bulan sebelum dipindahkan ke kuarters JKR Jerantut.


Janji Rosni adalah dia akan berusaha memastikan kesemua anak-anaknya itu mendapat pendidikan yang sempurna.

Kerja membanting tulang

Berkahwin pada usia 19 tahun, Rosni mengakui dia tidak pernah berasa kesenangan hidup memandangkan keluarganya juga miskin sepertinya. Rosni dibawa berpindah ke Felda Sungai Tekam Utara dekat Jerantut, Pahang ketika berusia enam tahun.

"Saya sekolah setakat darjah satu. Boleh baca dan tulis. Tak sambung sekolah sebab adik-beradik ramai dan kami miskin. Sejak berusia 11 tahun, saya sudah mula bekerja. Macam-macam kerja saya buat, antaranya ambil upah menyangkul rumput, jadi pengasuh budak dan kerja-kerja biasa yang lain,'' ujar anak kesembilan daripada 11 orang adik-beradik ini.

Membayangkan kehidupannya susah kerana tiada pelajaran, membuatkan Rosni sanggup membanting tulang untuk memastikan kesemua anak-anaknya dapat ke sekolah. Menurutnya, dia tidak pernah menyuruh anak-anaknya berhenti sekolah, sebaliknya apa yang berlaku ialah ada dalam kalangan anak-anaknya tidak mahu ke sekolah kerana tidak sanggup berjalan kaki jauh dan tiada wang saku.

"Pernah sekali, ketika saya berbasikal balik dari menoreh, seorang guru menahan saya di tepi jalan untuk memaklumkan saya mengenai seorang anak saya tidak hadir ke sekolah selama beberapa hari.

"Saya menangis mendengarnya kerana tidak sangka ada anak saya yang ponteng sekolah. Namun, saya tidak menyalahkannya kerana dia mungkin tertekan kerana kemiskinan yang kami lalui,'' ceritanya mengimbas kisah itu.

Rosni menambah: "Alhamdulillah, selepas berpindah ke rumah baru ini, barulah dia mahu ke sekolah. Sekarang, semua anak-anak saya kembali ke sekolah dan itulah yang paling menggembirakan saya.''


WALAUPUN hidup tanpa wang, Rosni tidak sanggup berpisah dengan anak-anak.





Terkini, paling menggembirakan Rosni apabila anak keduanya, Yong Azua, 23, memulakan kerjaya sebagai seorang eksekutif perakaunan mulai hari ini (20 April) di syarikat Touch Matrix Sdn. Bhd., di Kuantan, Pahang.

"Dialah harapan saya dan menjadi contoh kepada adik-adik supaya rajin belajar. Walaupun kami miskin dan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, Yong tidak peduli semua itu. Sebaliknya, dia nekad untuk terus belajar sehingga ke menara gading dan berjaya memperoleh segulung ijazah,'' cerita Rosni kembali ceria.

Tiga hari makan kanji

Bercerita tentang soal makan dan minum, wajah Rosni kembali muram. Katanya, kesempitan hidup yang dialaminya memaksanya mengikat perut, asalkan anak-anak dapat makan.

"Paling tidak dapat saya lupakan apabila kami sekeluarga terpaksa makan kanji (bubur nasi) selama tiga hari berturut-turut.

"Ketika saya mengacau kanji di atas dapur, tanpa disedari air mata saya menitis masuk ke dalam periuk. Saya berasa sungguh sebak memikirkan hanya itulah yang saya mampu sediakan untuk anak-anak selama tiga hari,'' ceritanya sambil tidak dapat menahan kelopak matanya daripada digenangi air mata duka.

Menurut Rosni, kanji yang dimasak itu dimakan bersama kepala ikan bilis goreng. Ketika itu, katanya, dia kehabisan wang kerana tidak dapat keluar menoreh memandangkan hujan tidak berhenti selama berhari-hari.

Kini, semua keperitan itu sudahpun berakhir dan dengan kehidupan yang lebih baik, Rosni bercerita.

"Alhamdulillah, kini sudah ada tempat berteduh yang selesa. Hampir semua kelengkapan di rumah ini disediakan oleh UMNO Jerantut. Ada televisyen, peti sejuk, katil, tilam, bantal, dapur gas dan pinggan mangkuk.

"Syukur anak-anak dapat berteduh di rumah ini. Kalau duduk di pondok, usah mimpilah nak dapat semua ini. Bila hujan...tempias. Air dan api (elektrik) tak ada. Nak masak dan minum, saya angkut air dari loji air Mela. Pakai gelen, usung naik basikal..., susahnya Tuhan sahaja yang tahu,'' ujar ibu kelahiran Malim Nawar, Perak itu.

Rosni juga memberitahu, dia tidak pernah bercerita tentang kemiskinan hidupnya dengan adik-beradik.

Ini kerana, kesemua adik-beradiknya juga hidup susah dan ibunya yang sakit kini dijaga oleh seorang abangnya di Felda Sungai Tekam Utara.

"Saya sedih kerana jarang dapat jenguk mak kerana tak cukup duit tambang untuk balik kampung,'' katanya yang berharap dapat sentiasa melawat ibunya selepas detik hitam hidupnya sebagai seorang rakyat termiskin berakhir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: