Saya tak jadi pemain bola atau jurutera awam kerana minat berlakon

SETAHUN yang baru dilalui sebagai anak seni nyata memberi rezeki buat pelakon yang memegang kunci bersabar dan berusaha untuk berjaya ini. Fizo Omar, namanya kini semakin disebut-sebut. Berbekal fizikal dan keupayaannya menyerlah di sebalik himpunan pelakon baru, dia pantas menarik perhatian khalayak.
Jika setahun lalu tidak banyak tawaran datang kepadanya, kini selepas terbabit dalam drama seperti Spa Q 2, Bisikan Cinta dan Bionik, pelakon berusia 24 tahun ini mula menjadi perhatian banyak pengarah.
Semuanya terjadi secara semula jadi. Katanya, dia sendiri tidak perasan sejak bila kepercayaan mula diberi kepadanya.
Mungkin kejayaan itu diraih kerana sikap tidak jemu menjalani uji bakat, jujur selain lakonannya dalam Puteri Salju dan Gadis Merah Jambu tidak lama dahulu.
"Saya bersyukur sangat dengan perjalanan karier yang agak laju sekarang. Maklum, saya tak sangka dalam masa setahun, diari kerja saya sudah mula padat.
"Sedangkan saya menyasarkan untuk sampai ke tahap ini adalah dalam tempoh dua tahun lagi. Agaknya ini juga berkat kejujuran saya untuk berlakon dan berusaha tanpa jemu," luah anak kedua daripada empat beradik ini.
Sedang sibuk sebagai hos Gen X dan juga berkejar ke lokasi penggambaran drama arahan Shuhaimi Baba berjudul La Dolce Amira, Fizo yang kini hangat dengan drama Matahari bagaimanapun mengaku masih mempunyai banyak kelemahan.
Pertuturannya masih tidak jelas dan pergerakannya di depan kamera masih lagi kaku. Dua hal tersebut mahu diatasi dalam proses menjadi pelakon yang baik.
"Sebenarnya saya seorang yang darah gemuruh. Dulu masa mula-mula berlakon, saya cepat panik dan kadang-kadang lupa skrip bila nampak kamera.
"Tapi kini saya belajar mengatasi semua kekurangan itu untuk menjadi pelakon yang baik," katanya yang mendefinisikan setiap hari adalah proses pembelajaran baru.
Biarpun dunia lakonannya makin cerah, Fizo yang juga seorang model mempunyai sasaran hidup sendiri. Malah menyelak profil sebelum ini, Fizo mempunyai pelbagai pengalaman yang begitu kontra dengan dunia hiburan.
Sejak kecil aktif sebagai pemain bola sepak dan pernah mewakili Kelantan kerana memenuhi hasrat bapa, Fizo menjadi graduan dalam jurusan Kejuruteraan Awam untuk membahagiakan ibunya. Kini, kata Fizo, adalah giliran dia mencapai matlamat hidupnya melalui dunia lakonan.
"Saya tak jadi pemain bola profesional atau jurutera awam kerana minat berlakon. Saya bukan nak glamor atau popular, tapi jiwa terhadap bidang ini amat dalam.
"Biarpun tiga perkara ini sangat kontra, tetapi sebenarnya ini ilmu yang tidak ternilai buat saya yang tidak akan saya peroleh jika saya tidak melaluinya.
"Selepas ini, sasaran saya mahu membuka perniagaan pula," katanya yang menegaskan dirinya masih solo.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: