![]() MAHYIDIN (tengah) bersama penerima pulangan tuntutan duti hiburan filem tempatan. |
Penganjur harap terima 50 judul
BAGI memastikan agenda pembangunan industri filem Malaysia wujud secara berterusan, bahkan terus menuju tahap lebih tinggi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menganjurkan Festival Filem Dokumentari, yang diadakan sempena Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-22 yang akan berlangsung di Kota Kinabalu, 5 hingga 8 Ogos ini.
Festival filem terbabit dianjurkan dengan tujuan memilih karya filem dokumentari yang berkualiti bagi Anugerah Cipta Filem Dokumentari Terbaik FFM22. Selain itu, ia juga diharap menjadi landasan terbaik bagi melahirkan lebih ramai bakat dengan idea persembahan tersendiri di kalangan pembikin filem, pelajar perfileman dan individu yang berminat dalam bidang itu, di negara ini.
"Festival Filem Dokumentari ini juga akan diadakan secara tahunan dalam menzahirkan pelaksanaan Dasar Perfileman Negara yang menekankan kepada peningkatan jumlah dan kualiti penerbitan filem dokumentari tempatan," kata Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim pada majlis pelancaran festival itu di Kompleks Finas, Hulu Klang, baru-baru ini.
Menurutnya, festival terbabit muncul sebagai satu lagi produk Finas dalam memberikan pengiktirafan tertinggi kepada penggiat seni tanah air, selain daripada siri Festival Filem dan Video Pelajar, FFM dan Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF).
"Langkah ini juga ialah sebahagian daripada strategi pembangunan tenaga kerja industri dalam tempoh jangka panjang," kata Mahyidin.
Beliau menjangkakan sekurang-kurangnya 50 judul dokumentari akan menyertai festival berkenaan. Bagaimanapun Finas sudah boleh berasa lega sekiranya 25 hingga 30 judul mengesahkan penyertaan, kerana tahun ini muncul kali pertama ia dianjurkan.
Katanya, selain jumlah filem dokumentari yang kian bertambah, festival khas diadakan buat genre berkenaan setelah melihat kepada hakikat produk Malaysia yang lebih senang dijual di luar negara terdiri daripada filem dokumentari dan animasi.
Bagi edisi pertamanya, Finas menyediakan hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 bagi empat kategori utama yang dipertandingkan dan lima anugerah sampingan.
Empat kategori utama itu ialah Kategori Dokumentari Ilmiah / Sejarah, Kategori Kesenian / Kebudayaan, Kategori Alam Semula Jadi / Pelancongan dan Kategori Isu Semasa / Kemasyarakatan.
Manakala lima anugerah sampingan yang ditawarkan ialah Anugerah Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik, Skor Muzik Terbaik, Penyuntingan Terbaik dan dua Anugerah Khas Juri.
"Bagi pemenang utama Anugerah Cipta Filem Dokumentari Terbaik FFM, mereka ditawarkan Dana Penerbitan Dokumentari Finas," katanya.
Tegas Mahyidin, penerbitan filem dokumentari bukan saja penting sebagai sebahagian proses dokumentasi atau sekadar rakaman visual semata-mata, berkaitan apa saja subjek kehidupan, malah ia berperanan besar dalam memaparkan khazanah, jati diri dan keunikan bangsa dan negara Malaysia.
Justeru, Finas secara berterusan mengambil langkah memperkasakan filem dalam kategori terbabit. Antaranya dengan mengadakan kerjasama produksi bersama beberapa produksi terkemuka dunia seperti National Geographic, Discovery Channel serta rangkaian All Asia Network (History Channel, Biography Channel dan Crime & Investigation).
Peruntukan sebanyak RM4 juta juga diperkenan bagi program pembangunan filem dokumentari di bawah payung Filem Malaysia Ke Persada Dunia, yang mensasarkan pencarian sejumlah 13 cerita berdurasi 30 minit dan 13 cerita berdurasi 60 minit, dengan tajuk berbeza.
Pada petang itu, Mahyidin turut menyerahkan pulangan tuntutan duti hiburan dari November 2008 hingga Februari 2009 berjumlah RM1.6 juta kepada 11 syarikat filem tempatan. Sebanyak 17 filem terbabit dalam proses berkenaan.
KRU Communications Sdn Bhd dengan tiga filemnya, Cicak-Man, Cicak-Man 2: Planet Hitam dan Duyung muncul penerima terbesar dengan jumlah kasar RM544,927.05.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: