Sunday, April 12, 2009

Farahdhiya bukan penggoda




GEMAR atau tidak, realitinya apabila banyak wajah cantik berada di satu set penggambaran, apa yang tertebar di atmosfera adalah ego masing-masing selain bakat.

Tidak terkecuali pelbagai perkenalan baru yang bakal mencipta persahabatan mahupun sengketa dalaman.

Penyanyi Farahdhiya turut menerima bahang tersebut. Namun dia mengaku dengan tulus saat ditanya perihal hubungannya dengan pelakon berbakat besar, Norish Karman.

Khabarnya satu ketika dahulu ada insiden masam muka antara mereka. Namun, akui Farahdhiya, dia baru sahaja keluar berbelanja dan jalan-jalan mencuci mata melihat barangan di Pavilion Kuala Lumpur bersama 'musuhnya' itu.

Dia turut merembeskan rasa kurang selesanya kerana serpihan gosip abangnya, Mohamed Luqman, 25, pasti terkena dan bersangkut paut dengan dirinya.




Konon khabarnya si abang sedang mabuk cinta dengan Norish, 34, dan pernah bercuti bersama di Pulau Tioman. Si adik pula dikatakan kurang senang dengan gosip tersebut lantaran perbezaan umur Mohamed Luqman dan Norish.

"Setiap kali cerita abang saya keluar, ramai yang menanyakan saya. Jadi nama yang disebut-sebut orang nama saya juga.

"Abang saya juga lemas kerana dia bukan selebriti," jawab gadis kacukan Melayu-Inggeris ini dalam nada tegas.

Dia tidak mahu memberi sebarang komen perihal dengan siapa dan apakah status abang kesayangannya kini. Dia lebih senang berdiam diri.

Namun ditegaskan sekali lagi, hubungannya dengan Norish Karman berjalan lancar tanpa ada sebarang angin atau api yang menyapa mereka.

Fobia jadi penyanyi

Entah di mana salahnya, pengenalan seorang Farahdhiya sebagai penyanyi seakan-akan berlalu dibawa bayu.

Rata-rata jika tidak meletakkannya sebagai Kirana Ku Milikmu, Farahdhiya akan melihat dirinya sebagai Julia atau Fatin Spa Q. Nama-nama watak yang dibawakannya sudah melekat dek lakonannya yang membanggakan.

Diimbas kembali, gadis berusia 24 tahun ini bermula dengan album perdana Bertakhta Di Hati dengan mengalunkan lagu tajuk yang sama nukilan Tam Spider.

Kemudian, bakatnya sebagai penyanyi seakan-akan mati dek kerana sepinya promosi album kedua. Dia kesal akan hal itu dan tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada album ketiganya.

Namun bagaikan satu badi, baru melangkah menjadi artis residen Maestro, syarikat tersebut sudah ditutup sebelum proses promosi dijalankan. Insiden itu mengembalikan memori hitam Farahdhiya terhadap peristiwa yang sama dengan syarikat rakaman terdahulu.

"Saya fobia sebenarnya untuk menjadi penyanyi. Bukan tidak mahu malah sangat bersemangat. Lebih-lebih lagi dengan material yang berkualiti tinggi dalam album ketiga saya.




"Cuma saya takut peristiwa hitam akan berulang setiap kali semangat itu semakin tinggi," kesalnya dalam doa yang menggunung agar ingatan masyarakat tetap terpahat kepada suaranya yang pernah berkumandang.

"Saya sayangkan material dan kerja-kerja yang telah dilakukan untuk album ketiga. Saya tidak mahu membuang masa dan mensia-siakan usaha mereka yang terlibat dalam album tersebut.

"Perancangan saya dalam masa terdekat adalah mahu mengadakan perbincangan serius dengan bekas bos Maestro, Freddie Fernandez. Saya mahu sesuatu dilakukan untuk album ketiga saya," serius bicara gadis yang lahir di Itali ini.

Ingin terus berlakon

"Saya sudah mula rasa gian untuk terus berlakon," ujar Farahdhiya. Sambil bercerita mulutnya terkumat-kamit mengunyah tempe dan begedil yang dibeli ayahnya.

Dia tersenyum saat diusik bagaimana pemilik wajah minah saleh sepertinya makan makanan tradisi Malaysia. "Oh, saya memang gemarkan makanan tradisional malah saya boleh memasaknya sendiri."

Terbaru, dia baru sahaja selesai penggambaran siri drama Kejar arahan Bade. Sesuatu yang berlainan ditampilkan dalam drama itu apabila dia terpesong terus daripada watak penggoda.

Kali ini Farahdhiya membawakan watak tomboi, karakter yang sebenarnya ada di dalam dirinya iaitu elemen lasak dan sukakan cabaran.

Gadis ini antusias bercerita tentang dunia lakonan. "Waktu pertama kali saya mendapat skrip Spa Q, saya terus meminta tunjuk ajar teman baik saya, Zizie Ezzete.

"Dia umpama mentor yang sampai sekarang akan menjadi rujukan saya untuk setiap watak. Sayangnya kami belum pernah ditemukan dalam satu adegan."

Siri drama Spa Q daripada musim pertama hinggalah ke musim kedua memberikan impak yang paling besar dalam kehidupan Farahdhiya sebagai artis.




"Ramai mak cik yang mengaku geram dengan watak saya dalam siri tersebut. Mereka memberikan respons yang baik dan tidak terlalu taksub dengan Fatin atau Julia.

"Mereka mengaku marah dan benci tetapi setakat itu sahaja. Tapi kalau dilihat kepada respons kaum adam, mereka melihatnya sebagai 'jamuan mata'.

"Ada yang sangka dengan membawakan watak penggoda, maka dalam kehidupan sebenar, saya ialah wanita yang 'boleh dimakan'. Tetapi mereka silap besar," kata Farahdhiya.

Dalam nada ceria dia memberitahu bahawa segala pengalaman godaannya di layar televisyen adalah hasil interpretasi melihat kawan-kawannya sendiri.

"Itulah realiti kehidupan. Saya melihat karakter kawan-kawan dan saya satukan dalam satu watak. Jika ada yang menyangka saya penggoda, mereka silap. Kerana warna sebenar karakter saya adalah pemalu dan berat mulut terutama jika seseorang itu tidak mengenali saya," katanya yang pernah dikaitkan dengan penyanyi Hattan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: