Monday, April 20, 2009

Dana kami ‘luar biasa’ – PNB


– Tan Sri Hamad Kama
Piah Che Othman
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB


BAGI Permodalan Nasional Berhad (PNB), dana-dana amanah yang diperkenalkan mempunyai keunikan dan kelebihan luar biasa, bukan hanya di Malaysia tetapi dunia. Malangnya, masih ramai rakyat negara ini terutamanya bumiputera, tidak memahaminya secara mendalam di sebalik usaha meningkatkan bilangan rakyat celik pelaburan.

Bagi Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, kelebihan dana amanah PNB telah menyaksikan sambutan yang diberikan oleh bukan bumiputera menggalakkan sekali.

‘‘Kalau dana PNB tidak bagus, bagaimana mungkin ia habis dilanggan dalam tempoh yang singkat,’’ kata beliau yang melihat sesetengah pihak mudah terpedaya dengan skim cepat kaya. Beliau bagaimanapun, gembira kerana terdapat perubahan sikap dalam usaha firma pelaburan itu mendidik para pelabur tempatan dalam dunia pelaburan unit amanah.

Hamad Kama Piah dalam temu bual dengan wartawan Utusan Malaysia, MOWARDI MAHMUD dan AINUL ASNIERA AHSAN memperkatakan produk, peranan dan perkembangan semasa PNB sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) Ke-10 yang diadakan di Johor Bahru.

UTUSAN: Dalam situasi ekonomi sekarang, adakah berlaku perubahan dalam penyertaan pelaburan?

HAMAD KAMA PIAH: Apa yang saya nampak adalah peningkatan pelaburan khusus dalam produk harga tetap disebabkan pelabur tidak mahu menanggung risiko turun naik pasaran. Oleh sebab itu, produk ini semakin mendapat sambutan.

Pada pandangan Tan Sri, adakah perubahan ini juga berlaku kerana kesedaran melabur semakin baik di kalangan pelabur tempatan?

Sebenarnya sukar untuk kita mengukur tentang tahap kesedaran. Ini kerana adakah peningkatan jumlah pelabur juga menunjukkan kesedaran melabur semakin tinggi? Boleh jadi, ia disebabkan pelaburan itu baik untuk pelabur kerana PNB menawarkan pulangan yang kompetitif.

Apakah PNB mempunyai penanda aras dalam menentu ukur pencapaian pelaburan dana amanah oleh pelabur bumiputera?

Tidak ada, tetapi kita boleh melihat kesedaran di kalangan pelabur itu, contohnya penyertaan mereka dalam ceramah dan seminar perancangan kewangan semakin ramai.

Dahulu, kalau kita mahukan lebih ramai orang (hadiri acara pelaburan) kita kena pergi ke luar bandar tetapi sekarang untuk mendapat penyertaan kira-kira 200 orang dalam program PNB, agak mudah. Ini menunjukkan semakin ramai yang mahu belajar dan meningkat pengetahuan mereka dalam industri pelaburan.

Apabila orang mahu menimba lebih banyak pengetahuan dan PNB pula mahu berkongsi ilmu, kita harap apabila timbul skim-skim cepat kaya mereka mampu menjauhinya.

Selain itu, para peserta program PNB semakin minat bertanya berbanding sebelum ini. Begitu juga dengan purata pelaburan setiap orang juga meningkat.

Jadi apa maknanya?

Ini menunjukkan kesedaran itu ada. Tetapi, kita perlu faham bahawa hendak melabur kita (pelabur) juga kena ada kapasiti, kena ada duit. PNB tidak tahu berapa peratus duit yang mereka (para pelabur) gunakan untuk melabur.

Jadi kalau dilihat daripada segi teori skim seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) itu memang cukup baik sebab labur berapa banyak pun, mereka boleh ambil pada bila-bila masa.

Dan, dengan sendirinya pelabur sebenarnya boleh membuat perancangan apabila terdesak baru keluarkan pelaburan tersebut kerana tidak ada perasaan bimbang. Inilah yang berlaku sekarang, maknanya pelabur tempatan telah mula mengekalkan pelaburan mereka. Kalau ukur daripada segi itu memang ada peningkatan.

Adakah krisis ekonomi semasa menjejaskan pelaburan syarikat-syarikat milik PNB?

Sedikit sebanyak memang terjejas terutama yang terlibat dalam eksport tetapi kita beruntung kerana krisis yang berlaku bukan bermula di Malaysia. Pelaburan PNB dalam sektor kewangan juga tidak menerima kesan buruk walaupun orang melihat saham Maybank memang nampak turun tetapi selepas dilaksanakan terbitan hak, kedudukannya saya harap kembali semula ke landasan sebenar, iaitu kedudukan pulih kembali. Syarikat-syarikat lain kita masih tidak nampak lagi penurunan yang ketara.

Kaum bumiputera kini dilihat mempunyai pemikiran lebih liberal daripada segi aspek pelaburan, adakah ia memberi kesan kepada PNB?

Itu tidak menjadi masalah kepada PNB kerana sebagai pelabur mereka berhak membuat keputusan untuk melabur di mana-mana. Ada pelabur yang melabur dalam unit-unit amanah lain tetapi apabila rugi mereka akan kembali semula kepada PNB, terpulanglah kepada mereka.

Sebab itu PNB sentiasa memperkukuhkan ilmu pelaburan supaya akhirnya mereka boleh membuat pilihan. PNB tidak pernah memaksa untuk melabur ke dalam produk-produk yang ditawarkan, ia sukarela.

Ini bermakna kalau pelabur tidak suka produk dan prestasi PNB mereka boleh keluarkan pelaburan. Tetapi kalau benar pelabur tidak mempercayai keupayaan PNB, adalah mustahil baginya menguruskan dana berjumlah RM80 bilion sekarang ini. Ini menunjukkan pelabur semakin yakin dengan PNB.

Namun kalau yakin sahaja memang tidak mencukupi sebab tahap keyakinan juga boleh dipersoalkan sekiranya PNB tidak mampu menunjukkan prestasi.

Jadi peranan PNB dihargai?

Banyak kali saya katakan selagi orang Melayu tidak faham pelaburan risiko dan pulangan, selagi itulah mereka tidak akan menghargai PNB.

Kalau mereka sudah faham konsep itu, barulah pelabur Melayu akan menghargai PNB. Apa yang ingin saya katakan sejak pelancaran produk pertama sejak 27 tahun lalu purata pulangan pelaburan yang diberikan oleh PNB adalah sembilan hingga 10 peratus setahun.

Malah, produk-produk PNB sentiasa mendapat sambutan di kalangan rakyat Malaysia sehingga ada produk kita yang mampu dijual dalam tempoh singkat.

Tapi bukankah sambutan pelabur itu disebabkan kekuatan kepada produk unit amanah berharga tetap?

Tidak, bukan sebab harga tetap sahaja sebaliknya juga disebabkan oleh produk PNB (dana amanah) boleh dikeluarkan pada bila-bila masa. Kalau harga tetap tetapi sekiranya pelaburan hanya boleh dikeluarkan lima tahun lagi, tidak akan bagus juga. Kita tidak ada penalti kalau hendak mengeluarkan pelaburan. Sebab itu, saya kerap kali katakan faktor harga tetap sahaja tidak cukup kalau PNB bayar agihan pendapatan sebanyak satu peratus, orang tidak melabur juga kerana lebih baik simpan dalam deposit tetap boleh dapat dua peratus. Sebenarnya, sifat ciri-ciri dalam produk PNB itu sendiri adalah sexy appeal (tarikan kuat) itulah realitinya.

Oleh itu kita tidak boleh katakan harga tetap sebagai kekuatan PNB tetapi semua kombinasi yang ada. Apabila kita bercakap mengenai produk pelaburan, semua langkah ada risiko. Produk unit amanah harga tetap dan harga berubah-ubah tetap mempunyai risiko berbeza- beza.

Kalau unit amanah harga berubah-ubah pulangannya baik tetapi risikonya tinggi, pelabur tidak mahu juga. Kalau pelaburan hanya boleh dibuat di Kuala Lumpur sahaja, tidak boleh dibuat di Kelantan atau Terengganu, pun tidak boleh juga.

Ini semua juga berkaitan dengan risiko. Dalam aspek ini, risiko pelaburan PNB terletak pada bahu pengurus dana berbanding pelabur.

Secara teorinya, kita lihat sekiranya pengurus dana unit amanah lain membayar lima peratus begitu juga PNB, tetapi dengan risiko tadi, sebenarnya PNB bayar 10 peratus. Adakah pelabur berfikir macam itu?

Sampai bila PNB berupaya memikul tanggungjawab yang begitu besar seperti mana sekarang?

Bergantung kepada strategi PNB kerana kita sentiasa bersaing dengan pesaing yang besar. Saya melihat falsafah PNB sebagai White Ocean yang tidak mempunyai persaingan kepada pesaingnya.

Firma pelaburan mana yang hendak buat (melakukan seperti mana PNB), dengan melabur hanya RM10, pelabur boleh mengharapkan pulangan yang kompetitif.

Tidak ada firma pelaburan lain di dunia yang sanggup berbuat demikian seperti PNB yang mana tujuan utamanya adalah membantu orang. Di PNB, golongan miskin tegar pun boleh melabur tetapi pada masa sama PNB masih mampu membuat keuntungan daripada pelaburan RM10 itu.

Kami mahu beritahu dunia bahawa konsep yang dilaksanakan PNB masih mampu mencatatkan kejayaan. Apa yang hendak dikatakan peranan PNB adalah menyeluruh iaitu kebajikan, tanggungjawab sosial korporat, pendidikan. PNB menjelma dalam pelbagai bentuk kerana pada akhirnya semuanya untuk rakyat Malaysia.

Kenapa PNB membenarkan pelabur mengeluarkan pelaburan pada bila-bila masa?

Dulu semasa hendak memulakan produk, PNB menghadapi masalah kerana rakyat Malaysia terutamanya bumiputera ketika itu tidak mempunyai wang yang cukup untuk membelanjakan RM10 bagi pelaburan. Jadi untuk menarik perhatian, kita memperkenalkan konsep pelaburan boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.

Jadi, dalam aspek ini, umum boleh lihat bagaimana sukarnya PNB perlu menghadapi risiko berbanding pelabur. Kami sebenarnya telah mengadakan produk yang memudahkan semua pihak melabur.

Untuk menggalakkan pengekalan pelaburan, PNB memperkenalkan pula bayaran bonus pada 1998. Kita perkenalkan long term money for long term strategy. Kalau tidak macam mana hendak memastikan pelaburan pelabur bertambah?

Apakah keistimewaan MSAM ke-10 yang diadakan di Johor Bahru tahun ini?

PNB masih guna konsep yang sama, cuma kita menambah baik setengah-setengah aspek termasuk menambah nilai perkara-perkara yang kini menjadi keutamaan PNB.

Saya berharap MSAM akan diteruskan. Acara ini merupakan agenda pendidikan berterusan PNB.

MSAM penting untuk pendidikan pelaburan. Bahkan kita juga mengadakan Seminar 350 hari, seminar perancangan kewangan setiap hari.

Tidak ada orang lain di dunia yang buat begini secara berterusan, bersesuaian dengan konsep usahawan sosial yang kita perkenalkan yang boleh diumpamakan mengajar orang memancing dan pada masa yang sama melakukan revolusi dalam industri perikanan.

Dalam industri amanah ini, PNB memberi pengagihan pendapatan yang kompetitif seperti memberi ‘ikan untuk dimakan’ tetapi pada masa yang sama turut mengajar mereka ‘memancing ikan’ dengan memperkukuhkan ilmu pelaburan di dada pelabur supaya mereka boleh membuat keputusan sendiri. Dan kalau mereka sedar akan pelaburan, mereka akan terus melabur, sekali gus memberi impak yang kukuh kepada industri pelaburan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: