Thursday, April 2, 2009

Bebas radiasi, bebas kesakitan

BIT adalah teknologi pemeriksaan kanser payu dara dari Rusia yang bebas radiasi ion dan tidak menyakitkan.




SUDAHKAH anda melakukan pemeriksaan kanser payu dara? Sewaktu anda membaca artikel ini, dilaporkan lebih daripada satu juta wanita di seluruh dunia menghidap kanser payu dara setiap tahun. Penyakit itu juga dikenal pasti sebagai sebab kedua paling tinggi berlakunya kematian akibat kanser di peringkat global.

Daftar Kanser Kebangsaan melaporkan bahawa kekerapan kanser payu dara di negara ini adalah dalam lingkungan 46.2 bagi setiap 100,000 wanita. Ia adalah kanser pembunuh utama dalam kalangan wanita berumur 40 tahun dan ke atas.

"Peringkat umur ini adalah peringkat umur yang produktif bagi wanita. Dianggarkan seorang dalam 19 wanita mempunyai risiko untuk mendapat kanser payu dara dalam jangka hayat mereka," kata Datuk Faizah Mohd. Tahir, Ketua Setiausaha Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat pada majlis pelancaran program kempen pengesanan awal kanser payu dara di HeiTech Padu Berhad (HeiTech), Subang Jaya, Selangor.

"Pengesanan awal penting kerana ia memungkinkan rawatan dan kadar ikhtiar hidup yang lebih baik atau mempunyai peluang sembuh sehingga 90 peratus," jelasnya.

Pada majlis itu, beliau turut menggalakkan dan menghargai inisiatif sektor korporat dalam membangkitkan kesedaran masyarakat tentang kanser payu dara.

HeiTech, sebuah syarikat penyelesaian ICT turut tidak ketinggalan dalam menabur jasa untuk memperkasakan wanita. Sejajar dengan matlamat kerajaan membasmi kanser, HeiTech menyebarkan mesej kepada lelaki dan wanita agar menjalani gaya hidup yang sihat dengan meluangkan masa membuat pemeriksaan.

Presiden HeiTech, Safiee Mohamad berkata: "Pengesanan awal membantu menyelamatkan nyawa. Sebab itulah, kami sentiasa mengorak langkah mencari teknologi pengesanan yang lebih berinovasi."

"Kesungguhan ini membuahkan hasil apabila HeiTech berjaya membawa masuk alat Bio-Impedence Tomography (BIT) dari Rusia," jelas Safiee yang yakin bahawa selain mendidik komuniti tentang penyakit kritikal itu, kemudahan-kemudahan asas yang selesa perlu disediakan.


NODUS Aksilari


Alat BIT boleh digunakan oleh lelaki kerana mereka juga tidak terkecuali terdedah kepada risiko kanser. Menariknya tentang alat ini adalah, ia bebas daripada sinaran radiasi dan tidak menyakitkan. Peralatan itu yang buat pertama kali diperkenalkan di Malaysia mudah digunakan oleh semua wanita tanpa mengira umur, hamil, datang haid dan sebagainya.

"Ciri utama peralatan itu ialah ia terbukti tidak mendatangkan kemudaratan kepada pesakit dan bebas daripada radiasi ion sekali gus menjadikannya tidak berbahaya kepada ibu-ibu mengandung atau menjalani prosedur rawatan pemulihan," kata Safiee lagi.

Fungsi BIT dilihat sebagai pelengkap kaedah-kaedah yang sedia ada dalam proses pengesanan kanser payu dara seperti mamogram dan ultrasound yang terdapat di Malaysia. BIT membantu mengesan tisu payu dara yang tidak sihat termasuk tisu kanser.

Ciri-ciri lain adalah ia boleh diguna secara kerap oleh seseorang individu, efisien, tiada kesan sampingan, memberi gambaran tiga dimensi pada bahagian ketumbuhan dan boleh dibawa ke mana-mana.

BIT terdiri daripada sebuah alat kompak yang boleh dipegang dengan tangan. Ia mempunyai 256 elektrod kecil yang akan ditekan pada payu dara. Semasa rawatan, individu lelaki diminta duduk manakala perempuan disaran baring di atas katil.

"Pesakit akan diminta memegang sebuah rod kecil di mana tapak tangannya dibasahkan. Setelah kawasan payu dara dibasahkan dengan air, alat berbentuk bulat ini akan ditekan di atas payu dara bagi merakamkan gambar dan memperoleh data yang dikehendaki," ujar Dr. Azalina Mohd. Yunos, seorang perunding perubatan bebas.

Rod itu mengalirkan aliran elektrik yang rendah iaitu sekitar 50kHz bagi mengaktifkan prosedur. BIT pula disambung pada sebuah komputer yang akan mengumpul maklumat tomografi atau imej.

Sebanyak tujuh imej tomografi akan dihasilkan dalam masa 40 saat dengan kedalaman 0.4 hingga 4.6 sentimeter bagi mengesan ketumbuhan yang tersembunyi. Imej itu merangkumi kawasan dinding dada.


LELAKI juga boleh menggunakan alat BIT ini memandangkan mereka juga terdedah pada risiko kanser.



AZEAN IRDAWATY


Sistem pengesanan itu yang telah wujud sejak tahun 1998, menerima banyak pengiktirafan termasuk kadar keputusan yang tepat. "Kami juga menggunakan tangan untuk melakukan pemeriksaan manual tetapi semuanya mengambil masa yang singkat iaitu dalam 20 minit," ungkap Dr. Azalina.

"Imej hitam yang anda lihat sekarang tidak semestinya tisu kanser tetapi dengan penelitian doktor yang bertauliah, mereka mampu memberi jawapan yang lebih fokus," tambahnya.

Pelanggan yang mempunyai tisu payu dara yang sihat akan diberi kad keputusan. Bagaimanapun, mereka yang tidak mempunyai tisu payu dara yang sihat atau pra-kanser atau mempunyai petunjuk tisu kanser payu dara, mereka akan dirujuk kepada doktor.

"Kami mempunyai lima peralatan BIT di mana setiap satu berharga RM300,000," kata Safiee.

Menurutnya, memandangkan alat BIT mudah dipasang dan dibawa ke mana-mana, pihaknya kini sedang berurusan dengan pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat-syarikat bagi melakukan pemeriksaan kanser payu dara untuk kakitangan atau ahli di tempat mereka.

Dengan berbuat demikian, kemudahan pemeriksaan kanser payu dara tidak hanya terhad di hospital dan klinik.


IMEJ yang dihasilkan oleh alat BIT.


Kehadiran pelakon popular, Azean Irdawaty yang menghidap kanser payu dara turut meniupkan semangat kepada wanita lain untuk melakukan pemeriksaan awal.

Sementara itu, kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia 2004 (MPFS) mendapati, kira-kira 60 peratus wanita pernah melakukan pemeriksaan sendiri dan 53.2 peratus melakukan pemeriksaan di klinik. Sebaik-baiknya, peratusan ini diharap meningkat kepada 80 hingga 90 peratus setanding dengan negara-negara maju.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: