Sunday, April 26, 2009

Bahasa rojak dan imej korporat

SEKARANG ini kalau kita menonton drama atau filem misalnya, satu yang pasti, bahasanya bercampur aduk. Ada yang menggunakan sekerat bahasa Melayu sekerat pula bahasa Inggeris. Nak tunjuk moden, kononnya.

Orang sekarang kata, ini bahasa rojak. Macam rojak buah yang dicampur serba serbi. Bezanya rojak rasa sedap, tapi bahasa rojak boleh buat telinga jadi bengkak.

Bahasa rojak adalah merujuk kepada penggunaan bahasa campuran bahasa, tidak kiralah Melayu dengan Inggeris atau Melayu dan Cina dan sebagainya dalam pertuturan.

Sekarang ini semakin banyak filem dan drama kita menggunakan bahasa rojak. Malah dalam majlis rasmi pun banyak juga yang bercakap bahasa rojak padahal yang bercakap itu sepatutnya menjadi teladan kepada orang lain.

Tak pasti di mana signifikannya penggunaan bahasa rojak dalam drama atau filem kita. Tapi Wanda saksikan kalau ada kaitan pun ialah imej korporat, pelakonnya akan bercakap dalam kacukan dua bahasa ini.

Konon bila bercakap dalam bahasa Inggeris campur Melayu nampak lebih bergaya dan gah. Ada imej korporat. Tetapi hakikatnya inilah keparat kepada bahasa Melayu.

Ada juga mahu menunjukkan kemodenan masyarakat yang rata-rata sekarang ini memang semakin asyik menggunakan bahasa rojak.

Tak pasti adakan kalau kita guna bahasa Melayu, dunia korporat kita nampak lekeh? Atau tak moden sangatkah kita kalau kita bercakap dalam bahasa Melayu yang baik?

Susah sangatkah nak bertutur bahasa Melayu sepenuhnya dalam drama atau filem? Atau sudah kurang benarkah penggunaan perbendaharaan kata bahasa Melayu? Ini bahasa kebangsaan bukan saja bahasa orang Melayu. Kena fahamlah bab itu.

Wanda rasa banyak ayat-ayat mudah dan indah yang kita gunakan sehari-hari. Kenapa tak digunapakai ayat-ayat itu.

Bukankah asas pembelajaran bahasa juga boleh berlaku ketika kita menonton. Elok kalau anak-anak kita dapat mempelajari bahasa ibundanya ketika menonton drama atau filem.

Kalau mahu guna bahasa Inggeris, apa kata terbitkan sahaja drama atau filem tempatan dalam bahasa Inggeris. Macam ada sebuah drama bersiri yang pernah popular di kaca televisyen satu ketika dulu.

Kalau tidak, Wanda syorkan penerbit kita, pakai sahaja bahasa kebangsaan. Nak buat alih bahasa pun senang. Ini sudahpun bahasa rojak, sarikata pun kadang-kadang berterabur.

Alih bahasa ke Melayu pun ada kalanya kelam kabut. Apalagi yang dalam bahasa Inggeris. Wanda banyak perhatikan, sarikata Inggeris yang digunakan selalu dibuat sambil lewa.

Ada pula dialihbahasakan secara langsung. Bila ini berlaku, adakalanya bukan sahaja buat kita ketawa membacanya malah 'lari' daripada maksud sebenar ayat yang diperkatakan.

Oleh itu, harapan kepada pembuat sarikata, tolonglah fahami ayat-ayat yang dilontarkan dalam drama sebelum dialihbahasakan.

Itu perihal dialog dan sari kata. Belum lagi beberapa judul terutama filem yang galak menggunakan bahasa Inggeris. Mungkin kita tengok hanya dua tiga judul sekarang.

Tapi kalau dah dimulakan dan tiada siapa menegur, mana tahu mungkin ia boleh menjadi satu keseronokan pula satu hari nanti. Wanda tahu, bila Wanda bangkitkan soal bahasa rojak ini, mungkin ada yang kata ini isu lama dan lapuk. Mungkin ada kata ia isu remeh. Ia menjadi lapuk sebab sesetengah orang kita memang lapuk.

Tapi kalau kita mahu memperkasa dan memperkaya bahasa Melayu yang kita sanjung, kita seharusnya melakukan sesuatu. Mungkin sebaiknya, kita melakukan perubahan mulai sekarang. Jangan tunggu esok.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: