JACKIE CHAN dan Daniel Wu berbogel bersama? Membaca kenyataan tersebut, mungkin peminat Jackie Chan gusar apakah pelakon aksi Hong Kong pujaan mereka itu sudah beralih selera seksnya?
Jangan gusar, Jackie sememangnya seorang heteroseksual. Dia dan Daniel berbogel cuma dalam satu babak filem terbaru mereka, Shinjuku Incident.
Namun, mungkin pula ada peminat kedua-dua pelakon popular Hong Kong itu cuak adakah filem itu berkisar mengenai golongan gay, sementelah Daniel sendiri pernah melakonkan watak gay menerusi filem Bishonen (1998)?
Sebenarnya Shinjuku Incident mencatatkan banyak sejarah tersendiri buat Jackie. Jika selama ini, dia sentiasa tampil dengan aksi-aksi lasak sebagai hero yang membanteras jenayah dengan gabungan elemen komedi, namun menerusi Shinjuku Incident, Jackie tampil sangat berbeza.
Dalam filem genre drama berat itu, Jackie menampilkan sisi lakonannya yang berbeza, yang mungkin bakal membuatkan segelintir peminatnya memberikan respons negatif. Kali ini, dia melakonkan watak lelaki dari kampung yang tidak mahir dengan seni kung fu.
Mengunjungi Malaysia untuk mempromosikan filem itu bersama Daniel baru-baru ini, Jackie bagaimanapun mahu audiens terutama peminat fanatiknya menerima perubahan itu.
Jackie mengakui semasa dia di Jepun baru-baru ini, ada kalangan peminat yang berjumpa dengannya sambil menangis. Kenapa agaknya?
"Sudah lama saya ingin berubah (dalam filem lakonan saya). Pertama kali menjadi orang jahat dari kampung, saya kena pukul sehingga mati. Memang ramai boleh menerima perubahan itu tetapi semasa di Jepun ada segelintir peminat yang sedih melihat saya dipukul dan mati," ujarnya.
Sering mengunjungi Malaysia, Jackie sebenarnya bergegas dari Singapura pada awal pagi untuk ke Kuala Lumpur sebelum terbang ke Beijing, China bagi meneruskan rakaman filem terbarunya, Junior Soldiers. Filem itu kembali menampilkan diri Jackie Chan yang 'lama'.
Meneruskan bicara mengenai Shinjuku Incident, tambah Jackie, dia bukan sahaja mencuba pembaharuan dari segi watak, malah menerusi filem itu dia buat pertama kalinya muncul dalam babak ranjang di atas katil.
Babak itu bagaimanapun tidak akan dapat ditonton oleh penonton Malaysia. Namun, Jackie sedikit pun tidak berasa kecewa.
"Setiap negara ada peraturannya sendiri. Bagi penonton Amerika Syarikat pula, filem seperti ini adalah biasa kepada mereka. Babak saya berbogel dengan Daniel di bilik mandi awam juga tidak dapat ditonton di pawagam-pawagam Malaysia.
"Saya percaya pengarah memasukkan babak sebegitu bukannya disebabkan unsur lucah tetapi atas keperluan skrip. Maka, saya tidak kecewa apabila babak itu disunting," jawabnya sambil diperhatikan Daniel.
Tidak ditayangkan di China
Menelan kos AS$25 juta (RM87 juta), pengarah Shinjuku Incident, Derek Yee telah mengambil keputusan untuk melepaskan pasaran China kerana tidak mahu 'memusnahkan' filem itu dengan menyunting semua babak-babak aksi kejam. Malah, keputusan itu disambut baik pelakonnya termasuk Jackie.
"Selepas berbincang dengan Derek, kami membuat keputusan untuk melepaskan pasaran China.
"Apabila semua babak aksi, seks dan dadah disunting, ia tidak kelihatan seperti sebuah filem lagi. Ini akan membuat penonton lain berfikir ia sebuah filem yang teruk. Jadi kami mengekalkan versi asal sebagai satu penghormatan kepada pengarah," jelasnya.
Menggabungkan bakat dari Hong Kong, China dan Jepun, filem itu dirakamkan di Jepun, Suzhou dan Changchun, China. Jackie yang sudah biasa bertindak sebagai pelakon, pengarah, penerbit, penulis serta penyelaras aksi lagak ngeri dalam satu filem juga 'dipaksa' untuk memberi fokus sebagai aktor sahaja dalam Shinjuku Incident.
"Sebelum penggambaran bermula, saya sudah berjanji dengan pengarah bahawa saya tidak akan tukar dialog atau terlibat dalam penyelarasan aksi.
"Saya tidak boleh memberi sebarang komen atau menyunting. Ia sebenarnya amat sukar bagi saya tetapi saya menghormati kehendak pengarah," jelasnya.
Derek sudah membuat penyelidikan selama 10 tahun dan filem itu sepatutnya memulakan penggambaran pada Mei 2006. Namun, disebabkan Jackie yang sibuk dengan penggambaran filem Rush Hour 3, penggambaran ditangguhkan sehingga September 2007.
"Sebenarnya 15 tahun lalu, Derek sudah menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan saya. Tetapi ketika itu dia mahu saya berlakon dalam filem yang tidak mengandungi lagak ngeri.
"Maka, saya tidak bersetuju. Kini disebabkan mahu perubahan, saya terus bersetuju. Lagipun saya mempercayai Derek sehingga sanggup melakukan perubahan besar," tegasnya.
Menyukai babak dia memotong tangan seorang ahli kongsi gelap dan saat dia menangis ketika berkongsi kesakitan yang dialami watak lakonan Daniel,Jie, Jackie memberitahu hanya untuk babak itu sahaja dia telah menangis lebih setengah jam. Namun, disebabkan faktor masa, banyak babak yang menarik terpaksa dipendekkan.
Penonton di Malaysia juga tidak berpeluang menyaksikan babak terakhir apabila Xu Jinglei (lakonan Xiu Xiu) dan Fan Bingbing (Lily) pulang ke China. "Sebelum memulakan rakaman, saya membuatkan diri saya berada dalam keadaan tertekan.
"Apabila saya duduk di sisi Daniel yang sedang berbaring, saya terus menangis apabila melihat dia menangis. Malah sehingga pengarah menghentikan penggambaran, saya dan Daniel masih lagi menangis. Selain daripada menangis, ada beberapa babak yang menarik juga terpaksa dipendekkan kerana faktor masa," jelas Jackie.
Tidak mahu terus terkongkong dalam filem-filem popularnya seperti siri Rush Hour dan Police Story, Jackie menyatakan filem-filem begini tidak lagi memberikan perasaan teruja kepadanya walaupun masih diminati penonton. Maka cerita mengenai pendatang haram itu sendiri telah menarik perhatian Jackie.
"Di Shijuku itu sendiri ada pendatang dari China, Taiwan, Vietnam, Kemboja dan beberapa negara Asia. Tapi kami cuma bercerita dari segi orang Cina. Ramai di antara mereka ditipu bahawa bekerja di negara luar bakal menjanjikan pulangan yang lumayan.
"Mesej yang kami ingin sampaikan adalah tiada negara yang lebih baik daripada negara sendiri," katanya yang turut diberi sambutan hari jadi ke-54 secara kejutan pada majlis sidang media itu.
Daniel matang di sisi Jackie
Sudah lama tidak melawat Malaysia, Daniel memberitahu penggambaran kali ini tidak mudah baginya. Kali ketiga bekerjasama dengan Jackie, lakonan Daniel dilihat lebih matang dan mengejutkan ramai pihak.
Melakonkan watak sebagai seorang pengecut dia kemudian menjadi lelaki psiko.
Peralihan watak yang drastik itu dilihat sebagai satu pengembaraan kepada Daniel. Merupakan pendatang haram dari China ke Jepun, Daniel telah menggunakan masa lebih empat bulan untuk menjiwai watak Jie.
Malah, pihak krew juga telah menggunakan masa yang agak lama bagi mencipta imej yang bersesuaian bagi dirinya sebagai lelaki psiko. Mula mencari identiti di Hong Kong, pereka kostum dan solekan kemudian mendapati apa yang mereka cipta sebelum itu tidak menepati budaya Jepun.
"Setibanya di Jepun, kami terkejut melihat perkembangan budaya Jepun. Apa yang dipakai adalah ekstrem dan tidak dapat dilihat di negara lain. Maka, imej saya diubah sama sekali. Imej Harajuku itu adalah simbolik sebagai topeng untuk saya melindungi perasaan takut saya," ujarnya.
Pertama kali bekerjasama dengan krew Jepun, Daniel pernah belajar di Jepun pada usia 16 tahun. Namun, ketika itu dia tidak mengetahui begitu banyak mengenai pendatang asing terutama masyarakat China di Jepun.
"Rupa-rupanya ramai orang China di Jepun. Mereka kelihatan seperti orang Jepun tetapi berkomunikasi dalam Mandarin. Saya terkejut apabila melihat komuniti itu di sana," kata Daniel, 34.
Meminati Jackie sejak kecil, Daniel menjadi artis di bawah syarikat Jackie, JC Group sekitar tahun 1998. Hubungan rapat mereka terjalin sehingga kini dan Jackie menganggap Daniel sebagai anaknya.
Perubahan yang dilakukan oleh Jackie dalam filem ini sendiri telah menarik perhatian Daniel.
"Secara jujur, ini adalah kali pertama saya melihat dia begitu menjiwai watak yang dipegang. Jika Jackie memberitahu dia menangis selepas melihat saya menangis, saya sebenarnya tersentuh dengan lakonannya.
"Itu yang membuatkan saya menangis. Babak itu berlaku dengan natural walaupun tidak ada dalam skrip," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: