Monday, April 20, 2009

Aqasha 'diracuni' Jehan

"Mula-mulanya Jehan Miskinlah yang asyik ‘racun’ saya, lama-lama saya yang ketagih dibuatnya. Bila tengok hasilnya, saya mula puas hati. Tambah lagi badan rasa semakin sihat




SemuanyA gara-gara termakan 'racun' yang disuakan oleh teman seperjuangannya, aktor Jehan Miskin. Akibat sudah diracuni, kini, pelakon tampan Aqasha sudah ketagihan.

Ironinya, racun dan ketagihan yang merasuk Aqasha bukanlah ke arah merosakkan diri sebaliknya, mendatangkan perasaan puas hati dan serta penampilan yang semakin seksi.

Bukan itu sahaja bahkan setiap kali melihat diri di cermin ketika bangkit dari tidur, di fikirannya sudah ada disiplin yang harus diikuti.

Sekal imbas, kenyataan di atas kedengaran sedikit mengelirukan namun tatkala menemu bual Aqasha baru-baru ini, ada perubahan ketara yang dapat disaksikan menerusi penampilan terbaru Aqasha.

Sedikit lebih matang seiring dengan usia yang kini menginjak 27 tahun, bukan usia sahaja yang bertambah kerana Aqasha kini sedang sibuk menambahkan otot-otot pada tubuh sasanya itu.

"Ya, sebenar saya selalu ke gim. Dah masuk bulan keempat sebenar. Mula-mulanya Jehan Miskinlah yang asyik 'racun' saya, lama-lama saya yang ketagih dibuatnya.

"Bila tengok hasilnya, saya mula puas hati. Tambah lagi badan rasa semakin sihat, tinggal lagi kena disiplin sahaja. Saya bukannya nak bikin sampai badan jadi six pack cuma nak dapatkan bentuk, dan penampilan yang saya suka dan saya sendiri semakin berdisiplin dalam bab masa dan pemakanan," luah Aqasha yang tersenyum kala diusik tentang penampilan terbarunya dikatakan semakin 'seksi'.

Ditanya lagi, adakah penampilan barunya itu sebagai meniru gaya mana-mana selebriti lain atau satu pelaburan untuk memancing tarikan mana-mana pihak, sementelah pula, trend untuk diangkat sebagai hero ketika ini bukan sahaja dinilai pada paras rupa tetapi haruslah tampan serta bertubuh sasa.

"Tak, bukan begitu. Saya cuma rasa semakin puas hati dengan perubahan ini, lagipun ia langsung tidak memudaratkan.

"Cuma saya risau, kalau-kalau berhenti ke gim nanti, berat badan akan naik mendadak. Sekarang saya kena pastikan, paling kurang dua atau tiga kali seminggu saya kena pergi ke gim," katanya yang menyimpan harapan untuk terus membina nama dalam industri seni, filem dan drama khususnya.

Kata Aqasha, dia bukannya melupakan terus bidang nyanyian, tetapi permintaan yang datang untuknya lebih memihak kepada lakonan.

Kelibat Aqasha juga sebenarnya agak jarang dilihat di layar lebar, yang kerap hanyalah drama. Untuk filem, selepas Embun, Aqasha tidak banyak diberikan peranan utama, kebanyakannya watak-watak pembantu serta karakter jahat.

"Sebenarnya saya serius dengan setiap apa yang saya ceburi. Sampai ke tahap ini, saya sudah lakukan yang terbaik. Tapi saya sedar, industri lakonan di Malaysia juga agak terbatas. Filem atau drama tidak penting yang penting besar mana impak yang datang. Setakat ini saya perasan, drama bersiri ada potensi yang sangat kuat untuk melekat di hati penonton.

"Tentang nyanyian pula, saya tidak mahu ambil perkara itu sambil lewa. Nyanyian masih jadi minat saya tapi saya tak nak menyanyi kalau setakat main-main sahaja, kalau tidak serius dan betul-betul ada material yang betul-betul bersedia, baik tak payah, nanti kena gelak," beritahunya yang pernah tampil menerusi dua buah album.

Tambah pelakon yang popular menerusi drama Mertua VS Menantu itu juga, untuk bidang seni yang diceburinya seawal usianya 19 tahun, dia tidak mahu digelar 'gajah putih'.

"Saya tak mahu sekadar ada nama tapi tidak ada impak. Saya masih dan sedang berusaha mencapai matlamat itu," katanya yang bakal muncul menerusi filem Rempit V3, arahan Farid Kamil.


AQASHA kini bergelar jurutera bunyi.


Dalam filem berkenaan, Aqasha melakonkan watak bernama Garing, masih lagi karakter antagonis seperti yang pernah dilakonkannya menerusi filem Gengster dan Rempit, beberapa tahun dahulu.

Jarang muncul untuk sesi fotografi dan lebih banyak memberikan ruang untuk bersukan dan beristirehat jika tiada jadual penggambaran, dalam diam Aqasha kini berjinak-jinak dengan dunia penerbitan audio di belakang tabir.

Tanpa diuar-uarkan juga, jejaka tampan kelahiran Kuala Lumpur ini sebenarnya sedang sibuk memburu kepuasan diri sebagai jurutera bunyi. Maklumlah, tahun lepas, dia baru sahaja menerima segulung ijazah jurusan Kejuruteraan Audio dari International College of Mucic atau lebih dikenali sebagai ICOM yang terletak di Jalan Pahang, di ibu negara.

Memulakan pengajiannya secara sepenuh masa sejak tahun 2005, Aqasha kini bergelar pelakon berijazah.

"Saya ambil jurusan kejuruteraan bunyi kerana saya minat dengan nyanyian. Bila ada idea saya cuba buat lagu sendiri. Jadi saya perlukan medium untuk luahkan apa yang ada dalam jiwa saya. Saya perlukan sesuatu yang konkrit untuk kepuasan diri.

"Dalam erti kata lain, saya mencari diri saya. Sekarang saya dekatkan diri dengan kerja-kerja belakang tabir, buat audio, buat susunan muzik dan lagu sikit-sikit," katanya merendah diri.

Sebagai pengenalan kerja belakang tabir pertamanya, Aqasha pernah bertindak sebagai jurutera bunyi untuk penghasilan lagu tema drama bersiri berjudul Joe & Faridah. Sebuah daripada lagu yang dimasukkan ke dalam drama berkenaan ditulis oleh Aqasha sendiri bertajuk Obsesiku.


BAKAL muncul menerusi filem arahan Farid Kamil, Rempit V3.Dalam bulatan, Aqasha bersama Jehan.


Kata Aqasha, itu semua untuk kepuasan peribadi bukannya sebagai alternatif untuk menjual satu lagi bakat yang ada sebagai sumber pencarian.

"Ruang lingkup untuk berjaya dalam bidang berkenaan ada tapi tak boleh buat duit. Sekarang, ada laptop sahaja semua orang boleh buat rakaman sendiri tambah lagi dengan zaman digital yang semakin canggih. Jadi, saya buat sebab saya minat dan kepuasan sendiri," katanya tidak berasa ralat memilih jurusan pengajian kejuruteraan bunyi kerana meminati muzik sejak kecil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: