Friday, October 3, 2014

Tomok, penyanyi hip hop pilihan Hafiz Hamidun


HAFIZ HAMIDUN mahu kembali menghasilkan album pop ketuhanan pada masa akan datang. Bagaimanapun dia masih mahu mengekalkan zikir di dalam album tersebut.


Pada saat dia menghasilkan album Zikir Terapi, tidak boleh dinafikan populariti Hafiz Hamidun melambung tinggi.
Album dakwah tersebut nyata bukan album picisan, sebaliknya sambutan peminat yang membeli tiga siri album tersebut (Zikir Terapi 1, 2 dan 3) mencecah angka 400,000 unit.
Zikir Terapi 3 yang telah berada di pasaran sejak bulan Ramadan lalu menjadi album terakhir siri tersebut yang diterbitkan oleh syarikat Arteffects International dan diedarkan oleh Warner Music.
Malah, album tersebut juga telah membolehkan penyanyi nasyid berusia 30 tahun itu menerima anugerah triple platinum.
Selepas kejayaan siri album tersebut, Hafiz yang ditemui pada pelancaran Zikir Terapi 3 yang berlangsung di Flora Terrace, Hamspire Place, Kuala Lumpur baru-baru ini menyatakan, dia akan muncul dengan album baharu tetapi kembali mengenengahkan konsep genre nasyid.
Lebih daripada itu dia kini mencari seorang penyanyi hip hop untuk berkolaborasi dengannya kelak.
Kosmo!: Hafiz, anda menyatakan akan muncul dengan album baharu yang bukan lagi seperti Zikir Terapi, sebaliknya anda akan kembali dengan irama nasyid. Boleh ceritakan sedikit mengenai album tersebut?
HAFIZ: Ya, sebenarnya saya rindu untuk mempunyai album nasyid seperti pada zaman bersama kumpulan UNIC dahulu. Jadi saya kembali menghasilkan album pop ketuhanan. Sehingga kini, saya sudah merakamkan tiga buah lagu. Insya-Allah jika tiada aral melintang, album baharu itu akan dilancarkan dalam bulan Mac tahun depan. Dalam album itu, saya sudah merancang untuk berkolaborasi dengan beberapa artis lain, antaranya Tomok. Saya juga mengimpikan untuk berkolaborasi dengan mana-mana penyanyi hip hop di negara ini bagi membawa lagu yang mengandungi unsur nasyid.
Siapa penyanyi hip hop itu dan kenapa anda memilih penyanyi daripada genre ini untuk berganding bersama?
Setakat ini, saya belum mempunyai pilihan yang khusus. Pada kali ini, saya memang mahu menonjolkan kolaborasi bersama penyanyi hip hop kerana mahu mencontohi penyanyi seperti Yasin yang dahulu pernah berduet bersama Too Phat dalam membawa lagu berunsur ketuhanan. Malah, Too Phat sendiri pernah menghasilkan lagu dakwah seperti Alhamdulillah. Jika mereka boleh lakukannya, kenapa tidak saya lakukan perkara yang sama.
Bagaimanakah anda boleh membayangkan lagu tersebut kelak bakal terjadi?
Apabila saya kembali kepada asal untuk membuat sebuah album nasyid, ia tidak bermakna saya meninggalkan corak album zikir sebelum ini. Jadi di dalam lagu yang menyaksikan saya akan berkolaborasi itu nanti, elemen zikir akan menjadi faktor kekuatan lagu tersebut, sekali gus membawa kelainan.
Boleh anda jelaskan mengenai penundaan konsert Zikir Terapi Diri yang sepatutnya diadakan di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching, Sarawak pada 3 Oktober ini?
Jika mengikut perancangan, konsert itu ditunda tetapi saya tetap mahu meneruskan hasrat melakukan konsert tersebut. Memang tarikh sebenar ialah pada 3 Oktober depan tetapi akibat bertindih dengan sebuah program bersama RTM dan tarikhnya pula dekat dengan tarikh Hari Raya Aidiladha, maka saya terpaksa tunda kepada tarikh lain. Saya merancang meneruskan konsert itu pada hujung tahun ini. Sementara itu, saya menggantikan konsert tersebut dengan persembahan zikir di Menara Kuala Lumpur, Exclusive Night With Hafiz Hamidun at Mega View pada 7 November depan.
Difahamkan anda kini telah meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan Arteffects dan hanya menjadi Pengarah Kreatif sahaja. Mengapa anda meletak jawatan?
Saya meletak jawatan atas sebab kesuntukan masa menguruskan syarikat. Pada masa yang sama saya juga sibuk dengan perniagaan, jadi lebih baik saya letak jawatan dan kini saya hanya fokuskan kepada kerja-kerja kreatif dalam syarikat sahaja.
Anda menyatakan sibuk dengan perniagaan. Perniagaan apa yang anda ceburi dan mengapa ceburkan diri dalam bidang perniagaan pula?
Saya kini sibuk dengan urusan perniagaan butik Mikraj Concept. Terletak di Empire Damansara, Damansara Perdana, butik tersebut menempatkan pelbagai jenama baju, koleksi jubah milik saya sendiri, aksesori, jubah lelaki dan wanita serta banyak lagi. Saya masuk dalam bidang ini kerana saya ingin membuka peluang kepada pembeli secara dalam talian (online) untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka ke dunia nyata. Saya juga ada merancang untuk membuka cawangan di setiap negeri.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: