Wednesday, October 15, 2014

Tatu Tentera Darat pukau pengunjung

ANJING-ANJING daripada baka German Shepherd, Rottweiler, Labrado dan Border Collie yang diimport dari United Kingdom membantu anggota tentera menyerang pengganas.


PERSEMBAHAN berprestij yang melibatkan 1,600 anggota tentera pada pertunjukan Tatu Tentera Darat 2014 yang berlangsung selama dua malam di padang kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di Port Dickson, Negeri Sembilan berjaya menarik lebih 35,000 pengunjung.
Acara selama dua malam berturut-turut yang bermula pada 26 September lalu dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan bersama Tentera Darat. Acara yang bermula pada pukul 8.30 malam itu berlangsung selama dua jam.
Persembahan di Bandar Tentera Darat itu dimulakan selepas dentuman kuat meriam 105mm Pack Howitzer L5 seberat 1,703 kilogram dilancarkan di tengah padang kawad seluas kira-kira sebuah padang bola sepak.
Beberapa alunan lagu bertenaga daripada Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja, drum liner dan gabungan brass band serta bag pipe yang segak dengan seragam membuka tirai pertunjukan.
Aksi di padang kawad itu semakin menarik apabila para penonton berpeluang menyaksikan kebolehan istimewa lapan ekor anjing perang dari Cawangan Anjing Perang, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada).
Mendebarkan
Anjing-anjing daripada baka German Shepherd, Rottweiler, Labrado dan Border Collie yang diimport dari United Kingdom itu melakukan aksi-aksi mendebarkan seperti melompat halangan dalam gelung berapi, keupayaan menerima arahan serta membantu anggota tentera menyerang pengganas.
Acara lasak reda seketika dengan persembahan tarian tradisional oleh sekumpulan penari daripada Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan yang lincah menari.
Selesai persembahan muzikal, orang ramai kemudian tertumpu kepada kepakaran anggota-anggota tentera daripada Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja dan Artileri yang masing-masing memasang kenderaan pacuan empat roda Jeep dan meriam 105mm dalam tempoh yang singkat.
Pertunjukan pancaragam melibatkan gabungan tiga divisyen infantri mengambil tempat dengan gerakan yang lebih bertenaga dan menarik. Malah pengunjung menghela nafas setiap kali cokmar dilambung tinggi ke udara sebelum berjaya ditangkap semula.
Ia kemudian diikuti persembahan tempur tanpa senjata yang menunjukkan seni mempertahankan diri. Antara aksi yang dipertontonkan adalah kilas-mengilas tanpa senjata serta bertarung menggunakan senjata kayu dan senjata tajam.
Lebih mendebarkan penonton apabila anggota-anggota keselamatan menunjukkan aksi hebat seperti melompat halangan dalam gelung berapi, lompatan melepasi sejumlah anggota selain aksi pemusnahan papan yang hebat daripada anggota-anggota tentera.
Sebelum itu, pengunjung teruja menyaksikan ribuan anggota tentera dengan wajah diconteng berlari serentak memasuki padang kawad yang kemudian mempamerkan kemahiran seni mempertahankan diri dengan teriakan yang kuat.

ALUNAN lagu bertenaga daripada pancaragam pusat kor armor diraja, drum liner dan gabungan brass band serta bag pipe yang segak membuka tirai pertunjukan.


Acara kemuncak pada malam berkenaan adalah persembahan mengagumkan daripada kumpulan akrobatik motosikal, Army Red Warrior yang dijayakan oleh 50 anggota terdiri daripada dua pegawai dan 48 anggota lain-lain pangkat termasuk enam wanita.
Persembahan mereka dimulakan dengan lintas hormat menaiki beberapa motosikal model Royal Enfield 500cc, Moto Guzzi 650cc, Modenas Jaguh 175cc dan Kawasaki Kx450 dengan aksi berdiri di atas motosikal.
Aksi bertenaga dan berbahaya yang dipamerkan oleh Army Red Warior telah memacu adrenalin penonton yang hadir menerusi lompatan motosikal melepasi 30 orang yang sedang berbaring serta lompatan perdana melepasi lima buah kereta.
Akrobatik
Lompatan motosikal dalam gelung api dan lompatan melepasi tujuh buah motosikal juga menyebabkan ramai penonton tidak senang duduk.
Pertunjukan akrobatik membentuk bunga Rafflesia, aksi pasangan romantik filem Titanic, S.W.A.T, dragon slayer, flying griffin ketika menunggang motosikal turut mencuri tumpuan termasuk sketsa ‘amoi’ menunggang motosikal scramblers yang mencuit hati.
Acara pembukaan disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Hadir sama ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan.
Sementara itu, Mohamad berkata, pertunjukan Tatu Tentera Darat di Port Dickson akan dijadikan acara tahunan pada setiap 25 September kerana sambutan yang diterima daripada orang ramai begitu menggalakkan.
“Kita akan adakan pertunjukan tatu ini setiap tahun pada 25 September atau pun pada hari Jumaat yang paling hampir dengan tarikh tersebut,” ujarnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: