Wednesday, October 22, 2014

Skandal pemakanan ancam negara Asia



KES penggunaan daging lembu tamat tempoh di restoran makanan segeradi China dikecam teruk.


SETIAP pagi, sampel makanan diletakkan di atas meja panjang dalam sebuah makmal milik sebuah firma Jerman di Singapura.
Syarikat Perkhidmatan Produk Global TUV SUD itu menggunakan sampel tersebut untuk mengkaji bahan tercemar yang boleh membahayakan pengguna di Singapura dan negara-negara lain di Asia.
Situasi itu sangat membimbangkan apabila negara Asia digegarkan dengan skandal keselamatan makanan baru-baru ini.
Jualan francais makanan segera, McDonald’s di China dikecam teruk pada tahun ini berikutan laporan yang mendakwa pembekal mencampurkan daging lembu yang tamat tempoh dalam proses penghantaran.
Sebuah syarikat Taiwan juga didapati menjual beratus-ratus tan minyak murah untuk menghasilkan makanan seperti roti, kek, mi segera, biskut dan ladu yang digunakan oleh masyarakat Hong Kong di kediaman mereka.
Kelihatan seorang ahli kimia di makmal TUV SUD yang lengkap berpakaian serba putih sedang membawa bateri ujian ke atas tepung susu dari Filipina, makanan laut dari Indonesia, Vietnam dan Malaysia.
Selain itu, ahli kimia tersebut turut membawa makanan tempatan yang diproses dan dijual di negara Asia lain.
Naib Presiden Hal Ehwal Makanan TUV SUD di Singapura, Chong Kok Yong memberitahu, beliau berkhidmat dalam industri itu sejak 25 tahun lalu. Namun, beberapa tahun ini merupakan tempoh paling sukar dalam kariernya.
“Ia merupakan satu cabaran yang sukar dan akan terus berlaku kerana ada pihak tertentu yang melakukannya. Mereka berusaha untuk menghasilkan makanan yang tidak berkualiti tetapi kelihatan baik. Pada hakikatnya, mereka melakukan sesuatu yang salah di sisi undang-undang,” ujar Kok Yong.
Rantaian makanan
Kebanyakan pakar memberikan amaran bahawa corak penggunaan makanan melibatkan golongan kelas pertengahan mengalami perubahan.
Ia berkaitan dengan rantaian makanan dan pemindahan penyakit baharu daripada haiwan kepada manusia secara global. Situasi itu menyebabkan usaha untuk memerangi masalah berisiko semakin sukar.
Penyelidik Kanan di Institut Strategi Alam Sekitar Global (IGES) yang berpangkalan di Jepun, Sivapuram V.R.K. Prabhakar memberitahu, tiada kerjasama yang selaras dilakukan antara kementerian dan agensi untuk membendung masalah tersebut.
Pada tahun 2008, industri produk tenusu China digegarkan dengan berita penggunaan bahan kimia melamine yang ditambah dalam susu tepung bertujuan untuk menambahkan kandungan protein dalam produk itu.
Hampir 300,000 bayi di seluruh dunia mengalami kesakitan akibat kesan daripada penggunaan produk tersebut.
Ujian yang dijalankan menggunakan kelengkapan di TUV SUD itu menunjukkan bahawa beberapa sampel bahan mentah mengandungi lebih 10,000 melamine. Bahan itu terdiri daripada kimia putih yang digunakan semasa pembuatan plastik, pelekat, meja, pinggan mangkuk dan papan putih.
Singapura telah menggantung kerjasama import tiga jenama jus dari Taiwan pada tahun 2011. Syarikat itu didapati menggunakan phthalate diethylhexyl iaitu sejenis bahan kimia yang biasa digunakan dalam pembuatan plastik dalam minuman mereka.
Kesan buruk pengeluaran makanan mencetuskan kebimbangan terhadap penggunaan racun perosak dalam tanaman dan antibiotik haiwan. Ia juga dianggap sebagai tidak wajar dilakukan.
Hasil kajian Prabhakar mendapati tanaman dalam kawasan satu hektar di India kurang menggunakan racun perosak berbanding dengan Taiwan dan Jepun. Namun, banyak kes penyalahgunaan racun perosak dan bahan kimia digunakan tanpa pengawasan dilaporkan di negara itu.

PROSES ujian sampel makanan dapat menentukan kandungan bahan kimia yang terkandung dalam setiap produk yang dijual di pasaran.


Kanser
Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bahagian Makanan dan Pertanian Asia Pasifik, Hiroyuki Konuma memberitahu, makanan yang tidak sihat menyebabkan penyakit jangka masa panjang seperti pelbagai jenis kanser.
Selain itu, lebih daripada 200 penyakit tersebar melalui makanan yang tercemar.
Menurut kajian TUV SUD, purata perbelanjaan pengeluar makanan yang dikaitkan dengan isu keselamatan dianggarkan sebanyak 9.4 peratus daripada pendapatan tahunan.
Situasi itu akan menjejaskan keuntungan dalam industri dengan anggaran margin sebanyak lima hingga 15 peratus.
Kajian itu menunjukkan bahawa infrastruktur seperti peti sejuk amat diperlukan untuk memastikan keselamatan makanan semasa ia dihasilkan. Undang-undang untuk mengawal keselamatan makanan itu tidak seiring dengan trend pemakanan masyarakat dewasa ini.
Konuma berkata, sukar untuk membuang perkara buruk yang berlaku dalam sistem rantaian makanan. Perkara itu perlu dilaksanakan semasa proses pembuatan untuk memastikan produk yang dijual selamat kepada pengguna.
Ketua Eksekutif Perkhidmatan Produk Global TUV SUD, Ishan Palit memberitahu, pemeriksaan perlu dilakukan pada setiap penghujung rantaian pemprosesan pemakanan walaupun kebanyakan negara mengambil firma ketiga untuk melaksanakannya.
“Anda tidak menghapuskan risiko yang ada. Namun, anda boleh mengurangkan risiko kerosakan produk ini apabila ia dipasarkan. Kawalan yang ketat perlu dibuat ketika produk hendak dipasarkan.
“Produk makanan tidak seperti barangan elektronik yang boleh dicop dengan nombor siri yang memberi maklumat lokasi ia dikilangkan. Dalam makanan, cara itu tidak boleh dilakukan,” ujarnya.
Pakar juga memberi cadangan agar pihak kerajaan mengemas kini dasar keselamatan makanan.
“Hanya beberapa negara yang menggunakan dasar atau polisi mengenai keselamatan makanan,” jelas Konuma.
Selain itu, undang-undang berkaitan pemakanan perlu lebih relevan di beberapa negara.
Bagi Prabhakar, tahap keselamatan makanan di negara-negara Asia masih di tahap rendah.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: