Thursday, October 16, 2014

Potensi lakonan kanak-kanak



JALAN penceritaan ataupun plot sesebuah naskhah drama mahupun filem sudah tentunya bergantung kepada watak dan perwatakan yang dimainkan oleh seseorang pelakon.
Selain watak utama, hero atau heroin yang sering dimainkan oleh pelakon dewasa, agak jarang khalayak Malaysia dapat melihat karakter yang digalas oleh kanak-kanak diangkat menjadi watak utama dalam sesebuah drama ataupun filem di Malaysia. Mungkin disebabkan faktor nilai komersial menjadi kekangan, bakat lakonan pelakon kanak-kanak sering dipinggirkan dan tidak ditonjolkan dengan sebaik mungkin.
Berbanding industri perfileman Barat, khalayak sudah terbiasa menyaksikan watak kanak-kanak dalam filem mahupun drama dikembangkan dan diadunkan sama kuat dengan karakter dewasa. Kehadiran karakter kanak-kanak dalam filem-filem Barat sentiasa ditunggu-tunggu, bahkan permainan watak kanak-kanak dalam sesetengah karya Hollywood contohnya, berjaya memberi impak luar biasa. Jika kena pula dengan bentuk dan genre filem yang bercorak pengembaraan atau fantasi, peranan pelakon kanak-kanak dalam naskhah dari luar negara adakalanya menenggelamkan watak pelakon dewasa.
Sebagai contoh, bermula dengan episod pertamanya Harry Potter And The Philosopher’s Stone (2001), pendukung utama Daniel Radcliffe, Rupert Grint dan Emma Watson ketika itu hanya berusia belasan tahun namun, filem tersebut mendapat sambutan luar jangkaan dan disebut hingga kini.
Walaupun pengarah menggunakan kanak-kanak namun, sasaran penonton bukan hanya tertumpu kepada golongan itu sahaja. Filem-filem seumpama itu bukan sebuah dongeng kosong, bukan juga komedi kekeluargaan semata-mata, tetapi mengangkat tema yang lebih berat.
Contoh yang ketara juga dapat dilihat dalam filem-filem Iran, Children Of Heaven arahan Majid Majidi yang dihasilkan pada 1997. Filem yang sarat dengan isu sosial yang berlaku di Iran itu menjadi filem pertama negara tersebut yang dicalonkan dalam Anugerah Oscar bagi kategori Filem Luar Terbaik pada 1998.
Lihat juga filem berjudul Wadjda (2012) karya pengarah wanita Mesir, Haifaa al-Mansour. Menerusi filem yang mengangkat kisah seorang budak perempuan bernama Wadjda itu, Haifa muncul sebagai pengarah filem wanita pertama dari Arab Saudi yang menghasilkan sebuah filem fiksyen. Kisah Wadjda, budak perempuan berusia 11 tahun lakonan Waad Mohammed yang hanya bercita-cita untuk memiliki sebuah basikal itu berjaya mengelilingi dunia dan dipilih sebagai Filem Luar Terbaik dalam Anugerah Akademi ke-86.
Menyedari senario tersebut, pengarah dan penerbit filem tersohor, Erma Fatima turut merasa terpukul. Beliau mengakui watak dan peranan kanak-kanak sememangnya penting dan mampu memberi impak sama sabagaimana karakter lakonan pelakon dewasa.
MULA berlakon pada usia 12 tahun, Syafie Naswip kini sudah berusia 22 tahun.


“Tidak ada apa yang berbeza antara watak dan peranan yang dibawakan oleh golongan dewasa atau kanak-kanak. Setiap watak dan perwatakan mempunyai kesan yang tersendiri terhadap khalayak.
“Bagaimanapun, apa yang menjadi kepentingan di sini ialah bagaimana seseorang pengarah itu mengembangkan dengan sebaik-baiknya bakat yang ada dalam diri seseorang pelakon kanak-kanak,” ujarnya.
Erma menambah, pelakon kanak-kanak yang baik tidak semestinya bergantung kepada bakat, malah boleh dibimbing dan dibentuk untuk mendapatkan impak yang dikehendaki oleh seseorang pengarah.
“Bakat boleh dibentuk dan kanak-kanak selalunya mudah untuk dibentuk kerana mereka mempunyai kekuatan emosi yang lebih tinggi berbanding golongan dewasa.
“Hal tersebut menjadi kelebihan untuk mereka memberikan yang terbaik dalam setiap babak dan karakter yang dicipta untuk mereka,” katanya yang pernah mengarah sebuah telemovie berjudul Balqis yang menjadikan pelakon cilik, Puteri Balqis atau Aqish mendukung watak utama.
Pengarah filem Embun itu memberitahu, secara realitinya, karyawan sepertinya berdepan kesukaran untuk mencari pelakon kanak-kanak yang mampu memberikan komitmen secara keseluruhan terhadap bidang lakonan. Banyak kekangan harus dilalui termasuklah keterbukaan ibu bapa serta tuntutan akademik.
“Komitmen menjadi sebab utama kurangnya pelakon kanak-kanak dalam industri lakonan. Mereka selalunya terikat dengan perkara lain termasuk pelajaran dan ibu bapa.
“Hal tersebut menjadikan pelakon kanak-kanak tidak serius dalam bidang lakonan sekali gus membuatkan seseorang pelakon kanak-kanak itu tidak mencapai tahap yang memberangsangkan sebagai seorang pelakon,” ujarnya.
Ditebak senario mengenai arah tuju pelakon kanak-kanak pula, persoalan itu disifatkan Erma, masih saling berkait dengan keseriusan serta kekuatan karya-karya tempatan. Erma memberitahu, kesukaran mencari pelakon kanak-kanak yang konsisten dalam bidang lakonan juga bergantung kepada minat pelakon itu sendiri.
“Bukan tidak ada, tetapi umumnya pelakon kanak-kanak akan kurang berkecimpung dalam bidang lakonan setelah mereka meningkat dewasa. Perubahan itu berlaku kerana mereka tidak mengekalkan momentum dan komitmen untuk bergelar pelakon.
“Mungkin senario itu boleh berubah bersandarkan usaha dan kesedaran pelakon itu sendiri untuk meletakkan diri mereka dalam industri seni lakonan,” lontarnya.
Syafie Naswip fobia
Industri penerbitan dan perfileman tanah air pernah menyaksikan filem Mukhsin (2006) buah tangan Allahyarham Yasmin Ahmad. Dalam Mukhsin, Yasmin dengan berani mengambil risiko menyerahkan peranan hero dan heroin kepada dua kanak-kanak berbakat, Syafie Naswip dan Sharifah Aryana Syed Zainal Abidin. Syafie menempa impak besar hasil lakonan menerusi filem pertamanya itu apabila terus digelar pelakon berkarakter sehinggalah ke hari ini.
Selepas menang trofi Pelakon Kanak-Kanak Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20 menerusi Mukhsin, Syafie memberikan sinar bahawa pelakon kanak-kanak mampu pergi jauh apabila meraih anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam FFM22 menerusi Talentime, juga arahan Yasmin Ahmad. Selepas ketiadaan Yasmin, Syafie terus mara apabila sekali lagi diangkat sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM25 menerusi filem Songlap.
Anugerah dan pencapaian Syafie, 22, bagaimanapun mengundang sedikit dilema. Kemampuan menjayakan karakter berat seperti menyekat peluangnya untuk muncul dalam genre yang lebih ringan dan bersifat komersial.

PUTERI BALQIS atau Aqish (kanan) dilihat sebagai bintang cilik berbakat besar.


Mengakui sukar untuk mengekalkan momentum, Syafie berkata, kesukaran tersebut termasuklah untuk berada ruang karya dan peluang tawaran yang tepat. Skeptikal segelintir khalayak yang masih melabelkan dirinya sebagai pelakon kanak-kanak juga pernah menyekat peluangnya untuk berkarya dalam skop yang lebih besar.
“Sebelum ini orang mengenali saya sebagai seorang pelakon yang selalu membawa watak kanak-kanak, namun setelah saya meningkat dewasa, watak yang diberikan bertukar sama sekali.
“Hal tersebut membuatkan orang ramai tidak mampu menerima dan merasakan saya tidak layak untuk membawa watak orang dewasa disebabkan skeptikal itu. Dilema itu membuatkan saya fobia untuk berlakon,” luahnya yang pernah berbulan-bulan tidak menerima tawaran lakonan.
Sebagai bekas pelakon kanak-kanak. Syafie tidak menafikan keterlibatannya dalam bidang lakonan bermula daripada langkah suka-suka dan hanya mengisi masa lapang.
Namun demikian, bidang yang hanya dilakukan untuk mengisi masa lapang dan mencari wang saku itu akhirnya menjadi serius seiring dengan peningkatan umur.
“Pada mulanya, saya berlakon sekadar suka-suka disebabkan saya masih bersekolah ketika itu. Hal tersebut adakalanya menyebabkan saya sukar untuk memberi seratus-peratus tumpuan dalam bidang lakonan.
“Setelah meningkat dewasa, bidang lakonan menjadi sumber pendapatan utama. Saya sendiri sudah terbiasa dalam bidang ini. Jadi, saya mengambil keputusan untuk menjadikan lakonan sebagai karier yang serius," katanya yang kini menginjak usia 22 tahun.
Mia mahu berlakon hingga dewasa
Seorang lagi pelakon cilik, Mia Sara, 9, pula nekad menjadikan bidang lakonan sebagai karier masa depannya apabila usia meningkat dewasa. Kecenderungan Mia dalam bidang lakonan dipupuk seawal usia tiga tahun, ketika itu dia menjadi model iklan barangan bayi.
“Saya masih kecil dan masih banyak perkara yang perlu dipelajari, saya juga masih bersekolah. Jadi, lakonan dan pelajaran harus diseimbangkan.
“Kalau boleh, saya akan terus berlakon selagi ada permintaan,” katanya yang mula berkecimpung aktif dalam bidang seni sejak tahun 2010.
Sudah petah menjawab soalan, Mia memberitahu, mulanya dia sukar untuk berlakon dengan baik kerana tiada pengetahuan dan masih terlalu kecil untuk menguasai karakter. Namun, berkat tunjuk ajar daripada pengarah dan pelakon-pelakon dewasa, dia mampu mengikut kehendak skrip dan setiap watak yang diberikan kepadanya.
“Tunjuk ajar daripada pelakon yang lebih berpengalaman sangat membantu. Segalanya berjalan dengan lancar dan saya berharap agar rezeki saya dalam bidang lakonan akan terus bertambah,” katanya lagi.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: