Monday, October 13, 2014

Pelajar yakin berinteraksi




SUASANA redup dan tenang pada petang itu seolah-olah mengerti isi hati sekumpulan kanak-kanak yang sedang asyik dibuai imaginasi sambil tangan masing-masing sibuk mewarna sekeping kertas putih dengan sebatang berus lukisan.
Setelah seluruh permukaan kertas yang dicat dengan warna-warna asas itu kering, mereka mengambil sebotol kecil cecair seperti gam berwarna kuning yang dipanggil masking fluid. Lalu perlahan-lahan mereka lakar garisan dan bulatan kecil sehingga membentuk corak ringkas.
Kertas lukisan itu kemudiannya dilalukan di bawah mesin pengering supaya gam cepat kering sebelum ia diwarnakan sekali lagi menggunakan cat air dengan pelbagai warna. Apabila kering, gam yang diletak di atas permukaan kertas itu ditanggalkan perlahan-lahan sekali gus menampakkan lapisan warna biru, merah dan kuning.
Kegembiraan pada wajah kanak-kanak itu jelas terpancar apabila lukisan batik yang mereka hasilkan dengan penuh teliti dan bersungguh-sungguh selama lebih kurang satu jam akhirnya siap dan kelihatan sempurna seperti artis pelukis batik profesional.
“Tidak sia-sia usaha saya bertungkus-lumus mewarna dan melukis dengan penuh teliti akhirnya membuahkan hasil apabila dapat menghasilkan lukisan batik yang cantik dan berwarna-warni ini.
“Setiap minggu ibu akan menghantar saya ke sini untuk belajar cara-cara melukis kerana dia tidak mahu saya asyik membuang masa di rumah dengan bermain dan menonton televisyen sahaja,” ujar seorang kanak-kanak, Peenthiyah Chandran, 10.
Minat mendalam Peenthiyah terhadap seni lukis dikuatkan dengan sokongan serta dorongan ibunya yang membakar semangat kanak-kanak dari Cheras, Kuala Lumpur tersebut untuk mengikuti kelas lukisan batik yang diadakan setiap Rabu di Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun itu.

KELAS kulinari antara program yang ditawarkan di Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun.


Seronok
Mesra dengan panggilan Thiya, dia memberitahu, aktiviti melukis merupakan satu cara untuk dia berseronok kerana dapat mengurangkan tekanan ketika menelaah pelajaran dan menyiapkan kerja sekolah yang diberi cikgu.
Luah Peenthiyah, keadaan ruang studio lukisan yang kemas dan teratur serta landskap menyamankan di sekeliling pusat kreatif tersebut membuatkan dia seronok untuk meneruskan sesi pembelajaran tidak formal itu pada masa akan datang.
“Saya memang suka melukis dan dalam kelas ini macam-macam saya dapat belajar daripada cara asas mewarna hingga mengawal gerakan tangan semasa melakukan lakaran pada kertas lukis.
“Selain dapat belajar banyak perkara, saya juga dapat berjumpa dengan kawan-kawan baharu dari sekolah lain dan berkongsi pengalaman mengenai sekolah masing-masing,” kata murid Sekolah Kebangsaan Seri Cheras itu.
Perkara sama turut diakui seorang pelajar tingkatan empat, Nur Hidayah Nadia Ahmad Haris Nazri, 16. Dia mengakui tidak pernah mengetahui mengenai teknik-teknik melukis batik sehingga menyertai kelas tersebut sejak Julai lalu.
Selain belajar seni lukisan batik, kelas selama dua jam seminggu itu secara tidak langsung mengajar dirinya agar lebih sabar terutama ketika lukisan yang dihasilkan tidak menjadi.
“Kemahiran melukis saya sudah banyak berubah. Sebelum ini saya tidak tahu menggunakan berus atau peralatan lukisan dengan betul, tetapi kini semua itu tidak menjadi masalah dan boleh menghasilkan sesebuah lukisan dengan cepat.
“Saya tidak akan menyia-nyiakan ilmu yang dipelajari di sini, malah mempraktikkan teknik-teknik yang cikgu ajar di rumah dan sekolah,” ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail itu. Nur Hidayah Nadia sudah empat bulan mendapat bimbingan daripada tenaga pengajar dari Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun.

Peent hiyah menunjukkan hasil lukisan batik di atas kertas.


Ilham penubuhan
Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun yang didirikan di atas sebidang tanah seluas 0.81 hektar itu diilhamkan daripada pusat kanak-kanak yang terdapat di Boston, Amerika Syarikat dan Tokyo, Jepun. Idea penubuhannya dicetuskan pada tahun 1989 oleh Raja Permaisuri Agong pada waktu itu, Tuanku Bainun.
Walaupun ditubuhkan pada tahun 1995, namun pusat itu dapat memulakan operasi di kompleks bangunan sendiri sejak tahun lalu. Pusat itu kini mempunyai sembilan tenaga pengajar berpengalaman dalam pelbagai bidang.
Antaranya termasuklah kulinari, seni persembahan, ta-rian tradisional dan muzik.
Institusi yang membangunkan program-program spesifik untuk kanak-kanak itu menawarkan program-program seperti lukisan batik, lukisan artis muda, karya agung mini, kulinari, kelas jahitan, odissi, gamelan, drama serta bahasa kreatif sebagai tambahan dan sokongan terhadap sistem pembelajaran akademik di sekolah.
Seorang tenaga pengajar, Datin Nur­aida Yacob, 34, berkata, beliau yang mengajar kelas kulinari di pusat tersebut sejak setahun lalu me­ngakui selesa berkongsi pengalaman memasak dan resipi dengan kanak-kanak di situ.
Beliau yang berpengalaman mengajar kelas masakan sejak tiga tahun lalu memberitahu, kemudahan yang serba lengkap dan suasana persekitaran tenang memudahkan proses pengajaran serta pembelajaran dilakukan.
“Dalam kelas ini, saya lebih menekankan aspek keselamatan sewaktu berada di dapur, cara mengendalikan peralatan memasak dengan betul dan mengurus keadaan dapur supaya ia sentiasa dalam keadaan teratur sebelum, semasa dan selepas memasak.
“Mengajar kanak-kanak ini tidak susah tetapi kami perlu tahu cara berkomunikasi dengan betul supaya mereka mudah menerima segala input yang diberikan di samping menggalakkan mereka berinteraksi antara satu sama lain dan banyak bertanya,” tutur wani­ta yang mesra di sapa Kak Aida oleh anak-anak muridnya itu.
Sementara itu, menurut seorang lagi tenaga pengajar, Fauziah Yahaya, 49, program-program yang ditawarkan di pusat itu sedikit sebanyak membantu kanak-kanak melepaskan tekanan belajar di sekolah di samping menjadikan mereka lebih kreatif.
Kata pelukis sepenuh masa yang mengajar lukisan batik setiap Selasa itu, beliau banyak memupuk rasa cintakan alam semula jadi dan menjadi ia sebagai terapi kepada mereka.
“Sejak mengendalikan kelas seni batik ini pada bulan Februari lalu, saya dapat melihat peningkatan dalam diri para pelajar. Mereka nampak lebih yakin untuk berinteraksi antara satu sama lain dan kemahiran menghasilkan karya juga bertambah.
“Apa yang mereka pelajari di sini mungkin tidak dapat diperoleh melalui pembelajaran di sekolah dan pendekatan yang kita gunakan juga berlainan daripada sistem pendidikan perdana kerana tidak berorientasikan peperiksaan,” bicara wanita yang telah berkecimpung dalam seni batik sejak tahun 1999 itu.
Pembelajaran tidak formal melalui pendekatan kreatif seperti seni muzik, tarian dan lukisan merupakan salah satu cara membentuk pemikiran kanak-kanak ke arah lebih cemerlang dan menjadi modal insan serba lengkap pada masa akan datang.
Sementara itu, Pengarah Program Permata Kurnia Jabatan Perdana Menteri, Prof. Madya Dr. Hasnah Toran berkata, aktiviti kreatif tersebut dapat merangsang minda kanak-kanak dalam membentuk kemahiran kognitif yang sangat penting untuk perkembangan mental mereka.
Pantas
Menurut beliau, walaupun dengan hanya melakukan aktiviti mudah seperti pergerakan badan ketika menari dan sebagainya yang dipelajari daripada orang dewasa, ia mampu merangsang kemahiran berkomunikasi antara dua atau banyak pihak serta kemahiran merancang melalui koordinasi badan.
“Apabila mereka belajar dalam kumpulan, secara langsung kanak-kanak ini dapat mempelajari kemahiran bersosial dengan memerhati tingkah laku rakan-rakan lain.
“Kanak-kanak lebih cenderung dan pantas untuk belajar melalui persekitaran berbanding pembelajaran melalui cara konvensional di dalam bilik darjah,” katanya ketika dihubungi.
Hasnah mengakui ibu bapa pada masa kini dilihat lebih cenderung membelanjakan wang untuk menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen demi menjamin kecemerlangan akademik berbanding kebolehan kreatif yang menjurus kepada pembentukan imaginasi.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: