Saturday, October 25, 2014

Menakluk ruang udara Gua Damai



SUASANA Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves, Selangor pagi itu tidak seperti hari-hari biasa. Dari jauh kelihatan benda berwarna-warni berterbangan mengelilingi taman tersebut.
Rupa-rupanya beberapa orang sedang melakukan aktiviti terjunan bebas dari puncak Gua Damai setinggi 96 meter. Dari tebing itu, kelihatan seorang wanita sedang bersedia melakukan terjunan dan dalam tempoh tiga saat melompat dari tebing itu, payungnya mulai kembang sebelum dia meluncur bebas umpama burung. Aksinya mendapat sorakan daripada para penonton. Kira-kira 15 saat, dia selamat mendarat dan terpancar kepuasan di wajahnya.
“Waktu pagi merupakan masa yang paling sesuai melakukan aktiviti terjunan bebas di Gua Damai ini kerana keadaan angin tidak terlalu kencang. Pada waktu tengah hari, hembusan angin sukar dijangka dan ada kalanya terlalu kuat hingga boleh membahayakan nyawa peserta.
“Cuaca di kawasan ini, pada hari ini sangat memuaskan kerana kawasan pendaratan yang kering dan angin tidak terlalu kencang. Saya sangat seronok melakukan aksi ini dan berjaya melakukan pendaratan yang sempurna,” kata Elaina Thornhill, 32, dari Amerika Syarikat yang merupakan salah seorang daripada 45 peserta Gua Damai International Base Jump 2014.
Dia yang pertama kali menjejakkan kaki di negara ini berjaya melakukan terjunan bebas sebanyak dua kali pada pagi itu, namun dia masih belum puas dan akan meneruskan aktiviti tersebut sehingga tengah hari.

HEMBUSAN angin pagi sesuai untuk aktiviti terjunan bebas ini.


Minat
Walaupun mempunyai kerjaya sebagai guru, Thornhill masih sempat mencari ruang dan peluang menceburi aktiviti lasak itu. Setakat ini, dia telah melakukan sebanyak 170 terjunan.
“Saya lebih gemar melakukan terjunan bebas yang lebih bersifat alam semula jadi berbanding melakukan terjunan di bangunan-bangunan tinggi. Saya rasa gembira kerana berpeluang menikmati keindahan Gua Damai dan sekitarnya dari udara,” ujarnya yang menceburi sukan terjunan bebas sejak tiga tahun lalu.
Acara Gua Damai International Base Jump 2014 itu merupakan edisi ketujuh dan merupakan aktiviti bersama sempena penganjuran acara KL Tower International Base Jump 2014.
Ia membabitkan peserta dari 13 buah negara iaitu Australia, Denmark, Rusia, Kuwait, Amerika Syarikat, Jerman, England, Perancis, Belarus, Norway, New Zealand, United Kingdom dan Malaysia.
Ia anjuran bersama Majlis Perbandaran Selayang dan Wira Adventure Consultant yang turut membabitkan empat peserta wanita.
Acara yang diadakan pada bulan September itu mempunyai empat lokasi terjunan bermula di Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu, Sabah; Wisma Sanyan, Sibu, Sarawak; Taman Ekstrem Gua Damai dan terakhir di Menara Kuala Lumpur.
Seorang lagi penerjun bebas yang berasal dari Perancis, Antoine Laporte, 38, mengatakan ia pengalaman pertama kali melakukan terjunan di Malaysia.
“Saya lebih gemar melakukan terjunan bebas di tebing atau yang lebih bersifat alam semula jadi, namun ini satu pengalaman yang sangat mengujakan bagi saya,” katanya.
Laporte, yang dahulunya merupakan seorang bekas tentera, mengatakan dia amat menyukai cabaran dan sukan lasak kerana sudah terbiasa melakukannya ketika masih berkhidmat dalam tentera.

PARA peserta perlu menaiki tangga dan melalui Gua Damai sebelum sampai ke tapak penerjunan.


Persahabatan
Secara keseluruhannya, dia telah melakukan terjunan bebas sebanyak 350 kali dan giat dalam aktiviti tersebut sejak empat tahun lalu.
“Setiap kali saya melakukan aktiviti ini di lokasi yang berbeza, saya berpeluang untuk menjalinkan persahabatan yang baharu malah juga mendapat ilmu daripada pakar-pakar penerjun bebas,” ujarnya.
Laporte berkata, Gua Damai mempunyai tarikan tersendiri ekoran para peserta perlu menaiki tangga dan menempuh gua sebelum sampai ke lokasi penerjunan.
Ini kerana, para peserta perlu melalui kawasan gua dan menikmati keindahannya kira-kira 45 minit.
Selain daripada penerjun-penerjun yang datang jauh dari negara luar, terdapat juga penerjun bebas negara yang turut serta.
Antaranya, seorang penerjun veteran, Jamaludin Ismail, 60, yang masih mempunyai kekuatan untuk melakukan terjunan bebas itu.
“Umur bukanlah satu penghalang asalkan minat kita itu masih lagi membara dalam diri,” katanya dengan penuh yakin.
Jamaludin yang mendapat pengiktirafan sebagai penerjun tertua, berasakan bahawa acara terjunan bebas ini memberikannya satu kepuasan malah dia juga mengatakan dia lebih gemar berada di udara berbanding di darat.
Dia menceburkan diri dalam sukan ini sejak tahun 1980 ketika berkhidmat dalam bidang ketenteraan di Melaka. Sejak itu, aktiviti terjunan bebas mulai bercambah dalam dirinya.
Jamaludin sempat berkongsikan pengalamannya buat pertama kali melakukan terjunan bebas dan tidak dinafikan, dia juga mempunyai perasaan takut.
“Pelbagai cara untuk kita mengatasi ketakutan ini dan salah satunya adalah untuk tidak memandang ke bawah, tetapi menikmati pemandangan di udara,” katanya lagi.
Dia yang telah melakukan lebih daripada 3,000 terjunan itu mengatakan, dia lebih menyukai terjunan tanah tinggi berbanding bangunan tinggi.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: