|
PADA masa silam, kita diajar untuk lebih banyak merendah diri dan tidak menonjolkan diri secara keterlaluan. Bagaimanapun, ia mungkin tidak relevan lagi pada zaman sekarang.
Kemunculan pelbagai teknologi yang didatangkan bersama telefon bimbit dan budaya selfie telah menjadikan ia sebahagian daripada cara hidup manusia masa kini.
Ia tidak hanya dilakukan oleh golongan remaja yang masih mencari identiti diri tetapi juga golongan dewasa. Ia bukan sekadar dilakukan oleh kumpulan orang bawahan, bahkan ia turut dilakukan oleh manusia terkenal. Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama juga berselfie bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak. Jadi apatah lagi orang lain.
Dalam psikologi, kecenderungan berlebihan terhadap diri sendiri ini sering dikaitkan dengan narsisisme atau satu bentuk personaliti yang menyebabkan seseorang merasakan diri mereka sebagai menarik, unik, bijak dan mempunyai kelainan tersendiri. Ia dianggap lebih cenderung kepada keburukan berbanding kebaikan apabila mereka yang narsisistik ini sering merasakan bahawa mereka lebih baik, sedangkan orang lain tidak.
Sebab itulah fenomena selfie ini juga dikaitkan dengan narsisistik. Ini kerana, seseorang cenderung untuk menunjukkan imej diri yang paling baik atau dalam bahasa mudah, perasaan ‘seronok sendiri’. Bagaimanapun, disebabkan budaya mengambil foto sendiri dan kemudiannya dikongsi pula untuk tatapan semua kenalan di media sosial telah menjadi trend, narsisisme ini mungkin bukan lagi satu personaliti aneh untuk beberapa tahun mendatang.
Malah kajian-kajian yang dilakukan setakat ini menunjukkan generasi alaf baharu dan generasi Y ini kelihatannya lebih bersifat narsisisme jika dibandingkan dengan generasi sebelumnya. Kajian mendapati ada yang telah menghabiskan begitu banyak masa di media sosial untuk mengemaskini status diri yang sebahagiannya ingin menunjukkan apa yang mereka lakukan kepada pembaca yang lain.
Isu selfie ini telah menjadi berita hangat beberapa bulan yang lalu apabila ada pengkaji di Barat yang telah mengaitkan kecenderungan berselfie sebagai satu bentuk kecelaruan mental baharu. Pakar cuba mengistilahkan kecenderungan melampau terhadap selfie ini sebagai Body Dysmorphic Disorder, satu perasaan taksub menyemak penampilan diri. Bagaimanapun, sehingga kini, badan utama psikologi yang sering dirujuk, American Psychological Association (APA) tidak pula memberikan sebarang laporan sama ada selfie dianggap sebagai bentuk kecelaruan atau pun tidak.
Memandangkan selfie hanya muncul beberapa tahun terakhir ini, budaya selfie ini memberikan kebaikan atau lebih banyak kerosakan masih belum direkodkan. Setakat ini, ada beberapa kes terpencil yang menunjukkan kecenderungan melampau terhadap diri sendiri boleh menyebabkan seseorang mengambil jalan pintas. Seperti yang dilaporkan berlaku di United Kingdom, seorang remaja lelaki, Danny Bowman dikatakan telah menghabiskan 10 jam sehari untuk mengambil lebih 200 keping gambar selfie. Bagaimanapun, kerana gagal untuk mendapatkan posisi gambar yang terbaik, dia kemudiannya dikatakan sangat kecewa dan telah melakukan cubaan membunuh diri.
|
Bagaimanapun, adalah tidak adil untuk dianggap bahawa selfie ini sebagai sesuatu yang boleh menyebabkan kesihatan mental seseorang terjejas. Kes Danny Bowman itu mungkin bukan satu petunjuk yang tepat kerana kemungkinannya dia juga menghidap masalah psikologi lain yang tidak kita ketahui. Sekiranya selfie dianggap sebagai kecelaruan mental, maka mungkin pada akhirnya hampir semua manusia moden akan menghidap penyakit yang sama.
Meskipun ia tidak dianggap sebagai satu bentuk kecelaruan, penggemar selfie perlu juga mengawal perasaan mereka. Tidak semua gambar patut dikongsi dengan orang lain dan tidak juga semua perkara perlu dirakamkan.
Di St. Petersburg, Rusia, Xenia Ignatyeva seorang gadis berusia 19 tahun maut akibat terjatuh daripada jambatan kerana keasyikan untuk mengambil potret diri. Tragedi kemalangan diri seperti ini juga dilaporkan di beberapa tempat lain. Di Filipina, seorang gadis terbunuh akibat terjatuh dari tangga di sebuah bangunan sekolah ketika berselfie. Kes yang paling menyayat hati menimpa ke atas Courney Sanford, 32, di Amerika Syarikat apabila terbabit dengan kemalangan jalan raya sebaik sahaja selesai mengemaskini potret dan status ‘Happy’ dalam laman Facebooknya.
Di Malaysia, walaupun kita belum mendengar laporan tragedi seperti ini, apabila melihat gejala selfie ketika memandu yang berlaku di mana-mana, ia patut mengingatkan kita semua bertapa sifat menunjukkan diri kepada orang lain patut ada batasnya. Tidak semua perkara patut diberitahu kepada orang lain dan tidak semua hal patut dikongsi bersama. Ada keadaan tertentu adalah lebih baik untuk kita berdiam diri.
Selfie mungkin masih menjadi istilah baharu untuk kita semua. Belum banyak yang diketahui kesannya terhadap psikologi manusia dan sama ada ia merupakan kecelaruan baharu atau tidak, biarlah ia menjadi debat para pengkaji. Bagaimanapun, apa yang pasti, selfie mampu membunuh diri sendiri sekiranya ia dilakukan pada tempat yang tidak sepatutnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: