|
PERASAAN para peserta bercampur baur sebaik mata tertancap pada lukisan unik di dinding Gua Kain Hitam di Taman Negara Niah, Miri, Sarawak.
Rata-rata peserta Kem Pelukis Niah (KPN) 2014 yang merupakan pelukis dari seluruh negara itu kelihatan terkesima sebaik menyaksikan lukisan di gua tersebut.
Ada yang terus duduk sambil melakar sesuatu berdasarkan ilham yang datang.
Pada hari pertama menelusuri tapak bersejarah itu, para peserta dibekalkan dengan buku dan peralatan melukis untuk memudahkan mereka membuat lakaran tatkala mendapat ilham berdasarkan suasana perjalanan yang ditempuh.
Keletihan menyusuri perjalanan merentasi jambatan kayu, menaiki tangga dan menempuh laluan gelap yang mengambil masa lebih satu jam dari jeti Taman Negara Niah ke Gua Kain Hitam itu hilang seketika.
Untuk sampai ke Gua Kain Hitam yang turut dikenali sebagai Gua Lukisan itu, mereka perlu melalui Gua Dagang dan Gua Besar yang terletak berhampiran dengan Gua Niah.
Gua Niah merupakan gua terbesar di Malaysia dan gua batu kapur yang terbesar di dunia.
Berpeluang menyaksikan sendiri tapak dan kesan penemuan khazanah purba di depan mata menyebabkan para peserta KPN 2014 begitu teruja.
Fikiran terus membayangkan wujudnya satu kelompok masyarakat yang sedang menjalani rutin harian seperti yang tertera pada lukisan itu.
Imej berbentuk figura, binatang, geometri dan abstrak menggunakan bahan hematit dipercayai telah dilakar manusia kira-kira 40,000 tahun dahulu.
Mereka juga terbayang rupa manusia yang hidup pada zaman itu berdasarkan figura yang terdapat pada dinding gua tersebut.
Lakaran itu kelihatan seperti seorang wanita berambut kerinting sedang melakukan satu pergerakan yang tidak diketahui.
Berdasarkan karya pada dinding gua tersebut, ternyata seni sudah wujud sejak zaman prasejarah yang menggambarkan pelbagai kisah manusia zaman silam.
Imej yang pelbagai saiz itu dilukis dengan pigmen merah daripada bahan hematit yang berkonsepkan alam akhirat dan gambaran upacara pengebumian.
Fosil manusia
Taman Negara Niah merupakan lokasi penemuan rangka dan fosil manusia yang dipercayai antara lokasi awal penempatan manusia zaman purba.
Penemuan yang pertama itu telah dilakukan oleh pasangan pengkaji, Tom Harrisson dan isterinya, Barbara pada tahun 1958 di kawasan Gua Besar. Harrisson merupakan kurator Muzium Sarawak yang meminati bidang arkeologi.
Kawasan penempatan awal manusia zaman Paleolitik ditemui di kawasan tersebut manakala di Gua Kain Hitam pula menjadi lokasi tempat pengebumian rangka manusia zaman Neolitik.
Gua-gua yang terletak di Taman Negara Niah yang berkeluasan 12 hektar itu juga menjadi tempat yang diwartakan sebagai tapak bersejarah di Sarawak.
Seorang peserta, Nurrul Ain Shaid Ahmad, 29, berkata, dia begitu takjub ketika kali pertama melihat lukisan lama tersebut.
Baginya, walaupun lukisan tersebut kelihatan seperti imej ‘orang lidi’, imej-imej tersebut sangat unik.
“Lukisan itu mungkin jika dilihat sekali imbas tidak memberikan sebarang makna tetapi jika dihayati, ia mempunyai maksud dan gambaran yang tersendiri.
“Saya begitu seronok. Ini kali pertama saya sampai di sini dan berpeluang melihat lukisan yang sudah berpuluh ribu tahun lamanya,” jelas pelukis dari Johor itu.
Gadis berusia 29 tahun itu merupakan pelukis batik dan pemilik syarikat Batik Canting Johor.
Katanya, berdasarkan lukisan tersebut, dia telah mendapat ilham untuk menghasilkan produk batik berdasarkan imej yang dilihat di Gua Kain Hitam itu.
“Jika diamati, batu-batu yang terdapat di dalam gua ini juga kelihatan menyerupai sesuatu objek,” tambah Nurrul Ain.
Gadis dari Mersing ini turut menggunakan lumut lembap yang terdapat pada batu gua sebagai bahan warna untuk menghasilkan lukisannya.
Selain dibawa melawat tapak sejarah negara, para peserta turut berpeluang menyelami kebudayaan masyarakat Iban yang mendiami rumah panjang.
Sepanjang enam hari KPN 2014, para peserta merasai pengalaman menjalani rutin harian di Rumah Panjang Patrick Libau, Sungai Tangap yang terletak berdekatan Taman Negara Niah.
Perjalanan ke Gua Niah dari rumah panjang tersebut hanya mengambil masa 15 minit dengan berjalan kaki.
Para peserta juga melakukan kerja-kerja amal dengan melukis mural di rumah panjang dan Sekolah Kebangsaan Sungai Tangap, Miri.
Dinding kayu sekolah yang didirikan pada tahun 1970-an itu berubah wajah dalam tempoh sehari selepas pelbagai jenis mural dilakar.
Sementara itu, pelukis berketurunan Bajau dari Sabah, Muslim Mattajim, 30, berkata, dia berasa kagum tatkala memasuki gua-gua yang terletak di Taman Negara Niah.
“Gua Dagang kelihatan seperti sebuah stadium yang lapang, terbuka dan sangat unik.
“Sebaik sahaja menjejakkan kaki di Gua Dagang, saya terus jatuh cinta dan ia dizahirkan menerusi satu lakaran,” jelasnya.
Muslim yang bekerja sebagai kurator di Kolej Universiti Yayasan Sabah menambah, bentuk gua tersebut seumpama mengajak manusia mengagumi keagungan alam ciptaan tuhan.
Bertuah
Pemuda yang pernah memenangi hadiah karya pilihan terbaik negeri Sabah 2010 melalui karya bertajuk Munajat itu berasa bertuah kerana dapat berjumpa dan berkongsi pengalaman dengan pelukis-pelukis lama.
Dia yang banyak menghasilkan lakaran sepanjang tempoh kem berlangsung memberitahu, persekitaran alam semula jadi dan kebudayaan masyarakat Iban banyak merangsang ilhamnya untuk berkarya.
Sepanjang bergelar pelukis, Muslim banyak menghasilkan karya yang menjurus kepada kebudayaan dan ketuhanan.
Bagi pelukis veteran pula, Long Thien Shih, 68, peluang mengikuti program tersebut adalah sesuatu yang sangat berharga buatnya.
Dia yang terkenal dengan panggilan Pak Long menyifatkan pengalaman tersebut sangat istimewa kerana dia tidak pernah berkunjung ke rumah panjang.
Cerita Pak Long, perjalanan untuk sampai ke gua agak memenatkan. Apatah lagi pada usia emasnya.
“Namun, apabila mendapat tahu jarak yang dekat antara gua dan rumah panjang, dia terus bersemangat untuk meneruskan berjalan.
“Selain menjejaki gua bersejarah, saya juga dapat mengenali gaya hidup dan budaya orang Iban.
“Kami hidup bersama dalam tempoh hampir seminggu. Ternyata semangat komuniti dalam rumah panjang sangat unik dan kuat,” jelasnya yang pernah melanjutkan pelajaran pada peringkat Sarjana di Royal Collage of Art, London pada tahun 1969.
Dia menjual karya-karyanya di tepi jalan Bayswater Road selama dua tahun, namun kini nilai hasil seninya mencecah harga berpuluh-puluh ribu ringgit.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: