Tuesday, April 16, 2013

Tiga jelitawan pewaris seni Ismail Maembong


MAEMBONG bergambar bersama anaknya, Emma yang juga seorang pelakon dan pelukis berbakat dalam sebuah pameran berasingan tidak lama dahulu.


KE MANA tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Demikian peribahasa yang sesuai menggambarkan bakat seni yang dikurniakan kepada tiga orang daripada 11 orang anak Ismail Embong, 65, iaitu Rabbiati Adawiyah Ismail, 38, Siti Nor Ashikin Ismail, 29 dan Fatimah Rohani Ismail, 21.
Ismail Embong atau Maembong merupakan seorang pelukis prolifik dan pakar rujuk seni negara yang telah berkecimpung dalam lapangan seni sejak lebih tiga dekad.
Pelukis terkenal berkenaan yang berkahwin dengan wanita berketurunan Inggeris, Yatimah Zainab menerima pendidikan dalam bidang seni di Kolej Seni dan Rekaan, England pada awal tahun 1970 dan mula bergiat aktif dalam dunia lukisan pada pertengahan 1980-an.
Maembong berjaya mempamerkan usaha kerasnya selama 12 tahun menghasilkan lukisan Empayar Kesultanan Melayu Melaka pada Pameran Sulalatus Salatin di Balai Seni Visual Negara pada pertengahan tahun lalu.
Anaknya, Rabbiati Adawiyah yang selesa dipanggil Yaya mengenal berus lukisan ketika membesar dengan menemani Maembong melukis di rumah sejak kecil.
Melukis kerana rindu
Bagaimanapun, Yaya hanya mula melukis selepas tinggal berjauhan dengan bapanya kerana sudah bekerja dan berdikari sewaktu berumur awal 20-an.
Pada ketika itu, Yaya menghasilkan lukisan potret keluarganya bila dia merindui bapanya yang selalu menjadi tempat untuk bermanja dan berkongsi cerita.
Katanya, dia aktif melukis secara serius sejak 10 tahun lalu dan karyanya telah dipamerkan di lebih 10 pameran dalam negara selama tempoh itu.
"Setakat ini kira-kira 20 buah lukisan yang saya pernah hasilkan berjaya dijual pada pameran yang disertai.
"Kebanyakan lukisan tersebut bertemakan figura manusia, seni abstrak dan diinspirasikan daripada imaginasi," katanya yang sering melukis selepas mendapat ilham melalui visual yang dilihat menerusi mimpi.
Yaya pernah menghasilkan sebuah lukisan suasana persekitaran yang ranap dihanyutkan oleh ombak besar selepas bermimpi tentangnya.
Secara kebetulan, tidak lama kemudian berlaku bencana tsunami pada tahun 2006 dan pada ketika itu ibunya, Yatimah terus menghubungi Yaya untuk memberitahu mengenai apa yang berlaku.
Tambah Yaya, dia hanya mengetahui tentang lukisan yang dihasilkannya itu merupakan gambaran tsunami.
Ditanya tentang pengalaman yang tidak dapat dilupakannya, Yaya terus memberitahu, pengalaman menyertai pameran lukisan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
"Saya tidak boleh lupa perasaan berpeluang menyertai ayah mengadakan pameran lukisan sempena Perhimpunan Agung Umno di PWTC.
"Saya rasa bertuah apabila terdapat beberapa orang pemimpin terkemuka negara melihat hasil karya yang saya hasilkan," katanya.
Dia yang kini bergiat aktif dalam beberapa cabang seni lain memberitahu pernah berlakon dalam beberapa drama seperti Anak Bertuah (RTM), Nanininu (RTM) dan Diandra yang bakal disiarkan di TV3.

SHIKIN menunjukkan beberapa buah lukisan figuratif wanita dalam pakaian tradisional kimono Jepun yang dihasilkannya.


Cari idea ketika bercuti
Siti Nor Ashikin atau Shikin pula suka mengikut bapanya menjelajah ke seluruh pelosok negeri terutamanya di kawasan perkampungan bagi menghasilkan lukisan yang baik.
Kata Shikin, bapanya membawa mereka adik-beradik menaiki bas kebudayaan mini yang kelihatan seperti sebuah studio bergerak ketika melawat beberapa buah kampung di Kedah, Rantau Panjang di Kelantan dan di Pulau Pinang.
Shikin mempunyai kecenderungan melukis menggunakan bahan yang jarang digunakan seperti menghasilkan lukisan menggunakan tali mop.
Sikapnya yang tidak boleh duduk diam untuk tempoh yang lama mendorongnya menghasilkan lukisan daripada apa sahaja bahan yang dilihat menarik.
Ketiga-tiga beradik itu mempamerkan hasil karya mereka di pameran Pelukis Wanita dan Kontemporarinya yang diadakan di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM) bermula 2 hingga 19 April ini.
Bagaimanapun, Fatimah Rohani (Emma Maembong) yang juga salah pelakon yang sedang meningkat naik kebelakangan ini hanya mewakilkan sebanyak lima buah lukisannya untuk pameran tersebut.
Emma tidak berkesempatan hadir semasa acara perasmian kerana terlibat dengan persiapan penganjuran majlis anugerah hiburan yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: