Tuesday, April 16, 2013

Doktor falsafah wanita yang melukis



WANITA memang sinonim dengan jiwa yang feminin dan penuh kelembutan. Selain tangkas di dapur, wanita juga berjaya mengawal keseimbangan antara komitmen terhadap kerjaya dan perhatian ke atas keluarga.
Kini, timbul satu lagi cabang baharu yang diceburi wanita untuk menunjukkan sisi mereka yang cenderung kepada kesenian terutama dalam bidang seni lukisan.
Mengimbas perkembangan seni feminis di Barat, bakat pelukis wanita seperti Helen Frankenthaler, Grace Hartigan dan Bridget Riley mula mendapat perhatian sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an.
Sehingga penghujung 1960-an, karya yang dihasilkan sukar dibezakan dengan karya pelukis lelaki kerana mereka telah berusaha keras bersaing dalam dunia seni arus perdana yang didominasi oleh kaum Adam.
Menurut kajian oleh seorang penyelidik, Yuen Chee Ling dari Universiti Sains Malaysia pada 2007, pelukis wanita di Malaysia mula dipelopori oleh Rosalind Foo pada abad ke-20.
Kemudian muncul nama-nama baharu dalam arena seni lukis wanita iaitu Georgette Chen, Liu Siat Mui, Hamidah Suhaimi dan Norma Abbas.
Kajian berkenaan menghuraikan perasaan, pemikiran dan psikologi dalaman pelukis untuk penelitian estetik wanita dengan sensitiviti mereka sebagai seorang wanita.
Monsun seni Ruzaika
Bekas pensyarah fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Madya Dr. Ruzaika Omar Basaree, 65, mula mengesan minatnya dalam seni lukisan selepas melihat bapanya menghasilkan seni khat kaligrafi sejak kecil.
Berbekalkan minat tersebut, Ruzaika bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang berkaitan setelah tamat persekolahan pada 1967.
Pada tahun 1968, Ruzaika menghantar permohonan masuk ke Institut Teknologi Mara yang pada ketika itu ada menawarkan jurusan Kajian Seni Lukis dan Seni Reka bagi meneruskan minat dalam bidang tersebut.
Melangkau hampir empat dekad pembabitannya dalam seni lukisan, perjalanan Ruzaika sebagai seorang pelukis juga telah melalui beberapa perubahan terhadap kecenderungan seni.

Penaung UWA, Puan Sri Norliah Adam (kiri) mendengar penerangan mengenai lukisan yang dihasilkan oleh Yaya Maembong (kanan).


Monsun seni wanita yang murah dengan senyuman ini bermula pada tahun pertama pengajiannya dengan penghasilan lukisan Barat kerana dipengaruhi oleh pensyarah yang rata-rata baru pulang daripada melanjutkan pengajian dari luar negara.
Namun, Ruzaika kemudian beralih kepada penghasilan asemblaj kerawang dan lukisan mengunakan mix media (bahantara campuran) ketika menetap di Dungun, Terengganu sekitar 1975 hingga 1982.
"Saya tertarik dengan seni kerawang yang banyak ditemui di Terengganu kerana seni tradisionalnya lebih mencerminkan identiti kita.
"Kemudian, pada era 1980-an, saya mula tertarik kepada seni Islam yang banyak bermain dengan susunan corak yang bersimetri," jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran pameran Pelukis Wanita dan Kontemporarinya (PWK) yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM) sejak 2 April lalu hingga 19 April ini.
Prinsip asas lukisan yang banyak menggunakan elemen pengulangan dan permainan warna jelas dilihat melalui lukisan Ruzaika di pameran tersebut.
Uniknya, idea menghasilkan karya itu timbul selepas kunjungannya ke sebuah masjid lama di Beijing, China pada bulan November tahun lalu.
Karya yang dipamerkan di PWK itu diinspirasikan daripada motif bunga pada corak kasut yang dijual kepada pengunjung wanita yang mahu masuk ke dalam masjid di sana. Lukisannya dihasilkan menggunakan bahan campuran yang diterjemahkan di atas kanvas.
Menurut Ruzaika, usai menamatkan perkhidmatan sebagai pensyarah di UiTM, dia kini dalam perancangan untuk menyertai UM sebagai pendidik.
Ruzaika merupakan salah seorang daripada 16 pelukis wanita tempatan yang menjayakan majlis jualan dan PWK.
Kesemua mereka telah mempamerkan sebanyak 62 karya yang menampilkan pelbagai jenis tema dan keunikan tersendiri. Selain Ruzaika, beberapa pelukis wanita yang terlibat ialah Raja Datin Zuraida Raja Mansur, Dr. Nor Azlin Hamidon, Dr. Mariani Md. Nor dan Rube Jamal.
Seni kaligrafi atas kanvas
Sebuah seni khat yang diabadikan di atas sekeping simen menjadi penyebab utama Nor Azlin, 42, menghasilkan karya beraliran seperti itu sehingga ke hari ini.
Cintanya pada seni khat kaligrafi Islam bertitik mula selepas melihat perhiasan kaligrafi atas sekeping simen yang digantung di rumah datuknya sewaktu kecil.
Nor Azlin mengakui masih menyimpan perhiasan tersebut kerana terkenang kepada nilai sentimental yang ada pada perhiasan itu. Nor Azlin yang menamatkan pengajian ijazah pertama dalam bidang Usuluddin di Universiti Malaya pada tahun 1995 tidak membantutkan minatnya terhadap seni khat kerana telah memasang impian untuk menyambung minatnya itu selepas tamat pengajian.
Katanya, dia meneruskan ijazah sarjana dalam jurusan Sejarah Seni di Sekolah Pengajian Oriental dan Afrika, Universiti London disebabkan cintanya yang mendalam ke atas cabang seni berkenaan.

NOR Azlin percaya seni khat mampu menyampaikan mesej yang menyentuh jiwa kerohanian penggemar lukisan kerana ia berasaskan huruf jawi yang digunakan dalam kitab suci, al-Quran.


Bakat Nor Azlin mula dikesan sejak di bangku sekolah iaitu ketika berada di tingkatan tiga pada tahun 1986. Dua tahun berikutnya, dia berjaya merangkul gelaran johan pada pertandingan Manifestasi Seni Khat Kebangsaan sewaktu berumur 17 tahun.
"Saya menghasilkan karya bermotifkan khat disebabkan elemen spiritual yang ada padanya dan percaya ia dapat menyampaikan mesej yang baik kepada orang awam.
"Sesebuah karya itu ada mesej tersirat dan tersendiri yang mahu disampaikan oleh pengkarya kepada masyarakat," jelas pensyarah Akademi Pengajian Melayu UM itu.
Baginya, pameran seni yang menghimpunkan pelukis wanita tanah air berkenaan meletakkan pengkarya wanita setaraf dengan pengkarya lelaki.
Penerimaan masyarakat terhadap seni lukisan juga dilihat semakin meningkat sekali gus membakar semangat beliau untuk bergiat lebih aktif kerana mampu menjadi satu bentuk pelaburan masa depan.
Kontemporari si pelukis lelaki
Sementara itu, seorang ahli jawatankuasa PWK, Ahmed Ghazi Ibrahim berkata, pameran tersebut menampilkan pelukis profesional dan amatur dari dalam serta luar negara bagi menonjolkan bakat pelukis wanita.
Menurutnya, kebanyakan pelukis menggunakan akrilik, cat minyak dan bahantara campuran untuk melukis mengikut kecenderungan masing-masing.
"Tema lukisan yang dipamerkan juga berbeza. Ada pelukis yang menghasilkan karya abstrak, realistik, imaginasi dan figuratif.
"Beberapa orang pelukis luar negara yang terlibat termasuklah dari Pakistan, Iran dan Amerika Syarikat," katanya.
Jelas beliau, perkataan kontemporari pada pameran tersebut merujuk kepada beberapa orang pelukis lelaki yang turut terlibat mempamerkan sebanyak 33 lukisan.
Pelukis lelaki yang terlibat ialah Datuk Hashim Yaacob, Datuk M. Nasir, S. Amin Shahab, Usop Kopratasa, Suzlee Ibrahim, Ahmed Ghazi, Tajuddin Ismail dan Sani Sudin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: