Tuesday, April 16, 2013

Asia di pentas peragaan antarabangsa



NAMA Thakoon Panichgul, 39, mula dikenali dalam persada fesyen antarabangsa apabila Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama menyarungkan busana kimono Radzimir pada tahun 2008. Busana paras lutut itu sangat cantik dengan kombinasi rona hitam dan merah serta cetakan flora.
“Pada awal pembabitan, saya tidak mendapat sebarang pekerjaan di rumah fesyen kerana tidak mempunyai pengalaman sebagai seorang pereka.
“Oleh itu, saya mula berusaha untuk membuktikan kemampuan dan kebolehan diri,” ujar Thakoon ketika diwawancara oleh media antarabangsa.
Mengimbas kembali perjalanan kerjayanya, Thakoon beranggapan tidak mampu bertahan lama kerana kerjaya itu memerlukan kekentalan yang tinggi.
“Setiap hari selepas bangun tidur, saya hanya berfikir membeli fabrik untuk dijahit keesokan harinya,” kata Thakoon.
Bagaimanapun, pada hari ini busana pereka kelahiran wilayah Nakhon Phanom, Thailand itu telah menjadi pilihan ramai selebriti terkenal. Antaranya, Demi Moore, Charlize Theron dan Sarah Jessica Parker.
Dia berpindah bersama keluarga ketika berusia 11 tahun ke bandar Omaha, Nebraska, AS. Ketika itu, dia menghadapi kesukaran menguasai bahasa Inggeris.
Begitupun, dia minat membaca majalah-majalah fesyen terutamanya Vogue.
Menceburi dunia Fesyen
Selepas menamatkan pelajaran dan menggenggam ijazah perniagaan dari Universiti Boston, Thakoon berpindah ke New York untuk mencuba nasib dalam dunia fesyen.
Dia bermula sebagai penulis fesyen dan pada masa sama belajar membuat rekaan sendiri. Pada tahun 2001, Thakoon melanjutkan pelajaran dalam bidang itu di institusi fesyen terkenal, Parsons School of Design.
Tiga tahun kemudian, Thakoon mengeluarkan koleksi sedia pakai pertamanya yang mendapat respons positif daripada media dan penggiat fesyen. Tuah menyebelahi Thakoon apabila ketua editor majalah Vogue Amerika, Anna Wintour turut melahirkan rasa kagum dengan rekaan kreatifnya.
“Ketika mempamerkan lakaran koleksi musim luruh pada tahun 2004 kepada media, beberapa staf majalah Vogue menemui saya. Mereka meminta saya membawa lakaran tersebut kepada Anna.
“Ketika bertemu Anna, dia tidak bercakap langsung dengan saya. Hanya ‘Hi’ dan ‘Bye’, tumpuannya terarah kepada penerangan saya selama hampir 15 minit. Walaupun gugup, saya fokus kepada butiran-butiran dan perincian koleksi itu,” imbas Thakoon.

MODEL dari Afrika Selatan, Candice Swanepoel menggayakan koleksi musim bunga 2012 rekaan Prabal.


Perubahan hidup
Pertemuan tersebut mengubah hidup Thakoon secara total. Malah, Anna turut mencadangkan kepada syarikat pakaian kasual, Gap, untuk mengeluarkan koleksi edisi terhad jenama tersebut.
Walaupun sudah mencipta nama di peringkat antarabangsa, dia tidak pernah melupakan kepayahan ibunya membesarkan dia dan abangnya.
“Ibu saya bekerja sebagai tukang jahit di sebuah syarikat bulu yang membuat baju kot. Dia berkhidmat lebih 20 tahun semata-mata mencari rezeki membesarkan kami dua beradik. Kerjaya tersebut langsung tidak glamor tetapi saya tetap berbangga dengan ibu,” jelas Thakoon.
Berbicara mengenai penglibatan orang Asia dalam industri fesyen, Thakoon melihat situasi tersebut sebagai satu persaingan sihat.
“Pada saya, orang Asia sudah lama berada dalam industri fesyen antarabangsa. Jika anda pergi ke rumah fesyen di New York, London, Paris atau Milan, mereka bekerja di belakang tabir. Ada yang menjadi tukang jahit dan membuat corak. Mereka membantu industri tersebut berkembang setapak ke hadapan.
“Ketika saya baru menapak dahulu, pereka Derek Lam melancarkan koleksinya. Saya berpendapat, jika seorang berbangsa Asia berjaya menempa nama, saya juga boleh melakukan perkara sama, ” katanya.
Seorang lagi pereka fesyen kelahiran Asia, Prabal Gurung, 39, turut berkongsi bibit kejayaan yang hampir sama dengan Thakoon. Busana Prabal turut membaluti Michelle.
Prabal yang dilahirkan di Singapura dan membesar di Kathmandu, Nepal telah menceburi dunia fesyen sejak empat tahun lalu.
Bantu masyarakat
Penglibatannya bukan sekadar mengejar impian semata-mata malah membantu masyarakat setempat memperoleh pekerjaan.
“Industri ini menyumbang pendapatan yang tinggi kepada ekonomi sesebuah negara selain membuka peluang pekerjaan.
“Sebanyak 98 peratus koleksi rekaan saya dicipta di New York. Justeru, ia membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” ujarnya ketika ditemu bual oleh majalah Times beberapa tahun lepas.
Tambah Prabal, biarpun harga busananya mencecah puluhan ribu dollar, nilai itu perlu dilihat secara menyeluruh tanpa melihat pada luaran sahaja.
“Ia bermula dengan pemilihan fabrik yang dibawa dari Paris atau Itali. Kebanyakan material itu dihasilkan dengan cara tradisi untuk mengekalkan warisan dan keasliannya.

BUSANA Thakoon sentiasa mendapat perhatian selebriti antarabangsa.


Selain itu, ia turut melibatkan kajian selama berbulan-bulan dan kerja-kerja pembuatan daripada tukang jahit berpengalaman lebih 40 tahun. Kesemua itu memelihara dan menjaga adibusana negara,” jelasnya.
Sewaktu mahu mengeluarkan koleksi pertamanya, Prabal bercadang memulakan perniagaan secara keci-kecilan dan sederhana.
“Saya mahu orang mengenali jenama saya melalui rekaan-rekaan busana yang cantik,” jelasnya.
Minggu Fesyen New York pada Februari 2009 menjadi lokasi untuk melancarkan jenama menggunakan namanya. Sebelum itu, Prabal mengembangkan bakatnya bersama pereka, Cynthia Rowley selama dua tahun setelah menamatkan pelajaran di Parson. Seterusnya, dia dilantik sebagai Pengarah Rekaan jenama Bill Blass dan berkhidmat selama lima tahun.
Usaha Prabal dalam kerjaya tersebut tidak sia-sia apabila mendapat pengiktirafan daripada beberapa organisasi fesyen antarabangsa. Salah satu momen terbaik Prabal ketika mendapat anugerah Swarovski Council of Fashion Designers of America (CFDA) untuk kategori pakaian wanita pada tahun 2011.
Tahun ini, Prabal berkolaborasi bersama pusat beli-belah Target untuk keluaran edisi terhad yang berada pasaran Februari lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: