Sunday, April 14, 2013

Tadika ada panel syariah


PELAJAR-PELAJAR Tadika Brainy Bunch diajar untuk lebih bersifat berdikari untuk melakukan segala aktiviti yang ingin dilakukan.


KELIBAT kanak-kanak sedang belajar dan bermain sungguh mengasyikkan. Walaupun kelihatan bermain tetapi mereka tampak sedang belajar dalam gaya kanak-kanak.
Di satu sudut lain, ada sekumpulan kanak-kanak tidak sabar-sabar menunggu kehadiran ibu bapa masing-masing untuk menjemput mereka pulang dari pusat tadika dan sekolah rendah swasta Brainy Bunch, One City@ USJ 25, Subang Jaya, Selangor.
Tepat pukul 1 tengah hari, berebut-rebut anak-anak kecil itu bersalaman dengan seorang wanita bertudung kuning air itu.
Individu itu ialah Efizah Mohtar Rasali, 34. Wanita ini merupakan antara individu penting dalam melahirkan Brainy Bunch International Montessori Bhd.
Selesa mengenakan baju jubah dan bertudung litup, wanita yang mempunyai empat orang anak ini teruja menceritakan proses wujudnya tadika tersebut.
“Sebenarnya, sejak tamat pelajaran dalam bidang perakaunan, saya hanya bekerja selama sebulan sebagai eksekutif perakaunan di sebuah syarikat swasta.
“Kemudian saya terus menjadi ejen amanah saham sebelum mempunyai perniagaan sendiri seperti salun kecantikan, komputer dan jualan langsung,” katanya.
Namun, semua itu tidak memberi kepuasan kepadanya.
“Terasa seperti ada yang kurang walaupun pendapatan yang diperolehi agak lumayan tetapi seperti ada yang kurang.
“Akhirnya saya dan suami terdetik untuk fokus dalam perniagaan ini untuk memajukan pendidikan kanak-kanak sebelum mereka meningkat dewasa ,” katanya.
Kini, Brainy Bunch mempunyai 37 cawangan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
EFIZAH


Solat duha
Salah satu kelebihan Brainy Bunch ialah mereka menggalakkan ibu bapa menghantar anak lebih awal untuk bersama-sama menunaikan solat duha berjemaah.
“Ini secara tidak langsung mendedahkan mereka dengan ilmu Islam selain belajar mempraktikkan amalan sunat.
“Solat sunat duha sebenarnya baik untuk diamalkan kerana banyak ganjaran pahalanya,” katanya.
Terangnya, Brainy Bunch juga menitikberatkan pengajaran Bahasa Inggeris, Arab, Sains dan Matematik.
“Bahasa Inggeris ialah bahasa antarabangsa untuk berkomunikasi. Kami tidak sesekali meminggirkan peranan bahasa Arab sebagai medium untuk lebih mahir tentang Islam serta dan al-Quran
“Sains dan matematik juga penting sebagai ilmu dunia untuk dikuasai,” tambahnya.
Bercerita mengenai kadar yuran yang dikenakan untuk kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun antara RM290 hingga RM620 dan bagi sekolah rendah swasta pula sekitar RM1,260 hingga RM1,500, Efizah ada alasannya.
“Kos itu tidaklah terlalu mahal dan hampir sama seperti tadika dan sekolah swasta terkenal lain. Konsepnya tetap sama cuma kami mempraktik kaedah montessori yang lebih menjurus kanak-kanak berdikari untuk melakukan satu pekerjaan tanpa perlu arahan yang kerap.
“Ini secara semula jadi membantu proses psikologi mereka selain mereka belajar dalam satu kumpulan yang kecil serta aktiviti yang berbeza,” ujarnya.
Pelajar tadika juga didedahkan dengan ilmu berenang, seni mempertahankan diri dan gimnastik.
Kelainan Brainy Bunch ialah mereka mempunyai dua orang ahli panel syariah yang terdiri daripada golongan akademik Islam yang bertujuan memberikan nasihat akademik terutama berkaitan ilmu agama Islam.
“Ini bagi memastikan mata pelajaran Islam yang diajar seperti Tauhid, Akidah, Fiqh dan Arab mencapai matlamatnya.
“Selain itu, faktor sumber makanan juga perlu diambil kira dari sumber yang halal kerana soal ini penting untuk proses pembinaan mereka.
“Pelajar-pelajar juga menikmati makanan berkhasiat seperti spageti, bubur ayam dan sup ayam serta buah-buahan bagi memastikan mereka sentiasa bertenaga dan sihat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: