Sunday, April 14, 2013

Tidak subur disebabkan komputer riba


AMALAN meletakkan komputer pada ribanya menyebabkan sperma Scott rosak.


SEPASANG suami isteri yang berusaha mendapatkan anak terkejut apabila doktor memberitahu mereka sukar mendapat anak gara-gara terlalu lama menggunakan komputer riba.
Scott Reed dan isteri, Laura, yang masing-masing berumur 30 tahun itu dimaklumkan bahawa amalan meletakkan komputer pada ribanya menyebabkan spermanya rosak dan kesannya, mereka sukar memperoleh anak.
Berikutan itu, Scott mula meletakkan komputer riba di meja dan tiga bulan kemudian, isterinya hamil. Kini anak perempuan mereka, Taryn berumur 11 bulan.
Ujar Laura, dia tidak pernah mendengar perkara yang menimpa mereka berlaku sebelum ini dan ia merupakan satu kejutan besar apabila diberitahu mengenainya oleh seorang doktor.
"Scott biasanya menggunakan komputer riba pada sebelah petang selama beberapa jam dan menutupnya ketika kami menonton televisyen.
"Dia akan gunakannya untuk tugasnya dan perkara lain seperti melayari Facebook. Kami langsung tidak terfikir ia akan menjejaskan spermanya," beritahu Laura.

SCOTT dan Laura terkejut apabila diberitahu doktor komputer riba menjadi punca mereka gagal mendapatkan anak.


Pasangan dari Clanfield, Hampshire itu mengunjungi doktor selepas Laura gagal hamil walaupun sudah berusaha selama enam bulan.
"Pada mulanya, doktor menyangka kesuburan Scott terjejas akibat beguk yang dialaminya ketika berusia 21 tahun. Begitupun, hasil pemeriksaan mendapati dia menghasilkan jumlah sperma yang sihat tetapi rosak akibat terkena haba.
"Masalah itu perkara biasa yang dihadapi tukang masak kerana bekerja dalam persekitaran panas. Selepas doktor bertanya sama ada saya tukang masak atau tidak, soalan berikutnya ialah adakah saya menggunakan komputer riba?
"Saya memberitahu yang saya menggunakannya setiap hari dan tidak pernah terbayang akan kesannya," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: