Tuesday, April 2, 2013

Sunyi, faktor kembali aktif

FIGURA yang pernah mencipta nama menerusi filem Sejati ini mengakui dia tidak berkebolehan menyanyikan lagu yang bernada tinggi.


KALI terakhir Raja Ema muncul dengan album lagu-lagu dendangannya adalah pada tahun 1989, menerusi judul, Tidakkah Aku Menyintaimu.
Kini, setelah 24 tahun, Raja Ema, 44, kembali menyanyi dan bakal mengeluarkan sebuah single baharu.
Jika dahulu, pelantun lagu Jejaka Idaman itu sering kali membawakan lagu berkisar tentang percintaan, namun kini, sesuai dengan kematangan usianya, lagu terbaharu Raja Ema itu nanti akan menceritakan tentang perjalanan hidupnya.
Menurut wanita tersebut, single yang masih belum mempunyai judul itu adalah hasil ciptaan Nik Nizam Jaafar dan ditulis oleh Ennie Sulastri.
Mengulas mengenai single tersebut, jelas Raja Ema, dia lebih selesa membuat kemunculan semula (menyanyi) dengan caranya tersendiri tanpa mengikut mana-mana penyanyi.
"Biarlah kemunculan saya nanti ada kelainan. Setiap penyanyi ada cara masing-masing untuk membuat comeback. Saya lebih selesa lagu itu nanti bercerita tentang perjalanan hidup saya bergelar anak seni. Tetapi, ia masih dalam peringkat perbincangan dan mungkin akan diselit juga dengan kisah percintaan," jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran slot drama TV3 iaitu Lestary, Akasia dan Samarinda di Cathay Cineplex, Cineleisure, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Masih mengekalkan rentak lagu rancak dan mudah seperti dahulu, ujar Raja Ema, dia tidak boleh lari daripada rentak lagu yang lain kerana sedar akan kemampuan vokalnya.
Katanya: "Saya daripada dahulu tidak boleh menyanyi lagu-lagu yang berentak tinggi. Jadi, saya masih mengekalkan konsep dan rentak lagu mudah dan rancak."
Tidak hanya mengeluarkan single baharu, ulas Raja Ema, dia juga bakal mengeluarkan sebuah album.
Ceritanya, album baharunya itu nanti akan memuatkan lagu-lagu popularnya dahulu termasuk single terbaharunya itu.
RAJA EMA menolak dengan baik daripada bercerita tentang kisah peribadinya.


Kunci mulut
Masih tidak putus-putus menerima tawaran berlakon sehingga kini, Raja Ema mengakui, ingin kembali berlakon kerana berasa sunyi dan rindu terhadap dunia lakonan.
Menyatakan hasratnya itu kepada pengarah terkenal, Erma Fatima, Raja Ema kemudiannya ditawarkan watak sebagai Puan Sri Atilia (isteri kepada pelakon Ridzuan Hashim) dalam drama terbaharunya berjudul Bukan Untuk Aku.
Selepas itu, pelakon yang popular menerusi filem Sejati itu menerima banyak lagi tawaran dan bakal muncul dalam slot Samarinda bermula 10 April ini menerusi drama berjudul Epilog Cinta Khirana bersama pelakon Tasha Shilla, Nazim Othman dan Aliff Aziz.
Drama arahan Azmi Hatta itu menceritakan tentang Khirana (Tasha Shilla) yang cedera parah dan koma selama dua tahun akibat kemalangan. Dalam kemalangan tersebut, Khirana bersama seorang lelaki bergelar Datuk bernama Shamsul Ariffin. Selepas sedar daripada kemalangan, dia hilang ingatan.
Shahrul Azman (Nazim Othman) dan Sharqir Ikhwan (Aliff Aziz) yang merupakan adik kepada Datuk Shamsul terkejut dengan penglibatan Khirana dalam kemalangan yang meragut nyawa abang mereka. Sejak itu, Shahrul cuba merapati Khirana untuk memulihkan ingatan gadis itu sekali gus ingin mencari kebenaran.
Ditebak soalan kenapa dia berasa sunyi dan mengambil keputusan untuk kembali berlakon, dedah Raja Ema, kedua-dua anak lelakinya iaitu Putera Amar, 19, dan Putera Alqasha, 17, sudah meningkat remaja dan mereka kini mempunyai kehidupan sendiri.
"Budak-budak lelaki bila sudah besar, bukan mahu pedulikan kita sangat. Mereka ada kehidupan sendiri. Jadi, saya berasa sunyi dan rindu pula pada lakonan," luahnya.
Disoal pula mengenai statusnya kini yang dikhabarkan menjadi isteri kedua kepada seseorang yang dirahsiakan identitinya selepas bercerai dengan penyanyi lagu Nusantara, Sheqal, Raja Ema, mengambil langkah mengunci mulut untuk tidak bercerita tentang perkara tersebut.
"Kalau tanya saya pasal karier boleh, tetapi jika tanya pasal peribadi saya tidak mahu komen," jawabnya dengan manja tetapi terselit sedikit nada serius.

COMEL dan manja. Penampilan Raja Ema yang popular pada era hujung 1980-an.


Lebih yakin
Menolak bercerita lanjut mengenai hal peribadinya, Raja Ema mengakui lebih berasa yakin dengan kemunculannya di persada seni kali ini.
Ujarnya, dia tidak berasa diri berumur untuk membuat kemunculan semula dan berasakan pengalaman dalam bidang lakonan dan nyanyian yang diperoleh sebelum ini membuatkannya lebih matang dan yakin.
"Mungkin ada yang beranggapan, tidak tua ke umur 44 tahun menyanyi dan berlakon semula. Tetapi, sebenarnya saya lebih berasa berkeyakinan sekarang. Mungkin sebab pengalaman dan kematangan kita dalam industri seni," jelasnya.
Seiring dengan kemunculannya dalam bidang lakonan, Raja Ema turut disoal sama ada dia akan selektif memilih watak-watak tertentu sahaja memandangkan statusnya sebagai pelakon dan penyanyi popular satu ketika dahulu.
Jelasnya, sememangnya dia kena memilih watak yang diberikan kepadanya dan berharap setiap kelainan watak yang diperoleh.
Begitupun, ulasnya, dia tidak mempunyai sebarang watak yang diidamkan asalkan watak yang diberi kepadanya kuat dan mampu memberi kesan kepada penonton.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: