Sunday, April 14, 2013

Shiro Terkilan Dituduh Lupa Diri

Shiro terkilan apabila didakwa lupa diri selepas mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega 2012.
PETALING JAYA: Kumpulan lawak Shiro terkilan apabila seorang pelawak terkenal menuduh mereka sebagai lupa diri selepas mendapat tempat ketiga program Maharaja Lawak Mega 2012 (MLM 2012).
Salah seorang anggotanya, Shahrul, berkata, dia tidak faham mengapa isu berkenaan diperbesar-besarkan oleh pelawak berkenaan sedangkan mereka berkawan baik.
"Saya tidak pasti apa punca sebenar dia marah dengan Shiro kerana kami tidak pernah melupakannya yang telah membantu kami semasa menyertai program MLM.
"Kami sentiasa menyebut namanya dalam temubual bersama pihak media bagi menghargai jasanya dan saya terkilan isu ini timbul kerana kami berkawan baik sebelum bergelar artis lagi," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu.
Pada pertandingan itu, Shiro yang turut dianggotai oleh Ajak berjaya menyandang tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM150,000 berserta trofi.
Menjelaskan salah faham itu, Shahrul berkata, pelawak itu tidak membantu mereka sepenuhnya sepanjang 10 minggu menyertai MLM sebaliknya hanya terlibat dalam salah satu minggu pertandingan sahaja.
"Benar dia ada menolong kami dan duduk bersengkang mata berkongsi idea pada salah satu minggu pertandingan untuk memastikan kami berjaya ke peringkat akhir.
"Tetapi tidak adil terus melabel kami lupa diri dan menyebarkan fakta yang tidak benar.
"Kalau benar dia tidak puas hati sepatutnya bersemuka dengan kami dan bukannya mencanang cerita kepada orang lain," katanya.
Mengulas isu tidak berkongsi wang kemenangan dengan pelawak itu, Shahrul berkata, pelawak itu seharusnya menjelaskan perkara itu lebih awal supaya tidak timbul salah faham seperti yang berlaku sekarang.
"Soal wang tidak pernah disentuh sebelum ini kerana jelas dia membantu kami secara ikhlas dan jika itu yang menjadi pertikaian mengapa tidak dari awal dia memberitahu supaya ia boleh diselesaikan," ujarnya.
Sementara itu, Shahrul berkata, dia pernah menghubungi pelawak berkenaan untuk menjernihkan salah faham yang timbul namun pelawak itu memberi alasan tidak mengenalinya semasa panggilan dijawab.
Malah katanya, khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar juga tidak dibalas oleh pelawak tersebut.
"Saya ada cuba bercakap dengannya tetapi dia tanya siapa saya apabila panggilan diangkat malah baru-baru ini saya menghantar SMS kepadanya untuk mengucapkan selamat berjaya kerana dicalonkan dalam kategori sebuah anugerah tetapi tidak dibalas.
"Jadi saya faham dia tidak mahu berhubung dengan saya tetapi saya masih berharap agar salah faham ini dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment