Pencetus semangat Julie’s Perfect Food berjaya bangkit selepas isu biskut beracun tahun 2008
Rangkaian produk Julies: sandwich, biskut beraneka, gulungan wafer, dan biskut mentega kacang.
Jika disebut 2008, sudah tentu fikiran ramai orang akan beralih kepada isu yang pernah menjadi masalah sejagat, iaitu krisis kegawatan ekonomi.

Peristiwa itu memberi kesan kepada perniagaan di seluruh dunia sama ada berskala kecil atau besar yang menghadapi kesukaran dalam menjana keuntungan.

Namun, lain pula halnya bagi syarikat pembuat biskut tempatan jenama Julie’s iaitu Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd (Perfect Food) apabila pada tahun itu dituduh menghasilkan biskut beracun untuk pasaran biskut tempatan.

Pengurus Besarnya, Martin Ang berkata, masalah itu dirasakan lebih berat berbanding kegawatan ekonomi. Isu itu bermula apabila dunia dikejutkan dengan skandal campuran bahan berbahaya melamine ke dalam susu bayi di China pada Ogos 2008 sehingga menyebabkan 53,000 bayi dan kanak-kanak jatuh sakit serta 13 meninggal dunia.

“Masalah ini mula dikaitkan dengan pembuatan biskut kerana terdapat sesetengah makanan seperti gula-gula dan coklat yang menggunakan susu tepung dalam setiap ramuannya,” ceritanya semasa berkongsi pengalaman di majlis Journey to Success: The Stories of Julie’s di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Ang, apabila isu itu timbul, Kementerian Kesihatan datang ke kilang Perfect Food untuk memeriksa susu tepung yang digunakan.

"Bagaimana pun, kami bernasib baik kerana susu tepung yang digunakan tidak mengandungi melamine."Malangnya, produk akhir Julie's tetap dikesan mengandungi melamine. Rupanya bahan tercemar itu datang daripada serbuk ammonia bikarbonat (tepung
penaik) yang diimport dari China.

“Akibatnya, artikel mengenai perkara itu mula tersebar di media tempatan dengan kebanyakan media berbahasa Cina meletakkan tajuk biskut beracun sebagai merujuk kepada biskut kami,” katanya.

Menurutnya, ekoran pengumuman itu, semua pihak berkuasa di luar negara mula menjalankan pemeriksaan produk Malaysia di negara masing-masing dan mengeluarkan barangan daripada pasaran di premis pasar raya mereka.

“Produk Julie’s diharamkan memasuki pasaran di beberapa negara seperti Hong Kong, Singapura dan Taiwan serta mengalami kerugian 60 peratus tahun itu, iaitu hampir RM14 juta,” katanya.

Ang berkata, walaupun itu adalah mimpi buruk buat jenama Julie’s, peristiwa itu menjadi pencetus semangat untuk Perfect Food yang kemudian membawa Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai melawat kilang dan mengesahkan produk Julie’s selamat
untuk dimakan pada penghujung 2008.

“Sejak itu, kami hanya mengimport ammonia bikarbonat dari Jepun dan Norway untuk pastikan kualiti biskut terjamin," katanya.
Selepas melalui cabaran menakutkan itu, produk Julie’s yang mula berada di pasaran tempatan sejak 1982 kini dieksport ke 15 negara seperti Singapura, Hong Kong, Taiwan, Afrika, Australia dan China.

Perfect Food juga mencatat jualan RM200 juta tahun lalu dan jumlah itu disasar meningkat 10 peratus tahun ini dengan pengenalan lebih banyak produk dan sumbangan lebih besar daripada pasaran antarabangsa.