Tuesday, April 16, 2013

Sedekad bakti As-Siddiq

LEBIH 49 kanak-kanak di Kampung Batu Hampar Dalam teruja saat menerima bantuan persekolahan daripada As-Siddiq.


BAGI penduduk sekitar Taiping, Perak khususnya di kawasan Bukit Gantang, kelibat sukarelawan sebuah pertubuhan kebajikan tempatan, As-Siddiq bukanlah sesuatu yang asing.
Rutin mereka adalah menjelajah ke kampung-kampung, menjengah dari pintu ke pintu, mencari individu yang memerlukan bantuan serta perhatian sama ada miskin atau cacat anggota.
Tanpa mengira kaum dan agama, semua yang mengalami kesulitan dibantu oleh anggota sukarelawan terbabit.
Pelbagai bentuk sumbangan dihulurkan melibatkan wang tunai, perkakasan rumah, bahkan ada yang menerima rumah yang dibina sendiri Pengerusi Pertubuhan As-Siddiq, Habidi Zain.
Selain itu, ratusan penduduk berpendapatan rendah dan golongan kurang upaya turut menerima sumbangan barangan makanan untuk sebulan secara tetap daripada sukarelawan terbabit.
Apa yang pasti, sukarelawan As-Siddiq yang genap 10 tahun penubuhannya pada hari ini bertekad meneruskan komitmen mereka meringankan beban ditanggung penduduk terlibat.
Menurut Habidi, sukarelawan As-Siddiq bukan sahaja dianggotai individu Melayu, tetapi turut disertai masyarakat Cina dan India.
Katanya, penglibatan golongan belia dalam beberapa aktiviti yang dilaksanakan sukarelawan As-Siddiq sebelum ini membuktikan komitmen pertubuhan itu sentiasa disokong dan didokong semua lapisan masyarakat.
“Banyak program kemasyarakatan yang dianjurkan sebelum ini mendapat kerjasama kelompok belia dan ia menyemarakkan semangat kami untuk terus berbakti,” kata Pengerusi Eksekutif Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Seri Manjung itu kepada Kosmo!.
Habidi memberitahu, sukarelawan As-Siddiq bergerak aktif menggunakan dana persendirian dan menyumbang mengikut kemampuan masing-masing.
Selain menjelajah ke pelosok kampung dan memberi bantuan kepada golongan memerlukan, sukarelawan As-Siddiq sebagai sebuah pertubuhan berdaftar turut aktif menganjurkan acara-acara lain seperti sukaneka dan klinik kesihatan yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat.
Bersihkan makam
Pada September 2012, Habidi bersama kira-kira 30 belia berusia 20 hingga 30-an memilih menyambut Hari Kemerdekaan ke-55 dengan bergotong-royong memulihara makam Datuk Seri Amar Diraja Alang Idin Tok Pandak Jamaludin.
Ujarnya, sebagai individu yang bertanggungjawab membuka Bukit Gantang, tokoh itu membangunkan mukim berkenaan yang pernah menjadi pusat bandar Taiping berteraskan perniagaan bijih timah.

MEMBINA dan membaiki rumah penduduk juga merupakan sebahagian aktiviti sukarelawan As-Siddiq sejak penubuhannya 10 tahun lalu


“Agenda ekonomi dan sosial Alang Idin kemudian diteruskan menantu lelakinya, Long Jaafar dan cucunya, Ngah Ibrahim.
“Sumbangan pembesar yang meninggal dunia pada 20 April 1818 ketika berusia 117 tahun itu amat besar dan kesannya dapat dirasai masyarakat sehingga hari ini,” katanya.
Selain itu, Habidi yang juga Pengarah Urusan Ujimaju Fly Travel & Tours berkata, bantuan berupa satu kampit beras kepada penduduk Melayu, Cina dan India yang giat dilaksanakan sejak empat tahun lalu akan diteruskan dari semasa ke semasa.
“Melalui acara-acara penyerahan beras ini, saya dapat memperkenalkan para sukarelawan kita kepada masyarakat dan sebagai individu korporat, inilah cara terbaik saya membantu semula masyarakat yang memerlukan,” katanya.
Sumbangan beras
Pada satu majlis di Kuala Sepetang, Taiping baru-baru ini, rata-rata penerima sumbangan tidak dapat menyembunyikan rasa terharu, malah sebahagian besar tanpa rasa segan mengalirkan air mata ketika menerima bantuan berkenaan.
Warga emas, Leong Mun Fatt, 62, berkata, beliau tidak pernah menyangka kesusahan hidup dialaminya akan mendapat perhatian pihak luar lebih-lebih lagi pertubuhan seperti As-Siddiq.
“Keprihatinan mereka menjengah dan membantu saya serta penduduk miskin lain di sini telah mengubah tanggapan kami bahawa As-Siddiq bukan sahaja membela nasib orang Melayu, tetapi juga kaum lain,” katanya.
Bagi seorang warga emas, T. Ramanathan, 65, majlis sumbangan tersebut jelas memperlihatkan keterbukaan As-Siddiq dalam membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.
“Banyak atau sedikit pemberian As-Siddiq, kami sememangnya amat berterima kasih bahkan berharap ia diteruskan selepas ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: