Tuesday, April 16, 2013

Untuk jejaka arif bergaya

SELUAR tema Hawaii memberi keselesaan ketika bersantai di tepi pantai.


SEMPENA meraikan ulang tahun ke-40, Pepe Jeans London menampilkan koleksi terbaharu musim bunga khas untuk kaum Adam.
Koleksi terbaharu itu diilham berdasarkan busana pakaian moden Amerika Syarikat dengan reka bentuk estetik. Ia memberi tumpuan kepada ketelitian perincian dan kekemasan untuk jejaka yang arif bergaya. Ia ditampilkan melalui empat pilihan berbeza.
Buat mereka yang meminati gaya lasak, koleksi Active pasti menepati cita rasa anda. Seluar kargo tirus bertema pemburuan menjadi pilihan utama. Gaya ini dilengkapkan dengan pilihan kasut derbi bertumit getah berwarna khaki dan mustard.
Koleksi Portobello pula menggabungkan fesyen jalanan dengan serapan moden seperti corak jalur, jaket berhud dan baju-T grafik. Seluar jean dengan pilihan warna pelbagai digayakan bersama kasut kapas lusuh atau dicelup warna.
Imej lelaki dewasa
Bersesuaian dengan cuaca tempatan, koleksi Beach direka bersahaja dalam corak vintaj ala Aloha. Cetakan kesan air dan variasi warna cerah menjadi perlambangan kepada imej lelaki dewasa. Bagi memudahkan pergerakan, sarungkan kaki anda dengan kasut mokasin bertali yang selesa dengan corak vintaj luncur ombak Hawaii atau kasut kanvas pantai dalam dua tona warna.
Koleksi Essentials memberikan pilihan pakaian yang mudah disuaipadankan seperti baju Oxford, blazer kapas dan seluar chino berpotongan ketat sebagai pelengkap gaya formal terkini.

MELANGKAH berani dengan seluar kuning terang bercorak simbol duit dollar daripada koleksi Andy Warhol.


Lupakan pakaian konvensional ke pejabat dan hadir dengan peribadi baharu melalui koleksi ini.
Selain empat pilihan utama, Pepe Jeans London turut menampilkan koleksi Andy Warhol dengan penataan segar menerusi warna-warna terang dan corak yang menonjol. Antara item yang boleh dimiliki seperti seluar jean berpotongan ketat dalam rona pudar dengan kemasan buatan tangan gaya koyak dan tampal.
Meriahkan gerobok fesyen anda dengan warna-warna terang biru Perancis, hijau kebiruan dan kuning. Ia digabungkan dengan rona pudar merah jambu, biru dan denim lusuh biru nila dalam corak Warhol yang ikonik. Ilham pelukis terkenal itu diadaptasikan melalui corak seperti bunga, simbol dolar dan grafik sup terkemuka, Campbell.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: