Tuesday, April 16, 2013

Kampus USM bebas rokok


YAHYA (tujuh dari kiri) bergambar bersama para peserta Bengkel Perancangan Strategik Projek USM Bebas Tembakau di USM, baru-baru ini.


SITUASI terpaksa menyedut asap rokok daripada perokok pasti memeritkan bagi mereka yang tidak merokok.
Ini kerana kepekatan bahan kimia beracun yang terkandung dalam asap rokok adalah lebih bahaya jika dibandingkan dengan kepekatan asap disedut oleh perokok aktif.
Justeru, Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif dengan mengisytiharkan kawasan kampusnya bebas rokok pada 1 Januari lepas. Pendekatan itu sejajar dengan status USM sebagai universiti Apex.
Seiring itu, USM bukan sahaja bebas daripada pencemaran asap malah pengiklanan, promosi, penjualan dan sebarang penajaan membabitkan syarikat rokok.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Omar Osman berkata, pendekatan itu dapat memastikan warga USM menjauhi rokok sekali gus dapat mengelakkan implikasi buruk tembakau.
“USM akan memberikan komitmen dan sokongan kepada semua pihak untuk menjayakan matlamat ini termasuk menggunakan segala kepakaran yang ada,” ujarnya pada sidang akhbar selepas menandatangan memorandum perjanjian (MoA) di USM, baru-baru ini.
MOA berkenaan dimeterai USM bersama Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) dan Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai rakan kolaborasi strategik bagi melaksanakan program tersebut.
MySihat diwakili oleh Pengerusinya, Toh Puan Dr. Aishah Ong dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Yahya Baba.
Menurut Omar, kempen bebas merokok itu dimulakan dengan sokongan geran MySihat berjumlah RM500,000 untuk tempoh tiga tahun sehingga 2015.
Program bina upaya
Katanya, geran itu bagi membiayai program bina upaya dan promosi kesihatan khususnya kawalan tembakau untuk pelajar USM, penyediaan bahan promosi dan advokasi serta Majlis Pelancaran USM Bebas Tembakau.
“Lebih 80 peratus daripada keseluruhan pembiayaan adalah untuk program bina upaya melibatkan 1,500 pelajar USM yang terpilih sebagai sukarelawan bagi program antimerokok dan bebas tembakau.
“Mereka akan melalui kursus intensif promosi kesihatan, bengkel inisiatif bebas tembakau seterusnya melaksanakan projek komuniti di luar kampus berhubung bahaya asap rokok,” ujarnya.

SERAMAI 1,500 pelajar USM terbabit sebagai sukarelawan program antimerokok dan bebas tembakau.


Tambah beliau, kakitangan dan para pelajar USM yang didapati menghisap rokok secara terbuka akan diminta mengikuti sesi bengkel tersebut yang lebih bersifat mendidik dan bukan menghukum.
USM sebelum ini telah menggerakkan kempen antimerokok menerusi Pusat Sejahtera dan Persatuan Green Lung.
Pusat Sejahtera USM telah mewujudkan Klinik Berhenti Merokok sejak 2002 dan menyediakan kemudahan seperti khidmat kaunseling serta terapi gentian nikotin.
Persatuan Green Lung pula merupakan usaha para pelajar Pusat Pengajian Sains Farmasi yang bergiat aktif membantu USM menerusi kempen serta tinjauan kawasan dalam kampus supaya tiada kesan-kesan merokok.
Persatuan tersebut turut bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) yang lain untuk memastikan usaha yang dilakukan mencapai matlamat iaitu menjadikan kawasan IPT masing-masing bebas tembakau.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk Projek USM Bebas Tembakau, Profesor Rahmat Awang berkata, data rasmi dunia menunjukkan seorang perokok meninggal dunia bagi setiap lima saat manakala di Malaysia satu kematian setiap jam.
Tegasnya, setiap batang rokok mengandungi 7,000 bahan kimia dan 5,000 daripadanya adalah bahan kimia yang boleh menyebabkan kanser.
“Statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia menunjukkan, bagi dua perokok yang menghisap rokok selama 40 tahun, seorang daripadanya akan mati. Jika empat perokok menghisap rokok selama 20 tahun pula, seorang daripada mereka akan mati.
“Lebih membimbangkan, statistik itu menunjukkan peningkatan saban tahun apabila sebahagian besar perokok mula merokok ketika berusia sembilan tahun,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: