Wednesday, April 3, 2013

Revolusi industri percetakan 3D


MATERIALISE menjadi perintis kepada teknologi pencetak 3D.


PERCETAKAN tiga dimensi (3D) telah banyak mengubah senario pembuatan produk khusus contohnya alat-alat perubatan. Bagaimanapun, revolusi sebenar terjadi apabila pereka mula berfikir mengenai bentuk dan objek tersebut.
Jika teknik konvensional mengehadkan imaginasi pereka, percetakan 3D pula membolehkan setiap rekaan melangkaui gambaran biasa.
"Untuk mula menggunakan teknologi percetakan 3D, para pereka dan jurutera harus membayangkan rupa dan reka produk terbaharu.
"Dengan teknologi percetakan 3D tiada lagi batasan terhadap kompleksiti geometri," ujar Terry Wohlers seorang penganalisis bebas mengenai teknologi itu.
Syarikat perintis teknologi berkenaan, Materialise yang berasal dari Belgium, sebagai contoh pernah mempamerkan kerusi mudah alih dicetak secara terus di atas plastik dengan menggunakan engsel yang saling berkaitan.
"Teknologi ini bukan sahaja lebih mudah tetapi kosnya lebih murah berbanding teknik konvensional," ujar Wohlers.
Selama hampir 25 tahun proses 3D digunakan untuk membina prototaip, namun sekarang ia sudah diaplikasikan dalam pengeluaran tetap.
Syarikat seperti General Electric Co merancang untuk membina bahagian sebuah kapal terbang jenis ringan, manakala doktor gigi membentuk penyalut gigi hanya dalam tempoh sejam berbanding dua minggu sebelum ini.
Mesin pencetak 3D juga kini sedang diuji untuk membina rumah di bulan menggunakan tanah dari situ.
Para saintis juga berharap dapat membina organ manusia selepas pengkaji berjaya menghasilkan tisu menggunakan sel stem manusia.
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama turut mengetengahkan teknologi tersebut sebagai salah satu cabang kerjaya yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Materialise, Wilfried Vancraen yang diiktiraf sebagai individu paling berpengaruh dalam pencetakan 3D oleh majalah TCT, bagaimanapun berpendapat proses menggantikan teknologi berkenaan dalam pasaran massa agak lambat dan mahal.
"Percetakan 3D tidak sesuai untuk membuat kebanyakan produk yang kita gunakan setiap hari. Anda tidak boleh mencetak biola begitu juga dengan iPad," ujarnya.

VANCRAEN bersama kerusi rehat yang dibuat menggunakan teknologi pencetakan 3D.


Pereka robot
Apa yang mampu dilakukan adalah menggabungkan komputer dalam proses rekaan supaya dapat meningkatkan rekaan tersebut.
"Rekaan itu akan kelihatan organik dan sangat berbeza daripada bentuk yang biasa dilihat," ujar Wohlers.
Cabang industri seperti perubatan, perabot dan rekaan pakaian mendapat impak yang besar melalui kaedah itu.
Hampir 90 peratus pembuatan alat pendengaran menggunakan percetakan 3D. Melalui teknologi itu, tahap akustik telah dipertingkatkan semasa dalam proses pembuatan.
Syarikat Sonova yang mengeluarkan alat itu telah menggunakan perisian grafik untuk mengubah suai bentuk alat tersebut semasa ia diimbas supaya ia muat dan sesuai ke telinga pengguna selain meningkatkan kualiti akustik.
"Tutup kedua-dua telinga anda dan cuba bercakap. Suara anda akan kedengaran teruk," ujar Naib Presiden Sains dan Teknologi Sonova, Stefan Launer.
"Dengan meletakkan sistem akustik ke alat tersebut, anda dapat mengurangkan efek tersebut. Ia terhasil melalui perisian tersebut yang meningkatkan tahap akustik," ujarnya.
Mesin pencetak 3D terbesar, dikenali sebagai mesin stereolitografi gergasi, mengambil masa selama seminggu untuk mencetak produk yang besar. Di dalamnya, pancaran laser dengan corak rumit disimbahkan ke permukaan cecair resin plastik.
Lapisan demi lapisan, resin itu dipejalkan kepada objek cetakan 3D di bawah cecair tersebut. Pada proses akhir cetakan, objek tersebut akan timbul keluar melalui tolakan daripada takungan cecair.
Mengenai pembinaan di atas permukaan bulan, para pengkaji akan membuat eksperimen dengan menggabungkan tanah bulan bersama magnesium oksida dan garam. Struktur akan dibina mengikut lapisan sepanjang dua meter sejam.
Pencetak 3D komersial pertama telah dipamerkan di Carolina, Amerika Syarikat pada tahun 1988. Mengambil inspirasi daripada pameran itu, Vancraen menubuhkan Materialise dua tahun kemudian.
"Percetakan 3D kini boleh mencampurkan sifat material yang berbeza sama ada keras, lembut atau berbeza kepadatannya," katanya.
Dengan pertambahan pelanggan sehingga 20 hingga 30 peratus setahun, Wohlers menganggarkan keuntungan teknologi itu akan bertambah.
Pada tahun 2011, ia menjana kewangan sehingga RM5.28 bilion dan dijangka menjadi RM11.49 bilion pada tahun 2015.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: