Wednesday, April 3, 2013

Meraikan tubuh pada kanvas

GOPAL bersama dengan lukisannya yang diberi nama Apparitions.


KARYA-KARYA Gopal Krushna Rath, 28, kelihatan umpama dalam alam fantasi atau bawah sedar pemikiran manusia. Aliran karya seperti itu sering dirujuk sebagai surealisme.
Namun, setiap patah perkataan yang keluar dari mulut lelaki dari Bhubaneswar, India itu mencerminkan rasa kagum dan penghargaannya terhadap kemampuan tubuh manusia.
Gaya badan dilukis menggambarkan kemampuan manusia daripada segi pergerakan yang mampu dicapai oleh tubuh seseorang itu.
Ada yang dalam bentuk sedang menari atau bermeditasi yang jelas memaparkan ciri dan hati nurani lelaki itu walaupun disampaikan dalam bentuk seni yang baharu.
“Saya menghargai pergerakan badan terutamanya dalam pergerakan tarian dan yoga,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur bulan lalu.
Lukisan potret
Dia dan seorang lagi pelukis senegara, Guru Suraj dari Chennai, India telah mengadakan pameran lukisan bertajuk, Con-Figure - seeking the essence of divinity in the human visage di Sutra Gallery, Kuala Lumpur.
Guru juga memberi fokus terhadap figura dan kemampuan tubuh manusia bergerak, tetapi dalam gaya yang berlainan, lebih tradisi selain cara memberus agak ketara kelihatan.
Selain lukisan figura, Gopal juga turut mempamerkan satu set lukisan potret yang dilukis menggunakan medium arang di atas kertas lukisan.
Setiap potret memaparkan wajah-wajah bercirikan India seperti wanita dengan bunga terselit selain wajah pendeta yang berjambang.
“Saya mendapat idea ini ketika melawat sebuah tempat keagamaan di India. Namun, setiap wajah yang dilukis ini 100 peratus berdasarkan imaginasi saya,” terangnya ringkas.
Selain itu, terdapat satu siri lukisan yang diberi nama Kinematic Movement yang memaparkan figura sedang menari dengan liuk tubuh ke kanan dan ke kiri.

KARYA Gopal (tengah) menggunakan imej tubuh manusia dan warna yang terang.


Hasil lukisan terbesar dan termahalnya, Amrit daripada bahasa Sanskrit memaparkan satu figura berwarna biru sedang memberi air kepada satu lagi individu rona jingga.
Pemandangan lukisan tersebut seperti di sebuah padang rumput yang ditumbuhi pokok bunga teratai.
“Teratai merupakan simbol kesucian,” ujar Gopal menerangkan setiap maksud yang dilukisnya.
Selain mengguna bentuk figura dengan aksi yang meliuk dan panjang serta hampir abstrak, Gopal turut menggunakan warna-warna terang dalam setiap lukisan yang dihasilkan.
Ia menjadi ciri-ciri khas Gopal dalam menterjemah dan mengekspresi daya kreativiti dan imaginasi yang bermain dalam kotak fikirannya.
“Saya menyasarkan sesuatu yang ringkas dan seimbang dalam komposisi sesebuah lukisan,” katanya lagi.
Sebuah lagi lukisannya bertajuk Apparitions yang juga diambil daripada bahasa Sanskrit. Jika tajuk diterjemah secara langsung bermaksud membuka pintu syurga.
Pada Apparitions, kelihatan dua batang pokok dan di celahnya terlihat ukiran patung yang terdapat di kuil Khajurah, India.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment