|
SEIRING perkembangan teknologi maklumat, syarikat pemborong dan pengimport, Tujuh Luk Enterprise (Tujuh Luk) yang beribu pejabat di Bandar Baru Salak Tinggi, Selangor turut menggunakan laman web sebagai medium pemasaran berbanding kaedah konvensional.
Cuma, barangan dagangan syarikat itu terdiri daripada benda-benda yang dinilai sebagai mistik oleh sesetengah pihak seperti keris, cincin, batu geliga dan koleksi jenglot.
Menurut pengarah urusannya, Mohd. Hilmi Hussin, konsep perniagaan Tujuk Luk adalah untuk koleksi dan kegemaran lelaki. Selain barang bersifat eksentrik, banyak lagi perhiasan untuk kaum Adam boleh didapati di laman web, www.tujuhluk.com.my.
Antara barang lain yang pernah dijual ialah kristal air mani gajah dan cincin bertatah gading gajah yang dipercayai mempunyai khasiat daripada sudut perubatan dan boleh membaiki hubungan serta bersifat spiritual.
"Ia dapat meningkatkan aura selain bergantung kepada niat pemakainya," terang Hazli Abd. Hamid, 36, penasihat perubatan kepada Tujuh Luk ketika ditemui di Sepang, Selangor.
Sifat penyayang
Kristal air mani gajah yang dijadikan minyak dipercayai dapat membaiki wasilah antara dua individu dengan menundukkan orang yang dicalit.
Kepercayaan itu berasal daripada sifat gajah yang penyayang terhadap anaknya dan ia diperoleh daripada air mani yang tercicir di permukaan tanah seterusnya mengalami penghabluran ketika mamalia itu mengawan.
Kristal air mani gajah mempunyai empat gred yang diukur mengikut tahap ketumpatan. Harga gred A mampu mencecah lebih RM30,000 setiap gram.
Bagi individu yang sering berasa gentar atau rendah diri, cincin bertatah gading gajah pula dipercayai mampu menaikkan semangat pemakai.
Aura dan tenaga yang didapati sama fungsinya semasa gading digunakan gajah untuk berlawan serta memberi rupa yang garang terhadap mamalia daratan terbesar itu.
"Pemakaian cincin dan mani ini hanya sebagai medium dalam mencapai kehendak seperti seseorang itu harus menaiki kenderaan untuk ke destinasi yang dihajati.
"Jadi, pengguna harus membetulkan dulu iktikad dan akidah serta tidak meletakkan 100 peratus kepercayaan terhadap sesuatu benda," kata Hazli memberi nasihat.
Ujar lelaki yang mendapat pendidikan di Mesir itu, pemakaian objek sebegitu merangkumi beberapa jurus ilmu seperti alam semula jadi, sains dan budaya.
Keaslian gading gajah boleh ditentukan dengan meneliti permukaan gading yang mempunyai corak, tidak licin dan apabila dibakar, ia mengeluarkan aroma yang tersendiri tidak seperti bau plastik terbakar, ujar Hazli.
Pada 11 Disember lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor telah berjaya menumpaskan cubaan satu sindiket menyeludup 6,034 kilogram gading gajah di Pelabuhan Klang, Selangor.
Hasil pemeriksaan ke atas dua buah kontena oleh pihak berkuasa mendapati, sebanyak 2,341 batang gading gajah disorok dalam 10 bekas khas dalam bentuk komposisi susunan kayu.
Menurut Pengarah Kastam Negeri, Datuk Azis Yacub, sebanyak empat rampasan telah dibuat sejak September 2011 di Pelabuhan Klang diikuti 13 Disember 2011 dan 6 Januari 2012 dan terbaru, Disember lalu.
"Taktik penyeludupan ialah dengan membuat ikrar tidak benar dan pergerakannya berhenti di beberapa destinasi untuk memunggah barang ke kapal yang lain atau berpatah balik ke lokasi asal.
"Usaha ini bagi mengelirukan pihak berkuasa. Daripada ketiga-tiga kes, taktik yang digunakan lebih kurang sama," kata beliau ketika ditemui di Wisma Kastam Selangor, Pulau Indah, Selangor.
Antara contoh barang yang diikrar ialah kraftangan, jubin lantai mahagoni, plastik atau tikar anyam nilon poliester. Kes terbaharu, diikrar sebagai jubin kayu lantai Acajou (mahagoni) sebanyak 1,322 buah.
Hasil maklumat Cawangan Risikan JKDM, kapal yang diberi nama Marivia berasal dari Togo itu telah ke Pelabuhan Algeciras, Sepanyol untuk dipunggah ke kapal CMA CGM Titus sebelum ke Pelabuhan Klang, Malaysia.
Kapal tersebut sampai di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 7 Disember 2012 dan dipunggah di sebuah gudang di Zon Bebas Pelabuhan Klang. Ia dijangka diubah sebelum dihantar ke destinasi terakhir.
Berdasarkan data yang didapati daripada Traffic Southeast Asia (Traffic), terdapat enam rampasan gading gajah telah dibuat sejak September 2011 di Malaysia. Empat rampasan di Pelabuhan Klang, Selangor, masing-masing satu di Johor dan Pulau Pinang.
Sebanyak tiga kertas siasatan telah dibuka bagi rampasan di Pelabuhan Klang, manakala kes pada September 2011 telah selesai dan barang rampasan telah diserahkan kepada pihak bertanggungjawab mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).
Transit pembungkusan
Konvensyen Perdagangan Spesies Terancam Antarabangsa (CITES) menyenaraikan gajah Asia dalam Apendiks Satu pada tahun 1975 diikuti gajah Afrika pada Januari 1990.
Tegas Azis, CITES Apendiks Satu menjadi larangan mutlak untuk diperdagang di negara-negara yang menandatangani konvensyen tersebut menggantikan undang-undang lain.
Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 untuk ikrar tidak benar dan Apendiks Satu, CITES. Jika didapati bersalah, denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pelabuhan Klang menjadi transit atau persinggahan untuk pembungkusan semula barang-barang penyeludupan atau bertukar kapal pengangkutan dari negara asal ke destinasi akhir.
Kosmo! pada 5 Januari lalu melaporkan, satu rampasan gading gajah bernilai RM4.26 juta dari Kenya telah dibuat oleh pihak berkuasa Hong Kong, kontena tersebut melalui Malaysia sebelum sampai ke pulau tersebut.
Pada pandangan Traffic, Zon Bebas merupakan masalah paling ketara bagi penyeludupan, namun mengakui amat mustahil untuk pihak berkuasa memeriksa trafik setiap kontena yang keluar dan masuk.
JKDM Selangor yang baru menerima Anugerah Negeri Berprestasi Tinggi Tahun 2012 mempunyai seramai 1,239 kakitangan yang bertugas di Pelabuhan Utara, Barat dan Selatan, Selangor dengan keadaan trafik antara 6,000 hingga 8,000 TEU sehari.
TEU merupakan unit bagi kontena iaitu bersamaan setiap 20 kaki (6.1 meter) persegi. Saiz kontena paling kecil.
Berdasarkan siasatan, destinasi seterusnya bagi kontena yang dirampas pada Disember 2012 akan ke Terminal Pasir Panjang, Singapura, Terminal Kontena Mawan, Chiwan, China dan lokasi terakhir, Xiamen, Xinheida, China.
Kata pegawai kanan program Traffic, Kanitha Krishnasamy, 32, tiada rampasan dilakukan oleh Malaysia sejak tahun 2009, namun ada rampasan dilakukan di Laos, Hong Kong dan Vietnam.
"Sekurang-kurangnya 10 rampasan di luar negara telah melalui Malaysia terlebih dulu," kata Kanitha ketika ditemui di Petaling Jaya.
Gading gajah mendapat permintaan di China dengan perdagangan domestik dibenarkan, tetapi terkawal iaitu simpanan stok yang didapati sebelum prakonvensyen CITES boleh dijual dengan permit.
Thailand juga membenarkan perdagangan dalam negara dengan menggunakan sumber domestik.
Terang Kanitha, gading gajah dijadikan sebagai perhiasan sama ada diukir atau dalam bentuk asal dan rampasan yang berlaku menunjukkan terdapat permintaan serta penyeludupan.
Penyeludupan gading gajah disifatkan oleh Kanitha sebagai masalah antarabangsa dan melibatkan sindiket serta pekerja berbilang negara.
Dia memberi contoh, satu rampasan sumbu badak di lapangan terbang antarabangsa Thailand untuk diseludup ke Vietnam, sindiketnya dari Laos dan individu yang bekerja pula warganegara Malaysia.
Di benua Afrika pula, terdapat musim memburu yang dipanggil pemburuan trofi yang membolehkan para pemburu memburu seekor gajah dan membawa pulang tengkorak.
"Pemburu yang berjaya perlu bergambar dengan bangkai haiwan dan dibiarkan. Pihak berkuasa perlu menguruskan bangkai tersebut dan kemudian rangka dihantar kepada pemilik lesen," terang Kanitha.
Lesen pemburuan trofi itu kerap disalah guna oleh pemburu haram. Misalnya, lesen memburu didaftar dengan nama wanita-wanita penghibur dari China bagi mendapatkan gading yang banyak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: