Saturday, April 6, 2013

Raja Azmi tak serik cari teman hidup

TERBUKA. Raja Azmi tidak kisah orang ramai mengikuti perkembangan dirinya termasuk yang membabitkan kontroversi.


KEHIDUPAN yang dilalui penerbit Raja Azmi Raja Sulaiman, 54, seringkali diwarnai dengan pelbagai kisah kontroversi, termasuk membabitkan kisah peribadi serta filem-filem yang diterbitkannya.
Antaranya, gosip membabitkan hubungan istimewa dengan bekas pemain badminton kebangsaan iaitu Roslin Hashim, penceraiannya dengan Jalani Sidek serta percintaannya dengan seorang pemain gitar yang 27 tahun lebih muda daripada usia dirinya.
Bagaimanapun, hubungannya dengan jejaka yang dikenali sebagai Hafiz itu telah berakhir pada bulan Februari lalu setelah sebulan menjalinkan percintaan.
Berkesempatan menemui penerbit berstatus janda itu pada majlis tayangan perdana filem Langgar baru-baru ini, Raja Azmi menyatakan, kisah percintaannya itu sudah tinggal kenangan dan dia mahu memulakan hidup baharu.
Kosmo!: Apakah status terkini Raja Azmi sekarang?
RAJA AZMI: Seperti yang semua sudah maklum hubungan saya dan Hafiz telah berakhir. Ketika kami menjalinkan hubungan cinta, saya seolah-olah lupa diri dan baru sekarang saya sedar hubungan kami tidak boleh bertahan lama. Buat masa ini, saya sudah kembali bergelar solo dan masih berusaha untuk mencari cinta yang baharu. Sebenarnya, saya merupakan wanita yang sukar untuk hidup tanpa cinta.
Adakah Raja Azmi sudah serik untuk mencari pasangan hidup yang lebih muda?
Bagi saya, tiada istilah serik dalam soal mencari teman hidup atau mengambil kira tentang usia, cuma saya tidak mahu lagi mencari lelaki yang terlalu muda seperti sebelum ini. Seboleh-bolehnya, saya berharap dapat berjumpa dengan lelaki dengan jarak umur tidak jauh berbeza.
Bagaimanakah pula hubungan Raja Azmi dengan bekas suami?
Walaupun sudah bercerai, hubungan saya dan Jalani masih tetap baik. Lagipun, kami berpisah secara baik tanpa sebarang masalah dan kami mengambil keputusan untuk berpisah kerana sudah tiada lagi cinta antara kami.
Mengapakah Raja Azmi agak terbuka untuk mendedahkan setiap kisah kontroversi yang membabitkan diri anda?
Saya merupakan seorang individu yang memang gila glamor dan tidak kisah sekiranya orang ramai mengikuti perkembangan hidup saya termasuk yang membabitkan kontroversi. Saya cuma berharap agar setiap perkara negatif yang melanda diri saya boleh dijadikan pengajaran kepada orang ramai, manakala segala perbuatan positif yang saya lakukan pula boleh dijadikan contoh dalam kehidupan masing-masing.
Apakah pula perkembangan tentang filem terbaharu Raja Azmi iaitu Anak Ikan?
Kalau diikutkan perancangan untuk menerbitkan filem Anak Ikan sudah lama dilakukan, tetapi saya berhadapan dengan sedikit masalah iaitu berkaitan kewangan dan skrip. Kini, semua masalah tersebut sudah dapat diatasi dan penggambaran akan bermula pada bulan hadapan. Dalam tempoh terdekat ini, saya akan membuat sesi uji bakat untuk pemilihan pelakon yang akan membintangi filem ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: