Sunday, April 21, 2013

Permainan Sophie Turner

SOPHIE TURNER


RAMAI artis terpaksa bertatih dari bawah namun tuah Sophie Turner datang bagai rezeki terpijak. Dalam penampilan perdananya, Sophie diberikan karakter Sansa Stark melalui drama bersiri Game Of Thrones. Drama yang masuk ke musim ketiga ini disiarkan pada setiap hari Sabtu di saluran HBO (Astro 411) dan HBO HD (Astro 431) pada pukul 9 malam.
“Ini merupakan perkara terbaik dalam hidup saya selama ini. Ia lebih baik daripada kelas drama saya di sekolah. Saya dapat bekerja dengan orang-orang terbaik dalam industri serta berada dalam dunia nyata. Saya berasa bertuah dengan kesempatan yang diberikan,” kata Sophie.
Pada hemat Sophie, dia hanya menyangkakan hanya keluarganya sahaja menonton lakonan dalam drama arahan novel fantasi George Martin tersebut.
“Saya hanya sangka hanya lima orang menonton lakonan saya dan lima orang itu ialah keluarga saya. Apabila didekati oleh para peminat barulah saya sedar bahawa siri ini ditayangkan di 100 buah negara. Mereka semua sangat baik dan menyokong kerjaya saya malah menyukai Game of Thrones,” ketawanya teruja dengan sokongan yang diberikan umum.
Sophie sedar ramai penonton yang membenci karakter Sansa Stark. Karakter puteri sulung pasangan Eddard dan Catelyn Stark itu membuatkan khalayak menyampah kepadanya. Namun buat Sophie, dia sudah terbiasa dengan situasi tersebut.
“Drama ini membuatkan saya banyak menangis. Pada musim pertama, saya sering menyuruh diri saya menangis dan mengambil masa untuk mengeluarkan air mata. Tetapi apabila masuk ke musim ketiga, ia berlaku secara normal. Apabila saya berkata, ‘Sophie, menangis sekarang,’ air mata saya terus mengalir sehabis sahaja saya memikirkannya,” akuinya yang sudah senang untuk menangis.
Siri drama Game Of Thrones merupakan siri drama berdasarkan siri buku fantasi paling laris oleh George Martin. Ditukarkan tajuk daripada asalnya A Song of Ice and Fire, siri ini merupakan kisah epik tentang pengkhianatan dan golongan bangsawan yang mengambil tempat di bumi Westeros di mana musim panas dan sejuk berlanjutan selama bertahun lamanya. Yang kekal di bumi tersebut ialah nafsu untuk kuasa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: