Thursday, April 4, 2013

Perjuangan mesej Salam Musik


SALAM MUSIK kini popular dengan dua buah single, Pelat dan Bangkit.


WALAUPUN sudah hampir tujuh tahun membina nama sebagai sebuah kumpulan muzik, namun nama Salam Musik mula dikenali dalam industri muzik tempatan selepas memenangi Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM 19) tidak lama dahulu.
Pada majlis anugerah tersebut, Salam Musik meraih kemenangan untuk kategori Album Terbaik menerusi album mereka yang berjudul, Salam – Salam Musik.
Bermula dengan single, Cerita Kedai Kopi hasil kolaborasi bersama DJ Fuzz serta Malique, kejayaan demi kejayaan mula dikecapi oleh kumpulan yang dianggotai oleh 10 orang anak muda ini.
Kejayaan album pertama mereka yang berjudul Salam Musik mula memberi semangat buat mereka untuk lebih serius meneruskan perjuangan muzik mereka dalam arus perdana industri muzik tempatan.
“Memang kami bersusah payah untuk mencapai kejayaan dalam mengenalkan diri kami ke dalam industri apatah lagi di Malaysia dengan percambahan grup atau penyanyi bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
“Oleh kerana itu, kami mula serius dalam membina nama dalam industri muzik tempatan selepas kami peroleh platform melalui single Cerita Kedai Kopi.”
“Jadi, setelah itu kami terlihat punya peluang untuk tampil lebih serius bagi meneruskan karier sebagai sebuah kumpulan. Insya-Allah, kami akan teruskan usaha kami ini sampai bila-bila, “ tutur salah seorang anggota kumpulan Salam Musik, Ashraaf Salam Azlan.
Selain itu juga, tutur jejaka yang lebih mesra disapa sebagai Ashraaf ini, kelainan yang ditampilkan Salam Music adalah adalah tentang mesej yang disampaikan menerusi lagu-lagu mereka.
Bicaranya, mereka tidak pernah tetapkan sebarang genre atau konsep tetap bagi Salam Musik.
“Kami bebas memperjuangkan muzik kami dan kebiasaannya kami akan siapkan lirik dulu atau sebaliknya. Dari segi penulisan pula, kami cuba sampaikan mesej-mesej yang menyentuh kepada keamanan, persekitaran, kasih sayang dan perpaduan serta kedamaian.
“Kami pilih untuk perjuangkan lirik yang mempunyai mesej sebegini kerana itu merupakan realiti serta kebenaran yang ada di luar sana. Itu mungkin kelainan yang kami tonjolkan sebagai sebuah kumpulan,” jelas pelajar lulusan jurusan Rekaan Bunyi dan Muzik dari Universiti Limkokwing, Kuala Lumpur ini.
Selain Ashraaf, kumpulan ini turut dianggotai Talal Zahnan (keyboard), Eyza Bahra (penyanyi), M. Irhas (trompet), Bulya (dram), Firdaus Aziz (trompet), Ferdaus Nadzir (bass), Ammar Habir (gitar) dan Kamal Razali (gitar).
Bercerita mengenai album pula, Salam Musik telah pun melancarkan album kedua mereka berjudul O pada bulan Januari lepas dan dua single. Pelat dan Bangkit kini sedang rancak dimainkan menerusi corong-corong radio tempatan.
Walaupun begitu, single ketiga mereka, Play Some Reggae Musik kurang mendapat sambutan. Bagaimanapun, ia tidak begitu mengecewakan mereka memandangkan single tersebut sangat diterima di Eropah, iaitu di Denmark.
“Tidak pernah kami kecewa kerana ambil masa yang lama untuk dikenali. Jadi, kami memang tidak pernah berputus asa kerana kami tahu apa yang dibuat ini bersebab. Sejujurnya, kami bukan mengejar populariti atau duit.
“Apa yang kami mahukan adalah untuk sampaikan mesej ke dalam hati peminat mahupun pendengar,” akhiri Ashraaf yang hadir bersama anggota Salam Musik yang lain untuk sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bagi yang ingin ikuti perkembangan terkini mahupun pembelian album kumpulan Salam Musik, boleh layari laman sosial Salam Musik di Facebook, Twitter atau lawati laman web mereka di www.salammusik.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: