Monday, April 1, 2013

Penduduk Palestin rai Hari Tanah


SEJUMLAH penduduk Palestin turut berarak bagi meraikan Hari Tanah di Tunis, Tunisia kelmarin.


SAKHNIN, Israel - Sejumlah penduduk Palestin dan Arab Israel berarak kelmarin sebahagiannya bertempur dengan anggota-anggota pihak berkuasa negara ini semasa mereka meraikan Hari Tanah.
Mereka memperingati pembunuhan enam penduduk Arab Israel yang menentang rancangan untuk merampas tanah Arab oleh Israel pada tahun 1976.
Kumpulan penduduk Palestin dan Arab Israel itu mengibarkan bendera Palestin di bandar ini yang terletak di utara Israel.
Ribuan orang yang berarak itu turut menjerit slogan-slogan yang menghormati kematian enam penduduk Arab Israel tersebut.
Datuk Bandar Sakhnin, Mazen Ghanaim turut memberi penghormatan kepada penduduk Palestin itu.
Beliau juga menggesa supaya perjuangan bagi menuntut tanah yang diduduki rejim Israel diteruskan.
Kira-kira 1,000 orang turut berarak di persimpangan Shoket di daerah Negev, selatan Israel.
Mereka menyuarakan sokongan kepada penubuhan sebuah negara Palestin dan para banduan Palestin yang dipenjarakan Israel.
Kumpulan tersebut juga menentang rancangan untuk menempatkan semula puluhan ribu penduduk Badwi di kawasan perbandaran.
Penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza juga mengadakan perhimpunan dengan sebahagian daripada mereka bertempur dengan anggota-anggota tentera Israel.
Sejumlah penduduk Palestin memakai pakaian tradisional berhimpun di Beit Hanun, Genting Gaza bersempadan dengan Israel bagi meraikan hari tersebut.
Penduduk-penduduk Palestin yang tinggal di Tunis, Tunisia juga berarak untuk meraikan hari tersebut.
Mereka turut mengibarkan bendera itu pada perarakan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment