Asus perkenal hibrid telefon, tablet
.
ASUS Malaysia memperkenalkan produk terbarunya Fonepad, iaitu peranti mudah alih dengan sambungan suara serta internet 3G berciri lengkap seperti telefon bimbit pintar serta keupayaan sama seperti tablet dengan harga rendah.

Dilengkapi pemprosesan terkini Intel Atom Z2420 dan disokong perisian Android 4.1, Fonepad menawarkan paparan berdefinisi tinggi serta gambar yang jelas.

"Memang sesuai untuk memiliki peranti dengan skrin lebih besar kerana sekarang ini, hiburan, media sosial dan pelbagai aktiviti dalam talian lain memainkan peranan penting dalam gaya hidup pantas masyarakat," menurut Pengurus Produk ASUSTek Computer Inc, Tony Liao.
"Fonepad adalah kombinasi inovatif antara tablet dan telefon bimbit dalam satu peranti tunggal yang memberikan prestasi berkuasa dan fleksibiliti yang diperlukan untuk memenuhi permintaan pasaran," katanya.
Menurut Asus, produk terbaru itu sesuai untuk pengguna yang mahukan ciri komunikasi suara yang boleh didapati pada telefon pintar dan hiburan yang disediakan oleh tablet, tetapi mahu menggunakan hanya satu peranti sahaja.

Fonepad dengan skrin tujuh inci direka nipis dan ringan bagi membolehkan ia dipegang dengan mudah serta mempunyai hayat bateri sehingga sembilan jam.
Asus Fonepad dijual bermula minggu kedua April pada harga bermula RM849 untuk model dengan simpanan 8GB.