Sunday, April 14, 2013

Pelajar jadi mangsa pelanduk dua serupa


LUQMAN menunjukkan SMS ugutan daripada individu tidak dikenali di Seberang Jaya, Pulau Pinang semalam.


SEBERANG JAYA - Gara-gara wajah dikatakan mirip pelajar yang terlibat dalam kejadian pukul di sebuah sekolah menengah di sini seperti yang tersiar di internet baru-baru ini, seorang pelajar tingkatan tiga sekolah itu kini hidup ketakutan selepas menerima ugutan daripada individu tidak dikenali.
Luqman Al Hakim Ahmad, 15, mendakwa, dia menerima 50 khidmat pesanan ringkas dan lebih 100 panggilan telefon berunsur ugutan serta cacian.
"Ramai menyangka saya yang membelasah pelajar terbabit sebab susuk tubuh, wajah dan warna kulit saya dikatakan mirip salah seorang pelajar terlibat," katanya ketika ditemui di sini malam kelmarin.
Menurutnya, ia semakin serius apabila akaun laman sosial Facebook dan Twitternya turut menjadi sasaran kemarahan yang mahu memukulnya selain mengecam ibu bapanya.
"Sebenarnya kes pukul ini berlaku bulan lalu dan ketiga-tiga pelajar berkenaan sudah dibuang sekolah tetapi tiba-tiba sahaja klip video berkenaan tersebar dan mereka sangka saya terlibat," ujarnya.
Klip video selama 1 minit 32 saat itu memaparkan seorang remaja berpakaian seragam sekolah dibelasah sekumpulan remaja lain dipercayai rakan sekolah dalam sebuah kelas.
Luqman berkata, bimbang dengan keselamatan dirinya, dia membuat laporan di Balai Polis Seberang Jaya Rabu lalu.
Jelasnya, dia amat tertekan dengan kes itu dan berharap orang ramai tidak terus menuduhnya tanpa bukti serta tidak mengaitkan ibu bapanya dengan kejadian itu kerana dia ingin menumpu perhatian kepada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang akan diduduki pada tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: