Sunday, April 14, 2013

Polis tahan doktor pondan


DERETAN kedai yang menempatkan klinik tempat doktor wanita palsu bekerja sambilan di Batu Berendam, Melaka.


MELAKA - Selepas dipercayai memperdayakan ribuan pesakit, seorang doktor berwajah ayu, memakai tudung dan gemar mengenakan baju kurung akhirnya disedari bukan sahaja sebenarnya seorang lelaki tetapi juga tidak memiliki kelayakan perubatan.
Lelaki berusia 26 tahun yang berasal dari Sabah itu pernah mengikuti kursus kejururawatan tetapi tidak menamatkan pengajian.
Dia dikatakan berjaya menjadi doktor sambilan sejak awal tahun lalu di beberapa klinik di Perak, Pahang dan Melaka dengan hanya menunjukkan sijil Perakuan Amalan Tahunan daripada Majlis Perubatan Malaysia yang kemudian disahkan palsu.
Tembelang lelaki yang dikenali sebagai Doktor Ika itu akhirnya terbongkar apabila pemilik sebuah klinik di Batu Berendam, Melaka mendapati sijil itu palsu.
Siasatan juga dibuat setelah seorang pesakit wanita mengadu kepada majikan terbabit selepas berasa sangsi dengan perbuatan Doktor Ika suka menelefon suaminya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Superintendan Soh Hock Sing berkata, suspek ditahan di klinik itu ketika menunggu pesakit pada Khamis lalu.
HOCK SING menunjukkan gambar doktor palsu di Melaka semalam.


"Suspek bekerja dari pukul 6 petang hingga 10 malam dengan bayaran RM45 sejam," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Hock Sing berkata, sijil perakuan palsu yang digunakan oleh suspek menggunakan nombor siri pada sijil yang dimiliki oleh doktor lain.
Dalam sehari beliau dipercayai merawat lebih 25 orang pesakit di klinik itu sejak tiga bulan lalu.
Lelaki itu mempunyai alamat tetap di Ampang, Selangor.
Katanya, sepanjang tempoh menyamar, suspek lebih cenderung melayan pesakit lelaki di klinik tersebut dengan mengendalikan rawatan pesakit luar dan prosedur jahitan kecil untuk kes kemalangan.
Dia juga mengeluarkan sijil cuti sakit seperti doktor lain.
"Selain kursus kejururawatan di Selangor, dia juga tidak menghabiskan pengajian kejuruteraan di sebuah universiti di Johor," katanya.
Menurutnya, suspek sebelum itu pernah bekerja sebagai doktor sambilan di lima lagi klinik swasta di sekitar Melaka termasuk Sungai Udang dan Melaka Baru.
Beliau turut meminta orang ramai yang pernah menerima rawatan daripada lelaki tersebut supaya tampil membuat laporan polis.
Katanya, suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga esok.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun keseksaan kerana menyamar dengan niat menipu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment