Thursday, April 11, 2013

Nilai Estetika Pokok Buluh


PERMINTAAN buluh akan meningkat secara mendadak terutama menjelang Syawal.


BULUH merupakan tumbuhan yang banyak terdapat di negara ini. Selain rebungnya enak dijadikan bahan makanan, pokok buluh juga mempunyai pelbagai kegunaan.
Di kawasan-kawasan pedalaman, ia digunakan untuk membuat rakit atau titi. Selain itu, buluh dijadikan sebagai meriam buluh, perabot, kraftangan, senjata dan rumah.
Malahan, boleh dikatakan semua bahagian buluh mempunyai manfaatnya kepada manusia termasuk merawat penyakit.
Ekoran itu, pokok buluh berpotensi dalam pembangunan pelbagai produk yang boleh mendatangkan hasil pendapatan lumayan.
Jenis buluh
Di Malaysia, terdapat kira-kira 100 jenis buluh. Antaranya buluh akar, buluh aloh bukit, buluh anap, buluh aur, buluh beti, buluh beting, buluh betong, buluh bisa, buluh buta, buluh dinding, buluh duri, buluh galah, buluh hantu, buluh kapur, buluh kasap, buluh lemang, buluh lumpit, buluh lumpit kecil, buluh minyak, buluh nipis dan buluh padi.
Selain itu, terdapat juga buluh pagar, buluh pahit, buluh pelang, buluh perindu, buluh raga, buluh rayah, buluh semantan, buluh semeliang, buluh semeyeh, buluh sumbiling, buluh sumpitan, buluh telor, buluh tikus dan banyak lagi.
Kebanyakan pokok buluh tumbuh di kawasan tebing sungai, tanah rata dan lereng-lereng bukit. Ia boleh hidup sehingga 100 tahun.

KRAFTANGAN berasaskan buluh sentiasa menjadi tarikan masyarakat tempatan mahupun pelancong untuk membelinya.


Sumber eksport
Negara-negara seperti Taiwan, Jepun, China, Amerika Syarikat dan Thailand telah lama membangunkan projek penanaman pokok buluh.
Pembangunan produk berasaskan buluh yang stabil dan kukuh membolehkan negara-negara berkenaan mengeksport produk tersebut sekali gus menambah pendapatan negara.
Dalam pada itu, industri buluh di Malaysia dijangka mampu menyumbang pendapatan sehingga RM53 bilion menjelang tahun 2020.
Menyedari hakikat itu, kebanyakan pihak industri pembuatan didapati mula menghasilkan pelbagai produk berkualiti tinggi berasaskan buluh.
Produk tekstil
Bagi jenama pakaian dalam terkenal, Triumph turut menghasilkan pakaian dalam dengan menggunakan fabrik kapas daripada gentian buluh.
Tidak terkecuali, bagi pasangan adik-beradik, Shazila Ghazi, 33, dan Shahiza, 27, yang merupakan Pengarah Urusan Bamboo Malaysia Sdn. Bhd. (Bamboo Malaysia).
Bamboo Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 2009. Idea untuk menghasilkan pakaian daripada buluh diilhamkan oleh bapa mereka, Datuk Ghazi Ramli.
Sekitar tahun 2010, bapa mereka telah menubuhkan Yayasan Inovasi Alam Sekitar Global (GIEF).
Organisasi berkenaan menumpukan penggunaan buluh untuk produk makanan, perlindungan, pakaian, hiburan dan pengangkutan.
Justeru, mereka mengambil inisiatif untuk memperkenalkan produk tekstil kerana pembuatan pakaian berasaskan buluh jarang diusahakan di negara ini.

BAMBOO Malaysia menghasilkan pakaian menerusi gentian buluh.


Gentian buluh
Begitupun, cerita Shazila, pakaian yang diperbuat daripada gentian buluh tidak menyebabkan rasa gatal kerana pakaian-pakaian tersebut akan menjalani beberapa proses terlebih dahulu.
"Ia sebenarnya tidak gatal kerana telah menjalani proses untuk menghilangkan miang buluh. Apa yang pasti, fabrik buluh memberikan kelembutan bak sutera.
"Malah, baju yang dihasilkan menerusi buluh sebenarnya sejuk, lembut dan ringan selain mudah menyerap peluh," katanya sambil memberitahu pihaknya turut menjual seluar dalam lelaki dan perempuan.
Kos lebih mahal
Menyentuh mengenai kos, beliau mengakui, produk buluh 20 peratus lebih mahal kerana hanya buluh moso sahaja yang sesuai untuk menghasilkan pakaian.
"Buluh itu hanya terdapat di China, Korea dan Jepun," katanya yang memberitahu masih ramai yang tidak tahu kewujudan pakaian itu di pasaran tempatan.
Sehubungan itu, beliau telah menyertai banyak pameran bagi mempromosi produk-produk berasaskan buluh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment