Tuesday, April 2, 2013

Nilai Cinta Jangan Pergi


BARISAN pelakon Cinta Jangan Pergi menanti respons daripada penonton sebaik ia ditayangkan di TV9 pada 6 April ini.


MENGGANDINGKAN semula pelakon popular Remy Ishak dan Tiz Zaqyah dalam sebuah drama berjudul Cinta Jangan Pergi, pengarahnya, Kabir Bhatia berharap drama 26 episod itu bakal memberi fenomena baharu seperti drama hebat garapannya sebelum ini, Nur Kasih.
Menurut Kabir, drama yang menjalani sebahagian besar penggambaran di London dan Paris itu mempunyai kekuatan tersendiri berbanding drama Nur Kasih. Dia juga percaya ia mampu menarik orang ramai menontonnya.
Selain kekuatannya terletak pada jalan cerita, tarikan Cinta Jangan Pergi sebenarnya ada kepada dua tunjang utama drama tersebut iaitu Remy dan Tiz. Lebih menarik, ia merupakan gandingan pertama mereka selepas putus cinta, namun di dalam drama terbitan TV9 tersebut, mereka perlu menjadi sepasang kekasih.
“Memang terasa sedikit janggal, namun atas dasar profesionalisme, saya tidak mempunyai masalah untuk berlakon bersama Remy. Alhamdulillah, saya rasa kami telah melakukannya dengan baik,” ujar Tiz.
Remy pula memberitahu, dia membuang semua emosi duka kerana percintaan mereka dalam dunia realiti tidak kesampaian, demi merealisasikan watak yang diberi dengan baik. Malah katanya, pada masa hadapan, dia tidak mempunyai masalah jika diberi peluang untuk kembali berganding dengan bekas kekasihnya itu.
Sementara itu, atas kekuatan barisan tunjang utama dan jalan cerita drama Cinta Jangan Pergi, Pengurus Pengurus Besar saluran TV9, Zurina Othman, mengakui berbaloi menerbitkan drama tersebut biarpun terpaksa membelanjakan sejumlah besar wang.
“Saya tidak nafikan drama ini antara yang paling mahal pernah kami (pihak TV9) terbitkan. Tetapi ia berbaloi berdasarkan kualiti drama dan barisan pelakon yang ditampilkan, ujarnya yang enggan mendedahkan jumlah sebenar nilai terbitan drama Cinta Jangan Pergi.
Mengulas lanjut, kata Zurina, drama itu terhasil melalui perbincangan pihak TV9 dengan syarikat milik Kabir iaitu Filmscape Sdn. Bhd.
Ujarnya, pihak Filmscape datang berbincang dan memberi idea serta skrip, manakala pihak mereka hanya mengeluarkan bajet untuk menjayakan drama tersebut.
Selain Remy dan Tiz, Cinta Jangan Pergi membariskan ramai pelakon terkenal seperti Nadiya Nisaa, Josiah Hogan, Esma Daniel, Ramona Zam Zam dan Kartina Ayoob.
Cinta Jangan Pergi mengisahkan tentang Lea Soraya (Tiz Zaqyah) dan Kalil (Remy Ishak) yang bertemu di kota Paris. Pada mulanya Lea tidak menyukai Kalil kerana berasakan lelaki itu menjengkelkan. Tetapi, akhirnya Lea mula jatuh cinta dengan Kalil kerana sikap lelaki itu seorang yang budiman.
Mereka berjanji setia sehingga ke akhir hayat namun takdir menentukan segalanya apabila hubungan cinta mereka putus dek kerana satu insiden. Jangan lupa saksikan ia di TV9 bermula 6 April ini, setiap hari Sabtu dan Ahad, pukul 8.30 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: