Mengaku dadah ‘teman’ hidup
Tertuduh dibawa anggota polis selepas dijatuhkan hukuman.
GEORGETOWN - Seorang remaja perempuan mengakui menjadikan dadah sebagai teman hidupnya. Tertuduh mengakui perkara terbabit ketika membuat rayuan atas pertuduhan kesalahan menggunakan dadah.

Dia yang berusia 19 tahun itu juga mengaku menggunakan dadah kerana kekurangan kasih sayang.

Dalam rayuan berkenaan, peguamnya memberitahu, bapa tertuduh sudah meninggal dunia dan kerana itulah dia kekurangan kasih sayang.

Tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam badannya tanpa kebenaran.

Kejadian yang berlaku pada 20 Mac 2013 itu mengakibatkan dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 2004) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Setelah disabitkan bersalah, peguam yang mewakili tertuduh juga merayu supaya mahkamah memendekkan tempoh hukuman kerana bimbang masa depannya akan menjadi tidak menentu.

“Tertuduh sebelum ini pernah bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat kecantikan selepas tamat sekolah.

“Tertuduh bimbang sekiranya dia terlalu lama dihukum kemungkinan pekerjaannya akan hilang,” katanya.

Kemudiannya, Majistret Umma Devi Loganathan menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan kepada tertuduh dan tiga tahun pengawasan mengikut Seksyen 38 (B) Akta Dadah Berbahaya.