Saturday, April 6, 2013

Karnival untuk belia Alor Setar


KARNIVAL itu menjadi peluang pengunjung mengenali seni budaya termasuk pencak silat.


SUKAN dan belia sememangnya tidak dapat dipisahkan apabila ia seolah-olah menjadi sebahagian daripada aktiviti yang dilakukan pada waktu petang atau waktu terluang. Menyedari situasi itu, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Setar telah mendekatkan golongan tersebut dengan mengadakan Karnival Fiesta Mesra Belia 1Malaysia Parlimen Alor Setar di pekarangan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah.
Karnival tiga hari yang berlangsung pada 21 hingga 23 Mac lalu telah mencatatkan jumlah pengunjung hampir 10,000 orang.
Bagi memastikan tujuan karnival dapat dicapai, pelbagai aktiviti berbentuk fizikal disediakan penganjur seperti futsal, bola keranjang dan sepak raga tuju selain acara dalam dewan iaitu pertandingan karom.
Bicara Cinta Orang Muda oleh Imam Muda, Ammar Harun membuka tirai karnival pada hari pertama yang dihadiri lebih 1,000 pengunjung.
Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Setar, Mohd. Nizam Mat Daud berkata, karnival yang dianjurkan itu adalah untuk menerapkan budaya gaya hidup sihat dalam kalangan belia agar mereka dapat mengamalkannya.
“Aktiviti yang diadakan sememangnya memenuhi cita rasa golongan belia. Kita dapat lihat mereka tidak melepaskan peluang menyertai acara yang disediakan dan sambutan amat menggalakkan.
Kata beliau, memperkenalkan budaya masyarakat yang terdapat di Malaysia juga merupakan salah satu objektif karnival tersebut.
“Persembahan silat, tomoi, kabbadi, tarian singa dan chingay turut disediakan kerana pengunjung yang hadir terdiri daripada pelbagai kaum. Karnival ini merupakan platform untuk mereka mengenali seni budaya kaum lain.
“Kita juga mahu memupuk semangat patriotisme dalam diri belia supaya mereka mempunyai semangat cintakan negara,” katanya.
Karnival itu dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Alor Setar, Datuk Seri Chor Chee Heung pada hari kedua karnival tersebut berlangsung.
Acara penutup pula dirasmikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Manipah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri, Bakar Bata.
Pameran oleh jabatan kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) memeriahkan lagi suasana karnival selain pengunjung boleh menambah pengetahuan.

PARA peserta menunjukkan kehebatan masing-masing dalam pertandingan karom.


Ubah persepsi
Karnival itu juga tidak meminggirkan kanak-kanak dan golongan wanita apabila pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk mereka.
Bagi golongan wanita disediakan demonstrasi masakan manakala pertandingan mewarna disertai 150 kanak-kanak dari tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Parlimen Alor Setar.
Selain itu, pertandingan memancing dan suara burung berlangsung pada hari terakhir karnival dan persembahan artis turut diadakan pada Malam Belia Budaya.
Dalam pada itu, Presiden Alor Setar Offroad RC Club, Mohamad Hisham Othman berkata, karnival tersebut menjadi platform kepada kelab berkenaan untuk mengubah persepsi masyarakat bahawa permainan itu dimonopoli golongan berpendapatan mewah sahaja.
Pertandingan perlumbaan kereta kawalan jauh yang melibatkan tiga kategori iaitu off road 1.5 dan 1.8 skill dan drif. Turut diadakan pertunjukan aksi helikopter kawalan jauh dan pameran kapal terbang kawalan jauh.
“Bagi yang baru hendak kenal dengan kenderaan kawalan jauh, kita menyediakan kaunter khidmat nasihat untuk menceritakan lebih terperinci mengenai permainan ini,” katanya.
Seorang pengunjung, Azilawati Farizan, 22, yang berasal dari Sungai Petani berkata, karnival seperti itu perlu digerakkan ke setiap daerah dan tidak hanya tertumpu di daerah besar sahaja.
“Karnival ini amat baik kerana pelbagai input yang berbentuk pendidikan diperoleh menerusi aktiviti dan pameran yang disediakan.
“Saya juga berharap agar karnival ini diteruskan termasuk mengadakannya di daerah Kuala Muda satu hari nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: