|
"ANAK-ANAK kalau sakit tidak kira masa. Klinik 24 jam memudahkan saya mendapatkan rawatan pada bila-bila masa, siang ataupun malam."
Begitulah kata Farina Jamaluddin, 45, yang merupakan salah seorang pelanggan Klinik Idzham ketika ditemui Kosmo! di Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ibu kepada lima anak itu bukan sekadar mendapatkan rawatan untuk penyakit seperti demam, batuk atau selesema, malah servis berkhatan untuk anak lelakinya.
Melihat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, timbul persoalan siapakah gerangan pemilik Klinik Idzham yang kini mempunyai 10 buah klinik sekitar Lembah Klang, kesemuanya beroperasi 24 jam sehari.
Suka duka
Kosmo! berjaya menjejak pengasas Klinik Idzham iaitu Dr. Md. Idzham Ibrahim, 67, lantas berkongsi cerita suka duka di sebalik kejayaan yang diraih pada hari ini.
Kejayaan tersebut bermula apabila beliau mengambil keputusan 'bersara' setelah berkhidmat lebih 10 tahun di hospital kerajaan.
Pada November 1983, ketika berusia 38 tahun, Idzham berjaya membuka klinik pertama di Taman Melawati. Usia tersebut baginya agak lewat untuk menceburi bidang perniagaan, namun bak kata pepatah hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Dengan bantuan tiga jururawat, beliau mengerah segala kudrat dan masa di klinik yang merupakan klinik pertama beroperasi selama 24 jam di Taman Melawati.
"Pada tiga tahun terawal hanya saya seorang doktor yang bertugas. Setiap masa saya berada di klinik dan hanya berehat atau tidur apabila tiada pelanggan.
"Ketika itu pada waktu siang, saya dibantu pekerja, manakala pada waktu malam saya dibantu oleh isteri. Waktu malam juga masih ada pelanggan terutamanya warga emas yang menghadapi masalah asma. Memberi rawatan kepada pesakit asma merupakan salah satu sebab saya membuka klinik 24 jam di Taman Melawati.
"Kesungguhan bekerja dahulu, jika dikenangkan pada hari ini saya tidak tahu di mana datangnya semua kudrat itu. Apa yang pasti, semangat saya kuat untuk memberi khidmat dan bantuan kepada para pesakit," kata bapa kepada empat anak tersebut.
Bercerita mengenai modal membuka klinik tersebut, beliau cukup terhutang budi kepada SME Bank (dahulu dikenali sebagai Bank Pembangunan) kerana memberikan pinjaman sekali gus impiannya memiliki klinik sendiri menjadi nyata.
Untuk membuka klinik kosnya sangat besar dan beliau memerlukan kira-kira RM200,000 pada waktu tersebut.
Bagaimanapun, selain faktor wang, Idzham cukup bertuah apabila isterinya, Che An Nik Omar, 65, banyak membantu dan memberi dorongan.
Pada masa yang sama, saudaranya Datuk Syed Manshor Syed Mahmood, pengasas Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. banyak menghulurkan bantuan terutamanya pada awal pembukaan Klinik Idzham.
"Saya bersyukur kerana Syed Manshor membantu saya menemuduga jururawat, malah membelikan perabot klinik. Beliau juga menasihatkan saya jika hendak berjaya, perlu membuka lebih banyak klinik kerana sebuah klinik tidak mencukupi," katanya yang sehingga kini masih menawarkan khidmat selama empat jam lima hari seminggu di klinik.
Gimnastik dan teater
Menyingkap kembali kisah pada zaman kanak-kanaknya, Idzham merupakan seorang yang aktif dalam sukan dan juga banyak menghabiskan masa dengan membaca buku. Antara buku-buku kegemarannya ialah Perry Mason karya Erle Stanley Gardner.
Bola sepak merupakan sukan yang digemarinya, malah ketika di tingkatan empat, beliau terpilih mewakili sekolah untuk bertanding di peringkat negeri, Ketika itu beliau bermain di posisi penyerang.
Bukan itu sahaja, siapa menyangka beliau turut menyertai pasukan gimnastik sekolah serta berlakon drama ketika di tingkatan enam.
Akibat terlalu aktif dalam aktiviti sukan, guru-guru telah menegur dan menasihatinya agar menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Nasihat tersebut nyata berbekas di hatinya menyebabkan beliau mula tekun menelaah buku.
"Pada zaman sekolah, cita-cita saya hendak menjadi juruterbang atau peguam, namun hasrat tersebut dihalang oleh bapa yang mahu saya menjadi seorang doktor. Bapa saya merupakan seorang guru manakala ibu seorang surirumah.
"Selepas tamat tingkatan enam saya mulai berminat meneruskan pengajian dalam bidang perubatan lantas India menjadi pilihan.
"Ini kerana yuran dan kos pengajian di negara tersebut murah apatah lagi kesemua perbelanjaan di sana atas biaya keluarga tanpa sebarang penajaan," katanya.
Cabaran di India
Pada tahun 1966, untuk melanjutkan pengajian di India, Idzham terpaksa menaiki kapal laut seorang diri dari Pulau Pinang ke Madras, India. Perjalanan tersebut memakan masa selama seminggu. Pada peringkat awal menaiki kapal laut memang menyeronokkan namun hari kedua beliau mabuk laut dan tidak lalu makan sehingga badan menjadi terlalu lemah.
"Pengalaman tersebut masih segar dalam ingatan saya sehingga hari ini. Dari Madras saya menaiki kereta api menuju universiti yang terletak di Bombay.
"Tiga tahun awal pengajian, saya terpaksa mengikat perut dan makanan harian saya merupakan capati dan kuah dal. Itulah menu untuk sarapan, makan tengah hari dan malam.
"Pada tahun 1969, saya mendapat biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) berjumlah RM200 sebulan. Sejak itu merasa jugalah makan ayam tandoori," kata bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Iskandar dan Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah itu.
Nama timangan
Sewaktu dalam kandungan, ibunya berhasrat memberikan nama Yusuf kerana wajah Nabi Yusuf yang kacak tetapi bapa saudaranya mendaftarkan nama Md. Idzham Ibrahim.
Ketika berusia setahun setengah, badan Idzham diserang kudis. Ibunya merasakan nama tersebut kurang sesuai dan memanggilnya dengan gelaran Yusuf.
"Sehingga kini nama saya dalam keluarga melekat sebagai Abang Cop," ujarnya tersenyum.
Dalam kesibukan kerjaya, Idzham tetap meluangkan masa untuk bersantai. Beliau merupakan peminat kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.
Antara lagu yang diminatinya termasuk Jerat Percintaan, malah beliau mempunyai semua koleksi album penyanyi tersebut.
Tidak cukup dengan itu, beliau juga sering menonton persembahan penyanyi kelahiran Temerloh, Pahang itu, malah sanggup membelanjakan sejumlah wang menyaksikan persembahan Siti Nurhaliza di Albert Hall, London.
"Ketika itu, salah seorang anak saya belajar di London dan saya pergi melawatnya. Pada masa sama, saya dan ahli keluarga mengambil kesempatan menyaksikan persembahan Siti Nurhaliza di Albert Hall," katanya yang juga merupakan penyokong pasukan bola sepak, Liverpool.
Dalam pada itu, seorang pelanggannya, Maliki Mat Din, 37, yang tinggal di Wangsa Maju turut berpuas hati dengan perkhidmatan doktor-doktor di Klinik Idzham.
Dia yang telah menjadi pelanggan tetap sejak tahun 2004 menyukai sikap para doktor bertugas yang berterus-terang tentang penyakit dihidapnya.
"Perkhidmatan doktor di sini cukup memuaskan, mereka akan berterus terang tentang penyakit termasuk pernah meminta saya melakukan x-ray di hospital terlebih dulu sebelum rawatan lanjut dijalankan olehnya.
"Selain itu, klinik yang beroperasi 24 jam memudahkan saya untuk mendapatkan rawatan pada bila-bila masa," katanya yang bekerja di Indah Water Konsertium. Klinik Idzham merupakan panel syarikat tempatnya bekerja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: