Friday, April 19, 2013

Jaclyn Victor Tepis Andaian Dipinggirkan KRU

Jaclyn tidak pernah berasa diabaikan oleh syarikat rakamannya, KRU Records.
PETALING JAYA: Penyanyi Jaclyn Victor menafikan dia dipinggirkan oleh pihak pengurusan KRU Music kerana masih belum muncul dengan album terbaharu walaupun sudah setahun menyertai syarikat rakaman itu.
Jaclyn atau nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 35, berkata, kelewatan itu terjadi kerana kesibukan komposer, Edry Abdul Halim sebagai penerbit selain perlu memberi perhatian terhadap artis-artis di bawah label berkenaan.
"Bukan saya seorang artis naungan di bawah KRU dan artis lain juga perlu diberi perhatian. Saya tidak pernah rasa diabaikan oleh pihak pengurusan.
"Edry seorang yang cerewet dan fokus dalam menghasilkan sesuatu produk namun hasilnya cukup baik," jelasnya.
Bersama KRU Music, Jaclyn pernah menghasilkan dua buah single berjudul Sebelah Jiwaku dan Jagalah Diri sementara lagu duet bersama artis antarabangsa, Az Yet berjudul Magical Moment pula akan dijadikan sebagai lagu runut bunyi filem animasi 3 Dimensi (3D) berjudul Ribbit terbitan KRU Studios.
Tambah Jaclyn, kesibukannya memenuhi undangan nyanyian dalam dan luar negara juga menyumbang kepada kelewatan itu.
Misha, Adibah dan Jaclyn akan menjelajah ke enam buah negeri di Malaysia bagi menjayakan konsert 3 Pertama bermula September depan.
Dalam pada itu, Jaclyn berkata, dia sangat teruja dapat menyertai Adibah Noor dan Misha Omar dalam sebuah konsert jelajah iaitu 3 Permata bermula September depan.
Jelas Jaclyn, ia adalah konsert jelajah pertamanya di Malaysia sejak bergelar artis dan tidak sabar untuk bertemu peminat.
"Walaupun sebelum ini saya dikenali dengan gandingan 3 Suara bersama Ning Baizura dan Shila Amzah, kolaborasi terbaharu dalam konsert ini sesuatu yang istimewa.
"Tambahan pula kami bertiga mempunyai keserasian yang cukup baik dan tidak sukar untuk bekerjasama kerana pernah terlibat dalam sebuah konsert di Singapura sebelum ini," katanya.
Konsert yang diterbitkan oleh Dangerous Events itu bakal membawa mereka menjelajah ke negeri seperti Sarawak (21 September), Sabah (28 September), Johor (12 Oktober), Pahang (19 Oktober), Kedah (26 Oktober) dan Kuala Lumpur (2 November).
Peminat yang ingin membuat tempahan tiket dan maklumat ‘Konsert Jelajah 3 Permata’ boleh melayari www.3permata.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: